Bursa Malaysia dibuka rendah dan terus meningkat positif

INDEKS utama Bursa Malaysia dibuka rendah untuk seketika pagi ini sebelum meningkat selepas itu, dirangsang oleh kaunter berwajaran tinggi terpilih.

Pada jam 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras pasaran menokok 3.67 mata kepada 1,591.75 daripada penutupan Jumaat minggu lepas iaitu 1,588.08.

Indeks utama dibuka 1.31 mata lebih rendah pada 1,586.77.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi 189 berbalas 187 manakala 283 kaunter tidak berubah, 1,631 tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 197.11 juta unit bernilai RM100.25 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikan, bursa tempatan mungkin terus diniagakan secara mendatar untuk minggu ini di tengah-tengah kekurangan petunjuk baharu sementara pelabur menunggu butiran lanjut mengenai Bajet 2022 yang akan dibentangkan pada Jumaat.

Sementara itu, sektor tema pemulihan pula dilihat akan mendapat momentum kerana aktiviti membeli ketika saham berhaga murah dijangka muncul, didorong oleh prospek ekonomi yang semakin cerah, tambah firma berkenaan.

“Kami percaya penyusutan dalam kalangan kaunter bertemakan pemulihan baru-baru ini memberikan peluang baik untuk mengumpulkan keuntungan. Pelabur dijangka memberi tumpuan kepada sektor perbankan, hartanah dan yang berkaitan pengguna serta sektor pembinaan menjelang pembentangan Bajet 2022, ” tambahnya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik tiga sen kepada RM8.18, Public Bank meningkat satu sen kepada RM4.24, TNB dan CIMB masing-masing menambah tiga sen kepada RM9.79 dan RM5.26.

Sementara itu, Petronas Chemicals tidak berubah pada RM8.81, IHH Healthcare turun tujuh sen kepada 6.53 dan Press Metal susut tiga sen kepada RM5.72.

Bagi saham aktif, Fitters Diversified meningkat 1.5 sen kepada 43 sen, Destini naik setengah sen kepada 25 sen, Gagasan Nadi menambah satu sen kepada 33.5 sen, Opcom tidak berubah pada RM1.33, manakala Tanco dan Hubline kedua-duanya turun setengah sen kepada 25.5 sen dan empat sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengukuh 22.60 mata kepada 11,732.0, Indeks FBMT 100 naik 21.27 mata kepada 11,361.06, Indeks FBM Emas Syariah lebih tinggi 15.42 mata kepada 12,804.52, FBM 70 pula menokok 9.76 mata pada 15,386.39, dan FBM ACE mengembang 19.04 mata kepada 7,189.39.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian 0.5 mata lebih tinggi pada 210.24, Indeks Perladangan naik 3.33 mata kepada 7,025.27, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 58.91 mata kepada 15,776.96. – Bernama

Bursa Malaysia dibuka rendah dan terus meningkat positif


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


CEO kumpulan MAHB letak jawatan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker