Bantulah Majlis Peguam Syarie

Bantulah Majlis Peguam Syarie

AKTA Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) telah diluluskan di Dewan Negara pada 31 Julai 2019. Ia merupakan sejarah panjang perjuangan untuk menubuhkan sebuah Majlis Peguam Syarie di peringkat Persekutuan, setara dengan Majlis Peguam bagi rakan-rakan sivil mereka.

Walaupun hajat itu belum kesampaian kerana Majlis Peguam Syarie hanya boleh ditubuhkan di peringkat Wilayah-Wilayah Persekutuan sahaja apabila ia dikuatkuasakan, namun ia adalah permulaan yang baik.

Apabila diluluskan rang undang-undang (RUU) tersebut, gegak gempitalah sebahagian orang politik yang mendakwa mereka mengambil masa singkat sahaja menggubal RUU itu berbanding kerajaan terdahulu.

Timbullah salah menyalah, dakwa mendakwa dan mengangkat pihak tertentu walaupun sebenarnya masa yang panjang itu diambil bagi mengatasi kekangan yang ada ketika itu.

Namun, sejak diluluskan akta tersebut sehingga kini masih belum lagi dikuatkuasakan, disebabkan kaedah-kaedah yang terpakai dalam akta berkenaan masih belum digubal.

Tempoh hampir 27 bulan berlalu dan akta itu masih belum dikuatkuasakan. Tiadalah gunanya akta itu diluluskan Parlimen tetapi sekian lama tidak dilaksanakan.

Namun, saya dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad telah memainkan peranan aktif dengan mengambil usaha memastikan akta itu dapat dikuatkuasakan dalam tempoh 100 hari pelantikan beliau. Mudah-mudahan ia dapat direalisasikan.

Sebagaimana disebutkan seperti di atas, akta itu hanya terpakai kepada Wilayah-Wilayah Persekutuan, jadi negeri-negeri perlulah menggunakan akta tersebut sebagai model undang-undang seragam bagi Peguam Syarie di negeri masing-asing supaya ia lebih teratur dan tidak mengelirukan.

Persamaan antara negeri penting kerana orang yang sama akan beramal di Mahkamah Syariah beberapa negeri. Seperkara lagi yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan adalah dengan penubuhan Majlis Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan, kerajaan perlulah memperuntukkan sejumlah dana yang wajar.

Sudah pasti Majlis Peguam Syarie memerlukan dana untuk logistik, staf, peralatan dan operasi. Kerajaan Persekutuan perlu memasukkan peruntukan tersebut dalam Bajet 2022.

Sangat tidak adil jika Majlis Peguam Syarie dibebankan kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kerana dana MAIWP kebanyakannya daripada kutipan zakat yang perlu diagihkan kepada lapan golongan asnaf.

Disebabkan kerajaan Persekutuan yang menubuhkan Majlis Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan melalui sebuah akta Parlimen, memang wajar kerajaan Persekutuan yang menyediakan dana diperlukan oleh Majlis Peguam Syarie tersebut.

Tidak adil juga jika peguam syarie di Wilayah Persekutuan dipertanggungjawabkan untuk membiayai Majlis Peguam Syarie ini kerana mereka juga perlu membayar yuran bagi lesen guaman mereka. Apatah lagi, dalam tempoh pandemik, peguam sangat terkesan dan merasai kepayahan meneruskan profesion guaman mereka.

Oleh itu, saya meminta kerajaan Persekutuan cakna dan memberi perhatian kepada keperluan Peguam Syarie Wilayah Persekutuan dalam menubuhkan Majlis Peguam Syarie mereka.

Tanpa dana, akan tempanglah perjalanan mereka yang baru mahu merangkak. Dalam fasa penubuhan ini, terlalu banyak perkara perlu diberi perhatian oleh ahli yang dilantik menganggotai Majlis Peguam Syarie.

Kelangsungan Majlis Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan banyak bergantung kepada keupayaan anggota Majlis Peguam Syarie tersebut di permulaan penubuhannya.

Jika mereka tidak dapat bergerak dengan baik, sistem perundangan syariah di Mahkamah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan juga mungkin akan terjejas. Natijahnya, keadilan tidak akan dapat dilaksanakan di mahkamah-mahkamah syariah di Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Jika itu berlaku, ia akan menjadi fitnah kepada perundangan Islam di Mahkamah Syariah pula. Jadi, semua tindakan proaktif perlu diambil oleh pihak kerajaan sebelum penguatkuasaan akta tersebut.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Institusi Kehakiman Syariah perlu terus proaktif – Ismail

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker