Wira cilik selamatkan moyang dalam tragedi Gunung Jerai terima anugerah

‘Hanya fikir nyawa’, Wira cilik selamatkan moyang dalam tragedi Gunung Jerai terima anugerah

Keberanian dan kepantasan bertindak menyelamatkan moyang perempuannya, menjadikan Muhammad Hadif Syazwan Anas, 11, kanak-kanak yang sememangnya layak dianugerahkan Pingat Hang Tuah, sempena sambutan Hari Kanak-Kanak Kebangsaan.

Mengimbau kejadian kepala air di Gunung Jerai, Sik, Ogos lalu, Muhammad Hadif, berkata apa yang difikirkan ketika itu hanyalah keselamatan nyawa.

Anak sulung daripada lima beradik itu berkata, ketika kejadian beliau masuk ke bilik hadapan di rumah bagi melihat keadaan kedua-dua moyangnya.

“Mulanya hujan seperti biasa, tetapi kemudian saya nampak air mula memasuki rumah dan semakin tinggi. Ketika itu, ibu dan empat adik saya berada di bilik tengah.

“Oleh sebab ibu sedang menenangkan adik ketiga yang menangis, saya masuk ke bilik depan bersama adik kedua untuk melihat keadaan moyang.

“Apabila melihat moyang selamat, adik saya memberitahu ibu dan saya duduk di bilik depan,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Muhammad Hadif berkata, paras air meningkat dan sekelip mata sebelum mereka dibawa arus deras.

“Saya tersangkut dekat pokok dan bila saya pandang belakang, saya nampak Tok (moyang perempuan) juga tersangkut bersama dengan tilam.

“Saya terus pergi kepada Tok dan memegang tangannya dengan kuat, manakala sebelah tangan lagi berpaut pada tiang berdekatan.

“Masa tu saya cuma fikirkan untuk selamatkan Tok dan berdoa ayah datang selamatkan kami. Mujurlah ayah tiba selepas itu dan membawa kami masuk ke rumah tetapi saya tak nampak mana Tok Wan (moyang lelaki),” katanya.

Sementara itu, ibunya, Nur Hidayah Yusoff, 36, mengingati jeritan Muhammad Hadif dan terkejut apabila mendapati ketiga-tiganya tiada di bilik depan.

Cemas dengan keadaan itu, beliau menghubungi ibu bapanya dan tidak lama selepas itu, bahagian belakang rumah mereka pecah manakala air mulai surut.

“Tempat Muhammad Hadif berpaut turut dihanyutkan. Kalau lambat sedikit mereka diselamatkan, mungkin dia dan Toknya dibawa arus,” katanya.

Muhammad Hadif membawa pulang wang tunai RM5,000 berserta piala dan sijil.

Pada 23 Ogos lalu, mayat Ku Shuib Ku Abdullah, 91, iaitu moyang lelaki kepada Muhammad Hadif ditemui dalam keadaan baik, bersih dan sempurna walaupun sudah lima hari dihanyutkan.

Pegawai Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Mohamad Izham Aminuddin berkata, mayat mangsa ditemui di bawah timbunan kayu ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR). FMT

Wira cilik selamatkan moyang dalam tragedi Gunung Jerai terima anugerah


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Siang kutip sampah malam jadi perogol

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker