Proses penuaan dapat dihentikan?

Proses penuaan dapat dihentikan?

BEBERAPA tanda-tanda penuaan akan dialami jika seseorang itu meningkat usia. Perkara paling biasa ialah rambut bertukar warna, kulit berkedut, badan menjadi rapuh dan akhirnya sebahagian sistem dalaman badan mula tidak berfungsi. Kenapa perkara itu terjadi?

Buat masa ini, saintis tidak ada jawapan muktamad tentang soalan itu. Beberapa teori terkemuka cuma menjelaskan bahawa perubahan biologi tersebut hanyalah sebagai proses alamiah penuaan. Alasan kerana, kajian yang pernah dilakukan terhadap sel-sel manusia, tidak menunjukkan sebarang tindak balas korelasi songsang antara bilangan pembahagian sel dan umur seseorang dari mana-mana bahagian sel yang diambil.

Badan kita terdiri daripada berjuta-juta sel. Sel-sel ini mengarahkan anggota tubuh untuk menjalankan fungsi seperti yang sepatutnya. Di bahagian tengah sel terdapat nukleus. Nukleus ini menjadi rumah kepada DNA bagi setiap sel di mana mengandungi maklumat penting genetik.

Apabila semua proses berfungsi sewajarnya, maka DNA telah dilindungi sepenuhnya dan boleh diduplikasikan seratus peratus apabila sel membahagi. Setiap hari, sel terpaksa menahan serangan daripada alam sekitar dan gaya hidup tidak sihat yang boleh merosakkan atau mengubah struktur DNA.

Apabila DNA diserang, ‘pangkalan data’ di dalam DNA akan rosak menyebabkan fungsi serta jangka hayat sel terjejas. Sekiranya tidak dipulihkan, sel-sel itu akan mula duplikasi sehingga menghasilkan berjuta-juta salinan sel rosak. Maka bermulalah mekanisme pertama penuaan.

Ilmuwan berpendapat bahawa proses penuaan ini sebenarnya telah diprogramkan secara genetik dan ditetapkan dalam genom normal manusia atas sebab-sebab yang masih tidak diketahui.

Ramai ahli genetik berusaha keras untuk mencari jawapan kompleks berhubung perkara ini sehingga muncul banyak teori bagi menjelaskan proses penuaan sel. Antaranya, teori ‘wear and tear’, teori mutasi somatik, teori akumulator kesalahan, teori ‘aging-clock’, teori ‘cross-linkage’ dan teori radikal bebas. Kini, teori yang paling sering dikaitkan dengan penuaan ialah telomer.

Telomer dikesan dalam gen TERC. Gen ini berfungsi mengekalkan panjang telomer pada hujung setiap kromosom. Hal ini telah diketahui lama sejak tahun 1973 lagi oleh Alexey Olovnikov 1. Beliau berpendapat, penuaan merupakan proses yang berhubung kait dengan umur seseorang. Oleh itu, manusia akan mengalami perubahan sesuai dengan bertambahnya umur. Semakin bertambah usia seseorang itu, fungsi-fungsi organ tubuh juga semakin berkurang.

Akan tetapi, jika seseorang pembawa gen TERC, kecenderungan mengalami penuaan adalah lebih cepat berbanding orang lain kerana telomer memendek dengan sangat pantas. Dengan pengertian lain, orang yang membawa satu salinan gen tersebut akan tampak lebih tua tiga hingga empat tahun daripada usia mereka.

Pada 20 April 2012, sekumpulan pengkaji dari King’s College London dengan kerjasama Wellcome Trust Sanger Institute mengumumkan penemuan menggemparkan. Mereka mendakwa telah mengidentifikasikan ‘kunci’ yang boleh menghentikan gen penuaan. Gen penuaan itu dikatakan boleh ‘dihidupkan’ dan ‘dimatikan’ menggunakan mekanisme alamiah yang disebut sebagai epigenetik.

Epigenetik ini dikenal pasti sebagai bahagian yang mengendalikan dan memainkan peranan penting dalam menentukan kecepatan manusia menua serta umur yang panjang. Gen tersebut didakwa boleh menyala dan mati. Perubahan itu berlaku secara semula jadi mengikut hayat manusia, berserta faktor luaran lain seperti diet, gaya hidup dan persekitaran.

Dr. Jordana Bell dari King’s College London yang mengikuti kajian itu berkata, perubahan epigenetik telah dikenal pasti boleh digunakan sebagai ‘penanda’ penuaan biologi. Dengan mengetahui cara kerja gen tersebut, mereka yakin ia boleh menjadi ubat anti penuaan pada masa akan datang.

Soal benar atau tidak proses penuaan dapat dilambatkan atau terus dihentikan, hanya masa yang akan menentukan. Utv

Proses penuaan dapat dihentikan?


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Siang kutip sampah malam jadi perogol

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker