89 peratus pelajar tajaan Mara golongan B40

SHAH ALAM – Sebanyak 89 peratus pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) merupakan golongan daripada B40 yang mempunyai minda kelas pertama dan bertaraf global.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sehingga 30 September lalu, Mara telah menaja seramai 50,555 pelajar.

Beliau berkata, ia merangkumi 44,994 pelajar atau 89 peratus daripada golongan B40, selain 5,055 pelajar (10 peratus) daripada M40, dan 506 pelajar (satu peratus) daripada T20.

Menurutnya, sejak dahulu lagi Mara mengamalkan dasar yang memberi keutamaan kepada golongan B40 dan penduduk luar bandar untuk mendapatkan akses pendidikan lebih baik.

“Melalui program penganjuran pelajaran Mara ini, ia merupakan strategi serampang dua mata yang bukan sekadar memberi tumpuan dan peluang kepada pelajar miskin dan luar bandar.

“Malah, turut menjamin keperluan guna tenaga dan modal insan negara dapat dipenuhi selaras dengan perkembangan teknologi dan industri,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sementara itu, Mahdzir berkata, pelaksanaan tersebut bermula di peringkat pengambilan pelajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Institusi Pendidikan Mara (Ipma) dan Program Penajaan Pelajaran.

Menurutnya, Mara turut menyediakan penajaan pelajaran di institusi dalam dan luar negara berbentuk pinjaman boleh ubah kepada pelajar cemerlang bermula dari program persediaan sehingga ke peringkat doktor falsafah (PhD).

Antara pelajar yang menerima tajaan ke United Kingdom di bawah program Young Talent Development Program (YTP), IPMA Excellent Sponsorship Program (IESP) dan World Top University (WTU).

“Ia termasuk kursus-kursus pentauliahan profesional, kepakaran (spesialis) dan program kritikal yang diselaraskan mengikut keperluan negara pada masa hadapan,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata, Mara turut menyediakan peruntukan untuk membiayai 60,000 pelajar merangkumi 35,000 pelajar sedia ada dan 25,000 pelajar baharu bagi tahun 2021.

Jelasnya, pemilihan pelajar bagi mengikuti program penajaan itu bukan hanya tertumpu dari aspek status sosioekonomi (SES) keluarga, tetapi turut mengambil kira kecemerlangan akademik, kebolehan pelajar yang dinilai melalui ujian psikometrik, kokurikulum serta status institusi pendidikan dan program yang dipilih.

“Mara mengutamakan program pengajian dalam universiti terbaik dunia.

“Peratusan itu juga jelas menunjukkan bahawa Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bersama Mara sememangnya memberikan keutamaan kepada anak-anak dari keluarga B40, sekali gus menafikan dakwaan tajaan mereka lebih mengutamakan pelajar daripada keluarga T20.

“Saya mohon kepada orang ramai untuk merujuk Mara terlebih dahulu sekiranya terdapat dakwaan tidak berasas daripada pihak tertentu,” ujarnya.

Tambah Mahdzir, terbaharu Mara menghantar seramai 215 pelajar tajaannya ke United Kingdom di bawah program Young Talent Development Program (YTP), IPMA Excellent Sponsorship Program (IESP) dan World Top University (WTU).

89 peratus pelajar tajaan Mara golongan B40


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Mahdzir tepis dakwaan Mara utamakan pelajar dari keluarga kaya

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker