Pemulihan penyakit UMNO
DALAM bahagian pertama semalam, saya membicarakan tentang UMNO yang ‘tenat’ selepas kehilangan kuasa pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Saya ingin mencadangkan beberapa langkah untuk mengatasi ‘kelesuan’ UMNO agar menjadi lebih ‘tangkas’ demi menjamin prestasinya akan pulih kembali, malah akan lebih baik pada pilihan raya akan datang.
Langkah sedemikian boleh dinamakan sebagai proses peremajaan semula yang mempunyai beberapa komponen. Pertama, UMNO perlu melakukan proses menginsafi kesilapan ‘jika sesat di tengah jalan hendaklah kembali ke pangkal jalan’.
Kedua, proses memperbaharui semangat dan iltizam. Ketiga, proses menghidupkan kembali atau mempersegar idealisme perjuangan. Keempat, proses memberi pendidikan politik dan latihan berorganisasi yang lebih teratur dan berkesan kepada pemimpin parti di setiap peringkat.
Kelima, proses menggerakkan kembali pelbagai biro dalam tubuh badan UMNO. Keenam, proses membanteras politik wang dan ketujuh, proses meminda perlembagaan UMNO.
Dalam konteks ‘peremajaan semula’, langkah-langkah meminda perlembagaan hendaklah dilakukan secara bersepadu. Fikiran dan pendapat di luar UMNO perlulah dirujuk dan dipelajari dalam proses peremajaan itu.
Ertinya, tidaklah memadai dengan hanya merujuk pemimpin cawangan, bahagian atau ahli jawatankuasa perhubungan negeri. Untuk itu, sangatlah bijaksana jika UMNO memanfaatkan kepakaran dan sumber-sumber bebas yang lain daripada kalangan cendekiawan Melayu dan ilmuwan serta pakar-pakar perunding asing.
CENDIAKAWAN MELAYU
Pada zaman Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Hussein Onn, kepimpinan UMNO pelbagai peringkat mendapat pandangan dan buah fikiran cendekiawan Melayu melalui pelbagai cara seperti hubungan peribadi, ceramah politik, kursus kepimpinan atau sebagai ghost writers terutama untuk ucapan-ucapan penting. Antara tokoh cendekiawan itu termasuklah pandangan pakar undang-undang seperti Profesor Tan Sri Harun Hashim; pakar ekonomi dan cendekiawan, Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid; pakar media massa seperti Tan Sri A Samad Ismail, Datuk Mazlan Nordin serta Tan Sri Noordin Sopie.
Pada zaman kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad, seorang lagi cendekiawan Melayu yang turut menyumbang buah fikiran ialah Allahyarham Rustam A Sani.
Secara rambang, barisan pimpinan UMNO pelbagai peringkat dan tokoh cendekiawan memang sudah ada interaksi tetapi yang hendak dicadangkan secara spesifik ialah supaya pandangan, pendapat dan analisis cendekiawan itu diminta secara sistematik dan terancang (dalam bentuk kertas diskusi), kemudian dipelajari secara sungguh-sungguh menerusi bengkel dan seminar dengan penuh iltizam.
Malah, pandangan pakar perunding organisasi perancang strategik dan ahli-ahli sains politik dari luar negara juga perlu dimanfaatkan secara bijaksana. Bagi tujuan itu barangkali perlu diwujudkan satu jawatankuasa atau biro khas yang mempunyai urus setia atau kumpulan pengkaji khas.
Untuk perbandingan, perlu juga dikaji dan dipelajari sejarah serta masalah parti-parti politik lain sama ada di luar negara atau parti-parti politik di Malaysia sendiri. Malah, daripada Pas pun mungkin ada teladan dan sempadan yang boleh dijadikan iktibar dalam usaha ‘meremajakan semula’ UMNO.
Semuanya untuk menegaskan bahawa penyelesaian masalah UMNO tidak akan tercapai dengan hanya meminda kaedah pemilihan pemimpin atau memanjangkan tempoh jawatan mereka yang terpilih. Kesimpulannya, satu kajian objektif menyeluruh perlu untuk mengenal pasti pelbagai masalah dan kelemahan UMNO.
Berdasarkan penemuan dan analisis kajian tersebut, penyelesaian yang lebih lengkap dapat dirumuskan untuk dipertimbangkan. Mungkin ada yang akan berkata betapa berat mata memandang, beratlah lagi bahu memikul tetapi untuk kebaikan, sekali sekala UMNO perlu memandang dirinya melalui kaca mata orang lain.
* Datuk Dr Firdaus Abdullah ialah mantan senator dan mantan Naib Canselor Universiti Malaya
Pemulihan penyakit UMNO
Baca Artikel Menarik :
- Anak menteri India ditahan langgar mati petani tunjuk perasaan [VIDEO]
- Akibat rintihan, Mila Jirin dipanggil hadap menteri?
- Isteri Shuk Sahar ‘mengadu’ di media sosial sudah penat pertahankan rumah tangga
- Disuntik dadah dan diperkosa
- Rakan baik di sekolah jadi ibu tiri
- Saya tak minta nyawa dengan DAP – Rauf
- Kenapa Tak Boleh Sidai Baju Basah Dalam Rumah Sebabnya..
- Cara cetak sijil vaksin di MySejahtera
- Bantulah pakcik, susah sangat hidup ini
- Titik panas cetus Perang Dunia Ketiga
- Resepi Mee Kari Kerang Lazat Sungguh
Layari Laman Facebook MYKMU