Bersama Anwar ke penjara…

ADIK, abang, kakak, pak cik dan mak cik, anak dan ayah, sepupu sepapat sama-sama bergelut dalam arena politik bukanlah perkara baharu. Ada yang sama parti dan ada dalam parti yang berlainan. Ambil contoh Tan Sri Shahrir Samad dengan adiknya Khalid Samad. Seorang di dalam UMNO dan seorang lagi di dalam Amanah dan sebelum itu Pas.

Tapi yang menariknya tentang mereka berdua ialah kemudiannya ditakdirkan untuk menjadi menteri di kementerian yang sama iaitu Kementerian Wilayah Persekutuan. Yang ini jarang-jarang berlaku. Jadi mereka berdua mencatat sejarah sebagai adik dan abang yang pernah menerajui sebuah kementerian yang sama, tetapi menerusi parti yang berbeza.

Di Putrajaya, gandingan anak dan bapa sama-sama menerajui UMNO bahagian berkenaan iaitu Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebagai ketua bahagian manakala anaknya, Tengku Iqbal Munawwir sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian. Di Bagan Datuk pun suatu ketika dahulu menyaksikan gandingan yang sama iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai ketua UMNO bahagian manakala adiknya, Datuk Ahmad Nassaee Ahmad Termizi mengetuai Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian.

Di luar negara, ketika John F Kennedy menjadi Presiden Amerika Syarikat pada tahun 1961, adiknya, Robert Kennedy menjadi Peguam Negara manakala seorang lagi saudara mereka, Ted Kennedy menjadi senator. Ketiga-tiganya mewakili parti yang sama iaitu Parti Demokrat.

Terkini di tanah air kita sendiri, abang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob iaitu Kamarazaman Yaakob telah mengumumkan yang beliau akan membentuk sebuah parti politik baharu yang dinamakan Parti Kuasa Rakyat sebagai satu alternatif kepada parti-parti politik yang sedia ada.

Agak menarik dan mencuri perhatian kerana beliau adalah abang kepada perdana menteri dan memilih untuk menerajui sebuah parti politik baharu sekarang iaitu ketika adik beliau menerajui negara. Kenapa sekarang? Kenapa tidak setahun yang lalu atau dua tiga tahun yang lalu? Hanya Kamarazaman sahaja yang ada jawapannya.

Peja kata tolak kerjasama Umno-Bersatu hanya pandangan peribadi

Namun begitu, dari sudut populariti dan berkecimpung dalam perjuangan sebagai aktivis, Kamarazaman terlebih dahulu menempa nama berbanding adiknya itu. Mungkin ramai yang tidak tahu atau sedar yang Kamarazaman adalah aktivis kampus (Universiti Malaya) sama era dengan Hishamuddin Rais dan sebelum itu Anwar Ibrahim. Beliau pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ekoran demonstrasi Baling pada Disember 1974.

Kamarazaman juga pernah menulis buku perihal penglibatan beliau ketika zaman demonstrasi pelajar dahulu berjudul “Bersama Anwar Ke Penjara”. Belalang sendiri pernah membeli dan membaca buku tersebut sehingga habis. Malangmya buku itu hilang entah ke mana sudah tiada lagi di perpustakaan peribadi Belalang.

Buku tersebut laku keras dan menjadi rebutan ramai. Tapi banyak juga yang diangkut pihak berkuasa dari kedai-kedai buku mamak dan tepi jalan.

Ketika itu yang turut ditahan bersama Anwar di Kem Kamunting, Taiping di bawah ISA ialah Kamarazaman, Datuk Ibrahim Ali, Dr Syed Husin Ali, Adi Satria (kemudiannya berkhidmat sebagai Pengurus Besar Pengiklanan Utusan Melayu), Hamzah Kassim, CC Yong, Yong Ah Chit dan Yeo Ben Foo. Ketika ditahan di bawah ISA, Anwar adalah presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) manakala Kamarazaman adalah Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya.

Kini dengan hasrat untuk melancarkan sebuah parti politik baharu yang akronimnya akan kelihatan seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR), Kamarazaman memberi jaminan yang Parti Kuasa Rakyat tidak sesekali akan menggunakan singkatan itu untuk tidak mengelirukan orang ramai. Sebaliknya mereka akan menggunakan akronim ‘Kuasa Rakyat’. Mereka mahu memperjuangkan suara rakyat marhaen dan nasionalisme.

Parti Kuasa Rakyat ini akan dilancarkan hari ini (Ahad). Kebetulan juga, Tengku Razaleigh Hamzah dan rakan- rakan veterannya dalam UMNO turut berkira-kira mahu menghidupkan kembali UMNO lama.

Bagaimana mekanisma dan caranya masih belum dijelaskan lagi tapi usaha ke arah itu sudah ada. 
Jadi akhirnya Belalang nampak, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti akan meriah dengan pelbagai parti yang masuk gelanggang. Ini belum masuk lagi Parti Muda yang diusahakan oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

* Belalang – Selamat Maju Jaya…

Bersama Anwar ke penjara…


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Tak dapat jadi PM pun tak apalah – Anwar

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker