KKM dah sediakan SOP untuk PRN Melaka – Khairy

KKM dah sediakan SOP untuk PRN Melaka – Khairy

Kementerian Kesihatan (KKM) telah menyediakan garis panduan prosedur operasi standard (SOP) pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan sedia berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sekiranya ia dilaksanakan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bagaimanapun berkata, pihaknya masih menunggu keputusan Jemaah Menteri berhubung pelaksanaan PRN itu, sebelum SOP berkenaan diperincikan.

“KKM sudah memberi pandangan kepada Jemaah Menteri semalam berkenaan SOP PRN Melaka dan kita serah kepada Jemaah Menteri untuk buat keputusan terlebih dahulu, sama ada PRN diteruskan atau tidak.

“Sekiranya diteruskan, maka KKM dah ada pandangan kita berkenaan SOP tertentu yang perlu diambil kira oleh SPR, terlalu awal untuk kita buat pengumuman biar Jemaah Menteri buat keputusan dulu,” katanya selepas merasmikan wad kanak-kanak, mesin pengimbas MRI dan Pensijilan ISO 9001: 2015 Pusat Perubatan Mawar di sini, hari ini.

SPR menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka penggal ke-14 pada Isnin lepas daripada Speaker DUN Melaka, Ab Rauf Yusoh, selepas kerajaan negeri dipimpin Umno hilang majoriti dalam DUN.

Berdasarkan Fasal (4) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka, pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran DUN itu.

Dalam pada itu, Khairy berkata, KKM sudah memberi “lampu hijau” bagi pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 yang akan dimulakan pada minggu hadapan dengan Sarawak menjadi negeri pertama yang memulakan inisiatif berkenaan.

Beliau berkata, perkara itu turut mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NRPA), Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

“Jadi, sekarang kita sudah bersedia bila-bila masa, minggu depan kita dah boleh mula, saya dah bagi lampu hijau, kita akan melihat kepada penghantaran bekalan dan pada bila-bila masa kita boleh berikan kepada mereka yang layak terima.”

Beliau sebelum ini berkata, kumpulan rentan atau golongan berisiko tinggi yang dikenal pasti KKM akan diberi keutamaan menerima suntikan dos berkenaan, termasuk golongan berisiko tinggi berusia 60 tahun ke atas serta mereka yang mempunyai komorbid serius.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan membuat perolehan ubat antiviral Covid-19 daripada beberapa syarikat pengeluar farmaseutikal, termasuk dari India, namun perlu melihat keselamatan dan keberkesanannya terlebih dahulu.

Sementara itu, Khairy berkata, keputusan membenarkan aktiviti rentas negeri sekiranya jumlah vaksinasi Covid-19 populasi dewasa mencapai sebanyak 90% adalah tepat, selain negara juga mencapai liputan vaksinasi yang luas ketika ini.

“Kita perlu percaya kepada rakyat, kalau kita tidak beri mereka merentas negeri, ini akan menyumbangkan kepada masalah seperti tekanan mental dan emosi, ada ramai yang sudah sampai setahun tak jumpa keluarga dan ibu bapa mereka.”

Katanya, jika negara perlu menunggu hingga 70% daripada keseluruhan populasi rakyat divaksinasi, maka orang ramai perlu menunggu lebih lama untuk pembukaan sempadan negeri memandangkan 20% daripada populasi adalah mereka di bawah 12 tahun.

“Tidak ada vaksin untuk kanak-kanak buat masa sekarang, masih belum diluluskan mana-mana regulator, termasuklah Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA), takkan kita nak tunggu hingga 90% populasi tahun depan?” FMT

KKM dah sediakan SOP untuk PRN Melaka – Khairy


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Pasangan 50 tahun ke atas lebih nikmat hubungan intim

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker