Jokowi berusaha raih sokongan di Papua

JAKARTA: Kerajaan pimpinan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi), berusaha lebih keras meraih sokongan di Papua yang mendakwa dianaktirikan kerajaan pusat.

Indonesia membelanjakan AS$11 bilion (RM45 bilion) dalam tempoh tujuh tahun di wilayah miskin itu tetapi kaya dengan sumber semula jadi dalam usaha memenangi hati penduduk

Jokowi kini dilihat berusaha lebih keras di wilayah sering bergolak yang dicemari tunjuk perasaan pemisah dan minggu lalu, beliau mengadakan lawatan ke wilayah paling timur Papua dan Papua Barat.

Tindakannya membantu petani menanam jagung dan memberikan jaketnya kepada penduduk tempatan dilihat sebagai pendekatan lebih lembut bagi mengakhiri krisis yang berpanjangan.

Indonesia menghabiskan berbilion dolar AS antara 2014 hingga sekarang untuk membina sebuah stadium sukan, jalan bertol sepanjang 3,462 kilometer (km), sebuah hospital, lima pelabuhan dan enam lapangan terbang baharu.

Kemuncak lawatan Jokowi adalah acara disertai 10,000 orang di Jayapura, ibu kota wilayah Papua, bagi merasmikan minggu sukan nasional yang diadakan buat kali pertama di luar pusat ekonomi dan politik kepulauan Jawa serta Sumatera.

“Minggu sukan ini menunjukkan pembangunan Papua, persediaan infrastruktur dan kesediaan penduduk Papua untuk menjadi tuan rumah acara besar,” kata Jokowi.

Beliau adalah Presiden Indonesia pertama yang secara berkala mengunjungi kedua-dua wilayah itu serta berusaha meningkatkan ekonomi tempatan, sekali gus meredakan kebencian puluhan tahun.

Wilayah itu dilanda konflik selama bertahun-tahun antara kumpulan pro-kemerdekaan dan pemerintah berhubung pelanggaran hak asasi manusia dan eksploitasi sumber semula jadi.

Kemelut bermula selepas Papua menjadi sebahagian daripada Indonesia susulan pungutan suara penuh kontroversi yang disokong Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) pada 1969.

Walaupun menjadi antara lokasi lombong emas terbesar di dunia, lebih 25 peratus penduduk Papua hidup di bawah garis kemiskinan dan tahun lalu, Pejabat Hak Asasi Manusia PBB membangkitkan keprihatinan terhadap peningkatan keganasan di Papua Barat. – AGENSI

Jokowi berusaha raih sokongan di Papua


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


[VIDEO] Mega dan megah… Jokowi kongsi cadangan reka bentuk ibu negara baharu Indonesia di Kalimantan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker