Novel Melayu pertama dari Sarawak?

Sebaran :

Novel Melayu pertama dari Sarawak?

KUCHING: Lebih banyak kajian dan perbincangan akademik perlu dibuat bagi memberi justifikasi yang tepat dalam menamakan novel Melayu pertama.

Hal ini disebabkan walaupun Hikayat Faridah Hanum tulisan Syed Syeikh Al Hadi yang terbit pada 1925 selalu dirujuk sebagai novel Melayu pertama, ia adalah kisah yang mengambil latar tempat di Mesir.

Justeru terdapat pandangan lain yang lebih cenderung untuk mengangkat novel Iakah Salmah terbitan 1927 tulisan Ahmad Rashid Talu. Naskhah itu lebih dianggap tepat kerana mengambil latar masyarakat kota di Pulau Pinang.

Namun, sebenarnya hampir 50 tahun sebelum itu sudah terdapat sebuah karya bertulisan jawi diterbitkan di Sarawak yang mengangkat kisah sosiobudaya masyarakat Melayu di sana ketika zaman penjajahan James Brooke iaitu Hikayat Panglima Nikosa.

Naskhah tulisan Ahmad Syawal Abdul Hamid itu bukan hanya menampilkan Sarawak sebagai latar cerita malah wataknya adalah orang tempatan. Malah sebahagian rakaman naskhah itu misalnya tumbuh-tumbuhan yang dicatatkan dalam karya itu hanya boleh ditemui di sana.

Justeru bagi Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Che Abdullah Che Ya ketika tampil sebagai panel dalam Bicara Pusaka Bangsa Siri Tiga yang disiarkan di laman Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) minggu lalu berkata, naskhah itu perlu diberi perhitungan yang sebaiknya sebagai novel Melayu pertama.

“Kita tidak boleh melihat sifat fizikal Hikayat Panglima Nikosa yang hanya setebal 29 halaman sebagai sebab untuk menolaknya menjadi novel Melayu pertama.

“Hal ini disebabkan pada zaman itu istilah cerpen atau novel belum lagi wujud dalam sastera Melayu. Apa yang ada ketika itu adalah cerita lucu. Namun Hikayat Panglima Nikosa lebih panjang daripada itu,” katanya.

Sosio budaya Melayu Sarawak

Tegas Che Abdullah, naskhah itu adalah dokumentasi penting sosio budaya masyarakat di Sarawak yang turut merangkumi ekonomi dan politik.

Malah dalam naskhah itu juga dirakamkan sifat dan kepimpinan termasuk dalam generasi muda yang hidup bermuafakat selain pengurusan negara yang sistematik.

Novel berkenaan yang dicetak secara litografi pada 1876, ditemui dalam simpanan Rhodes House Library of Oxford, England oleh Sarawak Literary Society. Ia pernah berada dalam simpanan bekas residen Inggeris ke Perak, Sir Hugh Low. Mengikut catatan sejarah, Low pernah bekerja dengan Brooke sebelum itu.

DBP sebelum ini turut membincangkan mengenai kedudukan naskhah berkenaan dalam acara Bicara Pusaka Bangsa Siri Dua yang menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif New Sarawak Tribune dan SV News Sdn Bhd, Dr Jeniri Amir dan Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Malaysia Sarawak, Dr Fatimah Subet.

Jeniri berkata, Hikayat Panglima Nikosa adalah naskhah penting kerana ia lahir dalam zaman peralihan sastera lisan dan bercetak. Hal ini akan menjadikannya terus relevan dan akan terus dikaji.

Malah, novel itu adalah testimoni masyarakat Melayu di Sarawak ketika itu sudah tersusun dan hidup bermasyarakat berbanding bangsa lain. Bagaimanapun, setakat ini tidak banyak diketahui mengenai Ahmad Syawal sebagai penulisnya jika dibandingkan dengan seorang lagi tokoh sastera Melayu moden iaitu Abdullah Munshi.

“Catatan mengenai Ahmad Syawal hanya ditemui dalam buku tulisan Margaret Brooke yang terbit pada 1903. Berdasarkan tulisan itu, Ahmad Syawal adalah orang yang berkedudukan disebabkan pengalaman, pengetahuan dan mungkin kerana pekerjaannya ketika itu.

“Namun saya percaya ia juga disebabkan sumbangannya dalam sastera dan budaya,” katanya.

Kuching pusat intelektual

Katanya, pada zaman naskhah itu dicetak Kuching adalah pusat intelektual, ketamadunan dan kebudayaan Melayu. Hal itu malah sudah dirakamkan dalam Sarawak Gazette, penerbitan yang diusahakan oleh Kerajaan Negeri Sarawak dan ditangani Charles Brooke. Sarawak Gazette yang mula terbit pada 1870 dicetak menggunakan peralatan milik kerajaan negeri.

Hal ini katanya menjelaskan kemungkinan naskhah itu diterbitkan sendiri oleh penulisnya namun ia memerlukan kajian yang lebih lanjut.

“Hal ini juga menjelaskan kedudukan Hikayat Panglima Nikosa yang berbeza dengan hikayat lain pada zamannya. Ia menampilkan sifat invidualisme pengarangnya yang mana ada menyertakan nama pengarangnya dalam naskhah berbanding karya lain yang tidak menamakan penulisnya.

“Malah, ia juga bukanlah cerita lipur lara sebaliknya merakamkan sosio budaya masyarakat Melayu Sarawak pada zaman itu,” katanya.

Tambah Jeniri, naskhah itu memuatkan warna tempatan dengan nama tumbuhan dan senjata yang biasa ditemui di Sarawak. Namun nama watak utamanya Nikosa agak asing dan jarang ditemui dalam kalangan orang Melayu di negeri itu.

Namun, pelukisan wataknya menampilkan karakter yang penuh wibawa dan digambarkan sebagai pemimpin yang berintegriti dan prihatin.

“Lebih banyak kajian mengenai naskhah dan pengarang ini seharusnya dibuat malah bukan mustahil untuk melobi naskhah ini untuk mendapatkan pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) ,” katanya. BH

Novel Melayu pertama dari Sarawak?


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Ustaz Kazim Dedah Disihir Punca Kaki Membengkak


Sebaran :

Leave a Reply