Ubah Suai Seri Perdana : Perlukah Ismail Pertahankan Muhyiddin

Oleh Nurul Aisyah

PANAS isu pengubahsuaian kediaman rasmi perdana menteri di Seri Perdana yang membabitkan kos sebanyak RM38.5 juta. Jika kerajaan berada dalam keadaan stabil dan ekonomi melonjak sudah tentu perkara ini tidak dibangkitkan.

Negara diserang pandemik Covid19. Rakyat dihimpit kos sara hidup. Mereka bergelut untuk hidup malah ramai yang hilang pekerjaan. Oleh itu tindakan kerajaan mengubah suai kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana membabitkan kos sebanyak RM38.5 juta dilihat sebagai melampau.



Ramai pihak turut mempersoalkan rasional kerajaan Perikatan Nasional (PN) membelanjakan lebih RM1 juta untuk mengubah suai dan membeli perabot baharu bagi pejabat kegunaan empat menteri dan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 2020 dan 2021.

Pengubahsuaian Seri Perdana dikatakan bermula pada Mac 2020 dan dijangka siap pada 7 Disember 2021. Ini bermakna sebaik sahaja Muhyiddin Yassin menerajui kerajaan, antara perkara pertama yang beliau lakukan adalah “renovation” Seri Perdana sedangkan rumah kediaman Perdana Menteri tersebut masih berada dalam keadaan yang sangat baik. Tidak ada sebarang keperluan pengubahsuaian.

Persoalannya, perlukah Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mempertahankan tindakan Muhyiddin yang dilihat sangat tidak masuk akal serta melampau.

Dalam satu jawapan bertulis di Dewan Rakyat, Ismail Sabri menjelaskan kerja ubah suai dan naik taraf Kompleks Seri Perdana dilakukan setelah mengambil kira faktor keselamatan Perdana Menteri, selain memastikan imej negara dalam keadaan baik ketika menyambut tetamu luar negara.



“Pengubahsuaian ini meliputi skop-skop utama seperti penambahbaikan pendawaian elektrikal, mekanikal, serta sistem penghawa dingin dan pengubahsuaian struktur di blok kediaman rasmi serta penggantian perabot-perabot rasmi yang telah uzur dan daif, sesuai dengan status kediaman rasmi Perdana Menteri Malaysia,” katanya.

Minggu lalu, Dewan Rakyat turut dimaklumkan mengenai kos ubah suai dan pembelian perabot baharu membabitkan peruntukan lebih RM1 juta untuk kegunaan empat menteri dan timbalan menteri JPM melibatkan dua menteri masing-masing bertanggungjawab hal ehwal undang-undang serta Sabah-Sarawak, selain timbalan mereka.

Tindakan kerajaan itu disifatkan sebagai tidak adil ketika jabatan kerajaan yang berada di lapangan terpaksa mendapatkan pendanaan awam (crowdfunding) bagi membeli peralatan seperti bantuan oksigen dan katil untuk kegunaan di hospital.

Jelas dan terang “renovation” ini dicetuskan ketika kerajaan Muhyiddin berkuasa. Sepatutnya Ismail Sabri biarkan Muhyiddin sendiri menjawab pertanyaan berkenaan perkara tersebut. Bukan beliau punya “angkara”.



Artikel ini adalah pendapat penulis dan Mykmu.net tidak semestinya bersependapat dengannya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker