Tarik balik lesen memandu warga emas pilihan terakhir – Wee

Sebaran :

Tarik balik lesen memandu warga emas pilihan terakhir – Wee

Menarik balik atau mengehadkan lesen memandu bagi pemandu berusia 70 tahun ke atas akan menjadi pilihan terakhir, selepas individu itu didapati tiada keupayaan memandu, kata Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong.

Dalam maklum balas di Facebook, Wee menyifatkan menilai seseorang hanya berdasarkan faktor umur atau merujuk kes terpencil adalah diskriminasi terhadap golongan berkenaan,

Justeru, beliau berkata, sebarang perubahan dasar berhubung lesen memandu dan cukai jalan perlu dilakukan dengan pendekatan sistematik, menyeluruh serta berdasarkan bukti kukuh.

“Isu mengenai kemalangan jalan raya membabitkan warga emas turut dihadapi sebahagian masyarakat dunia, namun menarik balik atau mengehadkan lesen sah mereka harus jadi pilihan terakhir, setelah terbukti mereka tiada keupayaan atau kemampuan untuk memandu.

“Ramai pemandu lebih 70 tahun menunjukkan kecekapan berbanding pemandu berusia muda atas beberapa faktor, termasuk tahap kesihatan.”

Beliau mengulas cadangan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Azisman Alias semalam untuk mengehadkan pengeluaran lesen memandu kepada warga emas, susulan trend peningkatan kemalangan jalan raya membabitkan golongan berusia.

Azisman menyarankan kerajaan memperkenalkan sistem penilaian untuk menilai kemampuan warga emas, sebelum membenarkan mereka memperbaharui lesen memandu atau menunggang.

Beliau turut mencadangkan kumpulan perubatan dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya menjalankan kajian berhubung kemungkinan memperkenalkan ujian kemampuan atau kognitif untuk pemandu warga emas.

Wee berkata, tindakan mengehadkan cukai jalan kepada warga emas akan menimbulkan masalah lain, antaranya mereka terpaksa meminjam kenderaan orang lain untuk kegunaan peribadi.

Katanya, tindakan itu juga akan memberi kesan kepada penduduk di kawasan pedalaman yang kebanyakannya menggunakan motosikal sebagai kenderaan utama untuk mencari rezeki serta mendapatkan kemudahan kesihatan di bandar.

Bagaimanapun, beliau berkata, kementeriannya akan meneliti isu itu lebih kolektif dan inklusif, dengan mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan untuk merangka pelan penambahbaikan berkesan serta mampan.

Dalam pada itu, Wee berkata, Seksyen 30 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang berkuat kuasa hari ini menetapkan tanggungjawab pemandu atau pemegang lesen menyerahkan lesen memandu secara sukarela apabila mereka mempunyai tahap kesihatan tidak memuaskan yang boleh membahayakan pengguna jalan lain.

“Oleh itu, menjadi tanggungjawab pemegang lesen untuk menyerahkan lesen memandu di mana-mana pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan.”

Mac lalu, seorang warga emas berusia 78 tahun disaman kerana memandu kereta di laluan motosikal dekat Lebuhraya Grand Saga, Kajang.

Dalam kejadian 10.55 pagi itu, lelaki yang memandu Mercedes Benz dalam perjalanan dari Balakong menghala ibu negara itu mengakui tidak sihat dan silap masuk lorong. FMT

Tarik balik lesen memandu warga emas pilihan terakhir – Wee


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Wajah Uqasha dah macam Sajat


Sebaran :

Leave a Reply