Awas Macau Scam Menyamar Pegawai LHDNM

SUDAH banyak kali Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) mengingatkan orang ramai supaya berwaspada dengan penipuan Macau Scam yang menyamar sebagai pegawainya.
Malangnya dari 1 Januari hingga 27 Mei 2021, sebanyak 556 kes melibatkan kerugian lebih RM15.26 juta berkaitan penipuan Macau Scam menyamar pegawai LHDNM dilaporkan kepada pihak polis.

Maksudnya masih ada rakyat Malaysia dengan begitu senang dipermainkan oleh penjenayah Macau Scam walaupun telah banyak kali modus operandi mereka didedahkan kepada umum.

Kita tidak pasti mengapa keadaan itu berlaku. Adakah kerana sikap sebilangan rakyat Malaysia sememangnya tidak ambil peduli dan peka terhadap info semasa atau sememangnya mereka mudah diperdaya lalu terpedaya?



Ini kerana modus operandi penipuan Macau Scam sangat mudah iaitu hanya dengan menghubungi mangsa melalui panggilan telefon dan memperkenalkan diri sebagai pegawai dari LHDNM.

Scammer seterusnya akan menyatakan syarikat atau perniagaan mangsa masih mempunyai tunggakan cukai yang mesti dilunaskan lantas mangsa pun terpedaya lalu menyerahkan wang kepada mereka.

Terdapat beberapa pandangan mengapa penipuan itu sangat mudah untuk dilakukan antaranya disebabkan sikap mudah panik, kenaifan atau keyakinan tinggi seseorang bahawa mereka tidak akan sama sekali ditipu.

Tetapi yang paling kerap dipetik apabila penipuan tersebut berlaku adalah menjadi mangsa pukau atau hipnotis penjenayah Macau Scam sedangkan dakwaan ini sangat sukar untuk dibuktikan.



Kerana berdasarkan pemahaman umum hipnotis bukan suatu proses yang mudah untuk dilakukan oleh mana-mana pihak termasuk oleh pakar berkelayakan apatah lagi melalui panggilan telefon.

Maka kesimpulannya cukup mudah iaitu jangan sesekali mudah gentar apabila ada individu mengaku sebagai pihak berkuasa menghubungi anda tidak kira daripada jabatan atau agensi mana sekali pun.

Tanya apa mereka mahu dan selepas dimaklumkan terus letak telefon. Kemudian hubungi nombor telefon jabatan atau agensi terlibat yang diperoleh hanya menerusi laman web rasmi bertanyakan tentang perkara itu.

Bagi sebarang persoalan berkaitan LHDNM boleh dilakukan dengan menghubungi Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 atau 603-89111100 untuk talian luar negara.



Atau membuat rujukan secara dalam talian melalui HASiL Live Chat atau hadir terus ke cawangan LHDNM berdekatan. Ingat sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada guna.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker