NGO, penduduk bantah cadangan bina taman tema di Cameron Highlands

NGO, penduduk bantah cadangan bina taman tema di Cameron Highlands

Cadangan taman tema bertemakan ski bernilai RM100 juta di kawasan seluas 60 ekar di Cameron Highlands dibantah penduduk tempatan serta NGO yang bimbang akan kesannya terhadap alam sekitar.

Pada awal Ogos, pemaju taman tema Sim Leisure Group dilaporkan berhasrat membina sebuah taman tema bernama “ESCAPE Cameron Highlands”.

Namun penduduk tempatan dan pejuang alam sekitar bimbang ia hanya akan memburukkan lagi masalah tanah runtuh, pembangunan berlebihan dan penebangan hutan di sana.

“Mereka (Sim Leisure Group) nampaknya tinggal dalam fantasi. Bagaimana mereka boleh terifikir projek seumpama ini di sana.

“Masalah dengan negara ini adalah apa saja boleh berlaku. Saya sifatkannya sebagai projek gila di kawasan yang sangat sensitif,” kat Presiden Friends of the Earth Malaysia, Meenakshi Raman seperti dipetik Southeast Asia Globe.

Dia mengingatkan berkenaan pembangunan berlebihan di Cameron Highlands – sebuah kawasan dengan purata dua kejadian tanah runtuh setiap tahun.

Pada akhir Ogos, tanah runtuh yang berlaku akibat banjir dekat Gunung Jerai meragut enam nyawa, manakala tanah runtuh pada 16 September meragut satu nyawa.

“Cameron Highlands tidak kebal daripada (banjir dan tanah runtuh) jadi sebarang cadangan untuk pelancongan yang tidak wajar tidak patut dibenarkan.

“Kita patut tumpu kepada menguatkan ketahanan ekosistem, terutama tanah tinggi, memandangkan ia sangat mudah terkesan dengan impak cuaca,” katanya lagi.

‘Bertindih dengan tarikan sedia ada’

Selain cerun ski, rekaan taman tema itu diambil daripada khazanah Eropah dan dibahagikan kepada lima perkampungan gaya Eropah – Iberian, British Isle, Balkan, Nordic dan Alpine – dan menampilkan permainan tradisional daripada budaya-budaya tersebut.

Pengerusi Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Pahang, Noor Jehan Abu Bakar berkata taman tema itu tidak sesuai dengan tarikan sedia ada di Cameron Highlands, yang telah pun menjadikannya destinasi pelancongan antarabangsa.

“Cameron Highlands sentiasa dipasarkan sebagai kawasan tanah tinggi dengan alam semulajadi.

“Taman tema tidak kena dengan ciri-ciri Cameron Highlands sejak sekian lama,” katanya.

Katanya lagi, infrastruktur sedia ada di sana tidak dapat menampung taman tema dan peningkatan orang yang akan disebabkannya, memandangkan jalan utamanya yang sempit.

“Anda perlukan dua jam untuk ke kawasan sejauh lima kilometer. Jika ada sebuah lagi taman tema, adakah anda akan bina jalan yang lebih besar, atau jalan lain?” soalnya.

Mengubah tanah gersang menjadi tarikan ‘hijau’

CEO Sim Leisure Group Sim Choo Kheng berkata, pihaknya telah membuat pertimbangan cermat sebelum memilih kawasan untuk projek itu – sebuah tanah persendirian milik syarikat hartanah Hektar Muda Sdn Bhd.

Katanya, projek itu serupa dengan taman tema “ESCAPE Penang”, yang telah mengubah kawasan gersang kepada taman rekreasi dikelilingi lebih 3,000 pokok.

“Kita akan mengubah tapak yang terabai menjadi lokasi di mana keluarga dapat menikmati pengalaman berasaskan alam sekitar.

“Kita akan tingkatkan kehijauan di kawasan itu dengan penanaman pokok berskala besar dan mengekalkan keadaan alam sekitar sedia ada,” katanya, sambil menambah ia juga akan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Syarikat itu pada masa ini sedang melaksanakan penilaian impak alam sekitar (EIA). Projek itu dilaporkan belum menerima kelulusan untuk memulakan pembinaan.

Tiada rundingan dengan orang tempatan

Bagaimanapun seorang penduduk tempatan, Dilip Martin berkata syarikat itu tidak pernah memaklumkan secara terus tentang projek itu kepada mereka, mahupun mendapatkan pandangan penduduk setempat.

Katanya, projek pembangunan besar – walaupun di tanah persendirian – biasanya berunding dengan pihak berkuasa dan penduduk setempat terlebih dahulu.

“Kami terkejut kerana sebagai orang tempatan, kami patut tahu terlebih dulu.

“Apabila pelan dihantar kepada pihak berkuasa tempatan, mereka akan hantar surat kepada semua pemegang taruh untuk mendapatkan maklum balas,” katanya yang juga presiden Regional Environmental Awareness Cameron Highlands (Reach).

Katanya lagi, jika projek itu akan meningkatkan keindahan semula jadi, orang tempatan pastinya akan memberi sokongan.

“Jika taman tema kata mereka akan bina jambatan pejalan kaki terpanjang, saya sendiri akan sokong.

“Saya tak kata kami tolak pembangunan. Kita perlukan pembangunan, tetapi ia mestilah lestari.

“Apabila orang datang ke Cameron Highlands, mereka mahukan alam semula jadi. Jadi kenapa mahu ganggu perkara itu?” soal Dilip.

Walapun taman tema itu dilaporkan akan menggunakan sistem tenaga boleh diperbaharui sepenuhnya, ia tidak cukup untuk meredakan kebimbangan penduduk tempatan.

Pada bulan lalu, penduduk di sana memulakan petisyen dalam talian untuk menggesa pihak berkuasa, antaranya kerajaan negeri dan Jabatan Alam Sekitar, untuk menolak projek itu.

Pada masa ini, ia sudah mendapat 56,197 tandatangan.

Pembinaan fasa pertama dijangka bermula Disember ini. Projek itu dijadual siap pada 2023.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Adun Tanah Rata, Chiong Yoke Kong menggesa kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan untuk mengadakan sesi pendengaran awam secara terbuka untuk mendapatkan pandangan pelbagai pihak. Mk

NGO, penduduk bantah cadangan bina taman tema di Cameron Highlands


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


NGO, penduduk bantah cadangan bina taman tema di Cameron Highlands

Ular sawa belit kaki, lelaki selamba ajak berbual

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker