RM9.13 bilion untuk Sabah, Sarawak terlalu sedikit-Jeffrey Kitingan

RM9.13 bilion untuk Sabah, Sarawak terlalu sedikit-Jeffrey Kitingan

KOTA KINABALU: Sabah layak menerima peruntukan pembangunan jauh lebih besar daripada peruntukan yang diumumkan Perdana Menteri semalam.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata, peruntukan pembangunan berjumlah RM9.13 bilion untuk Sabah dan Sarawak seperti diumumkan sempena sambutan Hari Malaysia itu terlalu sedikit.

Timbalan Ketua Menteri, yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan ini berkata, sekiranya Kerajaan Persekutuan mengutip hasil RM60 bilion setahun daripada negeri ini maka, Sabah layak menerima 40 peratus daripada jumlah kutipan hasil itu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kita ingin mendapatkan hak kewangan yang tertera dalam perlembagaan. Jika kutipan hasil RM60 bilion maka, Sabah berhak menerima sekurang-kurangnya RM24 bilion. Namun, peruntukan diumumkan semalam hanya RM9.13 bilion dibahagi antara Sabah dan Sarawak, ia seperti kacang.

“Kita memerlukan lebih banyak peruntukan kerana ia sudah dinyatakan secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan. Kita memerlukan kewangan yang lebih besar untuk membangunkan Sabah dan kita tidak minta lebih daripada itu, kita minta apa yang termaktub dalam perlembagaan.

“Jadi, saya merayu kepada kerajaan persekutuan untuk pertimbangkan perkara ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas lawatan ke kawasan banjir sekitar pusat bandar raya dan Penampang, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memperuntukkan sebanyak RM4.66 bilion kepada Sabah dan RM4.47 bilion kepada Sarawak bagi pembangunan di kedua-dua negeri tersebut.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Keningau ini meminta kerajaan persekutuan untuk menyalurkan keseluruhan peruntukan yang berjumlah RM401 juta bagi melaksanakan projek mitigasi banjir yang dinamakan projek pembangunan Lembangan Sungai Moyog

Setakat ini, Sabah hanya menerima RM281 juta iaitu separuh daripada peruntukan bagi projek berkenaan. Ia menyebabkan kerja-kerja pemindahan utiliti seperti tiang elektrik, sistem perpaipan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) tidak dapat dilakukan kerana masih menunggu peruntukan.

“Kita memerlukan keseluruhan peruntukan bagi menyiapkan projek yang membabitkan Sungai Moyog dan Putatan ini. Projek ini mempunyai empat pakej dan dua pakej sedang dalam pelaksanaan.

“Ketika ini, kita sudah mulakan kerja pelebaran parit kepada tujuh meter dan kita juga mendalamkan parit tersebut bagi mengurangkan impak banjir di sekitar Penampang dan Putatan,” katanya.

Menjelang hujung tahun ini, taburan hujan dijangka lebih tinggi dan kejadian banjir akan berlaku sekali lagi maka, peruntukan penuh diperlukan bagi mempercepatkan kerja-kerja pembangunan.

Projek pembangunan lembangan Sungai Moyog ini diumumkan oleh Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada 28 Februari 2017 dan dijadualkan siap pada tahun ini. Utusan

RM9.13 bilion untuk Sabah, Sarawak terlalu sedikit-Jeffrey Kitingan


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Ular sawa belit kaki, lelaki selamba ajak berbual

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker