Anwar tegaskan usul undi percaya PM masih perlu

Pakatan Harapan (PH) menyifatkan undi percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu pada persidangan parlimen kali ini.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PH melihat isu itu masih wujud berdasarkan titah Yang di-Pertuan Agong kepada ketua-ketua parti politik sebelum ini.

“Dalam isu usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, PH melihat bahawa masih wujud keperluan ia diadakan secepat mungkin pada sidang Parlimen kali ini berdasarkan titah Yang di-Pertuan Agong kepada ketua-ketua parti politik sewaktu sesi menghadap di Istana Negara pada 17 Ogos lalu.

“Titah itu adalah bagi mengabsahkan bahawa Perdana Menteri telah mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sebelum ini, Perdana Menteri dilaporkan tidak memerlukan usul undi keabsahan bagi pelantikan dirinya pada persidangan Dewan Rakyat yang akan datang.

Perkara tersebut dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam sidang akhbar pada 7 September lalu.

Dalam pada itu, Anwar berkata, PH mengalu-alukan kenyataan Perdana Menteri berhubung penambahbaikan bagi Parlimen dan pentadbiran kerajaan.

Bagaimanapun, katanya, PH akan terus memperjuangkan isu rakyat dan menyokong sebarang usaha prorakyat terutama ketika negara masih dilanda wabak Covid-19.

Jelas beliau, PH akan turut mengusulkan peruntukan tambahan sebanyak RM45 bilion untuk segera meringankan beban hidup rakyat.

“Keutamaan PH semestinya berteraskan reformasi Parlimen, reformasi fiskal dan program prorakyat termasuk moratorium pinjaman bank buat golongan M40 dan B40, dan kebebasan institusi kehakiman.

Sementara itu, DAP mencadangkan agenda perubahan dibawa Ismail Sabri bukan sahaja melibatkan reformasi politik malah perlu membabitkan aspek ekonomi dan penjagaan kesihatan awam.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, perlunya satu rancangan pemulihan ekonomi berjumlah RM45 bilion dan pengecualian faedah dalam tempoh moratorium pinjaman bank serta peralihan daripada bantuan kecemasan ‘one off’ kepada berkala dan kerap untuk menstabilkan semula ekonomi setelah negara kerugian RM500 bilion.

Beliau menambah, Pelan Reset Covid-19 Negara diperlukan demi mendepani kehidupan endemik atau hidup bersama virus berkenaan.

“Hanya dengan pendekatan keseluruhan masyarakat terhadap reformasi dalam politik, ekonomi dan penjagaan kesihatan awam, barulah akan ada fokus bersama untuk memenangkan pertempuran melawan Covid-19 dan menyelamatkan ekonomi sedang tenat bagi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat.

“Kementerian Kewangan perlu segera menyuntik RM45 bilion untuk menambah Dana Covid-19 setelah RM65 bilion hampir habis digunakan dan hanya berbaki RM8.6 bilion untuk dibelanjakan bagi separuh kedua 2021 berbanding RM18.4 bilion yang telah dibelanjakan untuk separuh pertama tahun ini,” katanya

Anwar tegaskan usul undi percaya PM masih perlu


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker