Ahmad Maslan syor 20 cadangan transformasi Parlimen

Ahmad Maslan syor 20 cadangan transformasi Parlimen

Datuk Seri Ahmad Maslan mengesyorkan 20 cadangan transformasi Parlimen termasuk melantik Timbalan Speaker ketiga yang dikhususkan kepada wakil pembangkang.

Ahmad berkata, seorang daripada tiga Timbalan Speaker itu seeloknya datang dari Sabah atau Sarawak.

“Cadangan saya juga adalah kita perlu menyediakan setiap ahli Parlimen penyokong kerajaan atau backbenchers dan pembangkang seorang pegawai penyelidik bagi membantu membuat kajian dasar, ucapan, soalan dan yang berkaitan dengan tugasan di Dewan Rakyat.

“Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat atau ‘Standing Orders’ perlu dikemas kini agar lebih sesuai, terkini dan relevan dengan kehendak semasa,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, Parlimen juga mesti terlibat dengan aktif dalam memberi pendidikan demokrasi kepada seberapa ramai rakyat melalui seminar, wacana, pameran, dialog, lawatan dan libat urus atau ‘engagement’.

Menurutnya, kerajaan juga dicadangkan mewujudkan Program Parlimen Pelajar untuk mereka yang di Tingkatan Empat hingga Enam bagi menambah kepada Program Parlimen Belia dan Parlimen Mahasiswa yang ada sekarang selain penglibatan wanita adalah sangat digalakkan dalam ketiga-tiga program Parlimen itu yang sesuai dengan Undi18.

“Masa persidangan rasmi antara jam 10 pagi hingga 5.30 petang perlu dilanjutkan kepada jam 10 pagi hingga 6.30 petang. Tambahan sejam ini adalah bagi membolehkan ahli Parlimen diberikan peluang masa yang cukup untuk berbahas.

“Ini tidak termasuk masa-masa tambahan hingga sebelah malam jika diperlukan. Masa Pertanyaan Menteri (MQT) juga mesti ditambah daripada 30 minit pada Selasa dan Khamis kepada 40 minit,” katanya.

Ahmad menjelaskan, kerajaan juga perlu memastikan minimum 12 hingga 15 soalan lisan dapat dijawab dalam masa 120 minit sesi pertanyaan dengan had sekitar masa lapan hingga 10 minit untuk setiap soalan yang bermakna sesi Pertanyaan Lisan ditambah daripada sejam setengah kepada dua jam.

“Kita juga harus memastikan ucapan ahli Parlimen untuk dasar penting diberikan sekurang-kurangnya 20 hingga 30 minit dan jika perlu tambahan sehingga ke sebelah malam bagi memenuhi keperluan 20 minit itu.

“Perbahasan penting adalah seperti Usul Titah Menjunjung Kasih Diraja, Belanjawan, Pindaan Perlembagaan, Rancangan Malaysia, Rang Undang-undang baru seperti Akta Pendanaan Politik dan seumpamanya,” katanya.

Rang Undang-undang yang ingin dibentangkan juga hendaklah diberi minimum lima hari kepada ahli Parlimen sebelum Rang Undang-undang itu dibahaskan bagi membolehkan ahli Parlimen cukup masa untuk membuat kajian dengan syarat kerahsiaan dan embargo diletakkan.

Turut disyorkan agar kerajaan memperuntukkan RM60,000 setahun dengan kiraan RM5,000 sebulan kepada ahli Parlimen pembangkang dan ahli Parlimen bebas untuk menguruskan Pusat Khidmat di kawasan masing-masing di mana peruntukan itu dianggar mencukupi untuk elaun dua staf dan sewa sebuah pejabat.

Ahmad menambah, beliau juga Hari Terbuka Kementerian wajar diadakan secara berkala di Parlimen untuk ahli Parlimen bertemu secara terus dengan Menteri, Timbalan Menteri, Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua-ketua Pengarah dengan penjadualan yang tersusun pada setiap kali sesi sidang.

“Sesi Kamar Khas perlu ditambah waktu dan diadakan pada setiap hari pada sebelah petang dengan membenarkan ahli Parlimen bertanya soalan tambahan dan disiarkan juga secara langsung oleh media perdana.

“Latihan pendedahan media sosial hendaklah diberi kepada ahli Parlimen dan kakitangan ahli Parlimen dan juga latihan komunikasi, pengurusan, antarabangsa serta ilmu terkini yang relevan dari masa ke semasa.

“Bilangan Jawatankuasa Pilihan Khas juga perlu diwujudkan yang meliputi pendidikan, agama, sosial, pekerjaan, perumahan, indeks gaji, gejala sosial, bisnes online, kesihatan, ekonomi, kewangan, pembangunan tanah, pelaburan, alam sekitar, mencari pendapatan baru kerajaan dan lain-lain yang sesuai,” katanya.

Ahmad menegaskan, beliau juga menyokong cadangan kerajaan untuk transformasi Parlimen sebagaimana yang telah diumumkan Perdana Menteri pada Jumaat.

Selain itu, beliau berkata, setiap ahli Parlimen penyokong kerajaan atau backbenchers dan pembangkang juga dicadangkan diberikan peruntukan khas untuk sesi townhall atau libat urus dengan rakyat dan pemegang taruh di kawasan bagi mendapatkan pandangan untuk isu pembangunan, kebajikan rakyat dan Rang Undang-Undang baru.

“Saya juga mencadangkan agar Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas diberi elaun kehadiran mesyuarat atau apa-apa elaun khas dengan jumlah yang kecil, namun munasabah dengan kekerapan mesyuarat yang sesuai.

“Sesi dialog dengan rangkaian media arus perdana juga dicadangkan diadakan secara berkala melibatkan ahli Parlimen penyokong kerajaan atau backbenchers dan pembangkang untuk memberikan pandangan mengenai isu-isu semasa,” katanya.

Ujar beliau, adab dan tatasusila yang tinggi juga perlu diletakkan dalam perbahasan agar imej Parlimen dihormati pada pandangan rakyat bagi mengelakkan Parlimen dianggap sebagai ‘sarkas ahli politik’.

Katanya, perkara terakhir adalah menghidupkan kembali Akta Perkhidmatan Parlimen supaya Parlimen mempunyai autonomi dari segi peruntukan, tanggungjawab, kebajikan kakitangan dan perjawatan. Sinar

Ahmad Maslan syor 20 cadangan transformasi Parlimen


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Kalau Khairy Jamaluddin tidak keberatanlah – Sarimah Ibrahim

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker