Bencana ubah bentuk muka bumi Gunung Jerai

Bencana ubah bentuk muka bumi Gunung Jerai, kata JMG

Perubahan ketara dikesan di kawasan lereng dan puncak Gunung Jerai, Yan, susulan bencana geologi fenomena aliran puing yang berlaku pada 18 Ogos lepas.

Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Kedah, Perlis dan Pulau Pinang Abdullah Sulaiman berkata ini termasuk melibatkan bentuk muka bumi dan aliran sungai yang terkesan akibat tanah runtuh.

Menurutnya, perubahan itu dikesan hasil analisis data geospatial atau maklumat geografi berdasarkan pemetaan udara yang dilakukan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) di kawasan gunung tersebut.

“Kalau kita lihat di kawasan sungai di Titi Hayun, sebelum ini daripada peta yang ditunjuk oleh pihak JUPEM, kita tak nampak alur sungai daripada peta yang asal. Tetapi peta yang dihasilkan selepas bencana pada 18 Ogos lepas, kita nampak alur sungai dengan jelas, sehingga sampai 30, 40 dan 50 meter.

“Maksudnya dari segi rupa bentuk sungai itu sendiri, kita nampak perbezaan nyata. Lagi satu kalau di puncak gunung, sebelum ini kita tak nampak tiada parut atau kesan tanah runtuh, tapi sekarang kesan itu kelihatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini, menurut laporan Bernama.

Terdahulu beliau meninjau penyediaan data geospatial bencana Gunung Jerai oleh JUPEM yang turut dihadiri Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan Malaysia Azhari Mohamed.

Abdullah berkata berdasarkan analisis sama, pihaknya mengesan terdapat aliran sungai di gunung itu yang dahulunya bengkang-bengkok kini menjadi lurus kesan daripada aliran puing.

“Jadi sekarang masih lagi kita buat analisis, maknanya nak bagi tahu sekarang peratus perubahan yang berlaku, JMG tak dapat lagi. Bila buat analisis lanjut nanti kita dapat tahu sejauh mana perubahan itu berlaku,” katanya.

Sementara itu, Azhari berkata kerja-kerja pengumpulan data geospatial dengan kaedah pemetaan udara di Gunung Jerai dilaksanakan pihaknya pada 21 Ogos hingga 4 Sept lepas dengan menggunakan kapal terbang yang disewa khas.

“Data yang kita kutip itu itu penting kerana menunjukkan perubahan yang berlaku secara fizikal kepada cerun bukit itu, jadi ini dapat membantu agensi teknikal membuat analisis…meskipun bencana ini tidak boleh dikawal tetapi kita boleh rancang.

“Kita boleh memberi satu faktor mitigasi kepada penduduk di sini supaya apabila melihat signal atau tanda awalan pada mereka itu, mereka boleh buat sesuatu untuk selamatkan diri, jadi itu yang sangat penting dan maklumat yang dikutip JUPEM tidaklah disimpan begitu sahaja,” katanya. FMT

Bencana ubah bentuk muka bumi Gunung Jerai


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Sanggup mengaku sepupu elak dicekup

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker