Gencatan politik Ismail Sabri-PH hanya bertahan dua hari?

Gencatan politik Datuk Seri Ismail Sabri dengan blok pembangkang nampaknya bertahan setakat dua hari apabila pengumuman senarai kabinet pada Jumaat yang tidak menampilkan sebarang pembaharuan mendapat kritikan keras pemimpin-pemimpin pembangkang.

Platform media sosial terutamanya Facebook dan Twitter pada Jumaat dibanjiri komen-komen pedas pembangkang yang memberikan pelbagai komen negatif terhadap jemaah kabinet dan pentadbiran Ismail Sabri.

Antara yang terawal melontarkan sindiran terhadap senarai 69 menteri dan timbalan menteri kerajaan gabungan Barisan Nasional dan Perikatan Nasional itu ialah Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menyifatkan kabinet Ismail Sabri sebagai ‘kabinet gagal 2.0’.

“Inilah sebab utama kenapa UMNO kononnya ingin menumbangkan kerajaan gagal sebelum ini. Tapi, apabila UMNO ada kuasa melantik kabinet baharu, benda sama juga yang dibuat,” kata Syed Saddiq menerusi Instagramnya.

Tidak ketinggalan, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga tidak gembira dengan senarai barisan kabinet Ismail Sabri merujuk kabinet itu sebagai ‘kitar semula’.

“Negara menghadapi krisis akibat Covid-19 yang lebih meruncing dan masalah ekonomi yang menekan rakyat terutama golongan bawahan. Tetapi, langkah yang diambil itu hanya kitar semula, menteri-menteri yang tidak menunjukkan keupayaan menangani masalah ini dengan berkesan,” katanya dalam satu video ringkas.

Beliau turut meluahkan kebimbangannya apabila lantikan yang didakwa tidak membawa sebarang perubahan itu akan terus menyebabkan Malaysia kehilangan pelabur yang berpotensi menambah pendapatan negara.

“Kami sebagai pembangkang akan tetap secara lantang memantau dan menyuarakan dan membantah sekiranya tidak ada program pelaksanaan yang lebih mantap serta berkesan untuk menangani masalah Covid-19 dan membawa perubahan terhadap kehidupan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng turut mempersoalkan komitmen Ismail Sabri dalam memenangi perang dengan Covid-19.

“Ini menimbulkan persoalan apakah Ismail Sabri ikhlas untuk melaksanakan pembaharuan institusi yang konkrit dalam melindungi hak-hak demokratik dan Perlembagaan seperti yang dikemukakan semasa pertemuannya dengan tiga pemimpin utama Pakatan Harapan,” kata Guan Eng.

Tekanan blok pembangkang itu hadir, selepas Anwar, Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu pada Rabu mengadakan pertemuan ‘damai’ dengan Ismail Sabri di Putrajaya.

Keempat-empat pemimpin itu dalam satu kenyataan bersama berikrar untuk bekerjasama dengan kerajaan dan mencari titik persamaan dalam usaha meredakan suhu politik negara.

Malah, Anwar semasa dalam pertemuan dengan media berkata, beliau tidak akan mempersulitkan tugas Ismail Sabri jika kerajaan baharu menjalankan program pro rakyat dan menangani Covid-19 dengan berkesan.

Dalam pada itu, Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar yang terkenal dengan kelantangannya turut menyindir kabinet baharu sebagai kabinet tayar celup.

“Sebab itu saya label ‘kabinet tayar celup’. Tayar yang hampir rosak kemudian ditampal untuk kelihatan baharu dan ia amat berbahaya kepada keselamatan serta masa depan negara,” dakwanya memberi perumpamaan.

Gencatan politik Ismail Sabri-PH hanya bertahan dua hari?


Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214

Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Paralimpik Tokyo: Bonnie raih emas pertama negara

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker