3 cawan kopi sehari kurangkan risiko serangan jantung, strok

3 cawan kopi sehari kurangkan risiko serangan jantung, strok

Satu kajian baharu menunjukkan risiko kematian akibat penyakit jantung boleh dikurangkan sehingga 17 peratus sekiranya individu meminum kopi sehingga tiga cawan sehari, lapor portal berita MailOnline, semalam.

Kumpulan penyelidik dari Universiti Semmelweis, Budapest mendapat kesimpulan itu hasil daripada kajian mengenai hubung kait antara tabiat meminum kopi dengan serangan jantung dan angin ahmar.

Mereka mendapati bahawa pengambilan kopi yang sederhana juga dapat mengurangkan risiko terkena strok hingga 21 peratus berbanding mereka yang langsung tidak meminumnya.

“Ini adalah kajian terbesar untuk menilai secara sistematik kesan kardiovaskular daripada pengambilan kopi biasa dalam populasi yang tidak mempunyai sejarah sakit jantung.

‘Pengambilan setengah hingga tiga cawan kopi setiap hari turut dikaitkan dengan pengurangan risiko strok, kematian akibat penyakit kardiovaskular dan kematian daripada penyakit lain,” kata penulis kajian tersebut dan ahli kardiologi, Dr. Judit Simon.

Dalam kajian itu, Simon dan pasukannya membandingkan tabiat pengambilan kopi dan kesihatan terhadap 468,629 orang dewasa dalam jangka masa purata 11 tahun.

Data untuk kajian dikumpulkan dari UK Biobank iaitu sebuah pangkalan data berskala besar yang mengandungi maklumat genetik dan kesihatan terperinci mengenai setengah juta peserta.

Pasukan ini membahagikan subjek kepada tiga kumpulan berdasarkan pengambilan kopi harian mereka dengan 22 peratus melaporkan bahawa mereka tidak minum kopi secara berkala, 58.4 peratus minum setengah hingga tiga cawan sehari dan 19.5 peratus mengambil lebih daripada tiga cawan.

Pada awal kajian, tidak ada peserta yang mempunyai tanda-tanda penyakit jantung selain kohort peserta berusia sekitar 56 tahun.

Penyelidik mendapati bahawa pengambilan kopi secara sederhana iaitu hingga tiga cawan setiap hari dikaitkan dengan pengurangan risiko kematian sebanyak 12 peratus yang berpunca daripada penyakit lain serta 17 peratus akibat penyakit kardiovaskular secara khususnya.

Pasukan itu juga mendapati bahawa peminum kopi sederhana adalah 21 peratus kurang berisiko untuk mengalami strok berbanding mereka yang langsung tidak meminum kopi. K Online

3 cawan kopi sehari kurangkan risiko serangan jantung, strok


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Tangan gadis mangsa samun terpaksa dipotong

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker