Bolehkah Memakai Cincin di Jari Tengah atau Telunjuk?

Bolehkah Memakai Cincin di Jari Tengah atau Telunjuk? Ini Penjelasannya…

Pemakaian cincin di kalangan masyarakat bukanlah sesuatu yang asing. Lazimnya kita melihat cincin dipakai di jari manis atau kelingking kerana itu merupakan adatnya. Tetapi mungkin di kalangan anda juga pernah melihat terdapat sesetengah individu, terutama golongan lelaki memakai cincin di jari tengah.

Bukan itu sahaja, bahkan terdapat juga yang memakainya di jari telunjuk atau dipakai di keseluruhan jari. Mungkin bagi mereka, memakai cincin pada keseluruhan jari akan kelihatan hebat, atau mungkin juga memperoleh pahala sunnah yang lagi banyak berbanding hanya satu jari. Walau bagaimanapun, sedarkah mereka, apa yang dilakukan itu jelas bertentangan dengan syariat Islam.

Mengulas tentang pemakaian cincin bersandarkan syariat Islam, Hashrul Niezam Abdul Haniff, pengajar di Sri Ayesha Islamic School, menyatakan memang benar Baginda s.a.w. ada memakai cincin. Akan tetapi Baginda memakai cincin dengan tujuan yang tertentu iaitu atas urusan mengecop surat-surat Baginda s.a.w. kepada ketua-ketua negara ketika itu.

Anas bin Malik r.a. ada meriwayatkan, “bahawasanya tatkala nabi ingin mengutuskan surat kepada Raja Rom, baginda dimaklumkan bahawa, mereka tidak akan menerima kecuali surat-surat yang telah dicop. Maka itu baginda pun memakai cincin yang dibuat daripada perak dan aku seolah-olah melihatnya (ketika ini) dengan tertera pada kepala cincinnya ukiran Muhammad Rasulullah” HR Bukhari

Berdasarkan kepada riwayat inilah maka para ulama telah menyimpulkan, hukum memakai cincin adalah harus samada bagi lelaki mahupun wanita. Namun ia perlu dilihat pada etika yang telah digariskan berdasarkan pada dalil-dalil berkaitan pemakaian cincin.

Etika Pemakaian Cincin

Islam itu indah. Ia sentiasa memandu umatnya menjadi umat yang terbaik. Justeru itu, walaupun pemakaian cincin tidak terkait dengan aspek ibadah, ia tetap mempunyai etika yang perlu diikuti. Saidina Ali bin Abi Talib r.a. pernah meriwayatkan dalam sebuah athar katanya,

“Rasulullah s.a.w melarangku memakai cincin pada jari ini dan jari ini, seraya mengisyaratkan kepada jari telunjuk dan jari tengah.” HR an-Nasai

Jelasnya, dari riwayat di atas Baginda s.a.w. telah mengajarkan kepada kita tentang etika pemakaian cincin. Baginda melarang memakai cincin pada jari tengah dan jari telunjuk. Hanya jari manis, jari kelingking dan ibu jari sahaja yang dibenarkan. Anas bin Malik r.a. juga meriwayatkan dalam sebuah hadis,

“Bahawasanya nabi memakai cincin pada jari ini, sambil mengisyaratkan pada jari manis tangan kirinya.” HR Muslim

Bagi larangan memakai cincin di jari tengah dan telunjuk, terdapat khilaf dari para ulama, ada yang menyatakan ia bukanlah sampai pada tahap haram tetapi lebih kepada makruh tanzih, dan ada juga yang mengharamkannya secara qat’i.

Bagaimanapun larangan ini hanya tertakluk kepada kaum lelaki sahaja. Bermakna bagi kaum wanita, mereka dibenarkan untuk memakai cincin pada apa-apa sahaja jari tanpa tertakluk dengan larangan tersebut. Alasannya wanita ini sifatnya suka berhias dan sukakan perhiasan.

Tambahnya lagi, tiada masalah untuk memakai cincin pada kedua-dua tangan kerana Baginda s.a.w. juga memakai cincin di kedua-dua tangannya. Menurut Imam Nawawi, yang lebih afdal memakai cincin adalah di tangan kanan berbanding kiri kerana, tangan kiri lazimnya digunakan untuk beristinjak.

Bukankah dalam Islam juga, kanan itu lebih diutamakan untuk perkara-perkara yang baik. Selain itu, apabila memakai cincin yang mempunyai kepala, maka sunnahnya juga Baginda s.a.w. akan menyembunyikan kepala cincin itu pada bahagian tapak tangan.

Anas bin Malik r.a. pernah menyebutkan,

“Rasulullah telah memakai cincin perak pada tangan kanannya, di mana kepala cincinnya daripada Habsyah. Dan Baginda menjadikan kepala cincinnya pada bahagian dalam tapak tangan.” HR Bukhari & Muslim

Ditanya lagi adakah dibolehkan memakai cincin pada jari kaki, sebagaimana yang diamalkan masyarakat India, ujarnya, tiada nas dan perbincangan dari para ulama yang membolehkan atau melarang tentang pemakaian cincin pada jari kaki.

Namun begitu jika kita lihat pada dasarnya, bukankah ia bertentangan dengan adat dan budaya. Apatah lagi secara umumnya kita maklum, cincin itu dipakai di jari tangan dan bukan kaki. Oleh itu ia lebih baik dihindarkan sama sekali, kerana ditakuti boleh mendatangkan kemurkaan Allah bersandarkan pada hadis dari Ahmad,

“Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka ia termasuk dalam golongan mereka.” Wallahu a’lam Utv

Bolehkah Memakai Cincin di Jari Tengah atau Telunjuk?


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Nora Danish dihentam netizen

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker