Luluh hati, isteri hamil cam topi keledar suami maut dirempuh kereta

Luluh hati, isteri hamil cam topi keledar suami maut dirempuh kereta

Seorang lelaki sempat menghantar gambar swafoto kepada isterinya yang sedang hamil anak pertama mereka, sebelum terkorban dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan enam motosikal di Kilometer 4 Jalan, Kampung Acheh, Sitiawan, di sini semalam.

Mohd Nur Hisham Hassan, 29, juruteknik di sebuah syarikat minyak dan gas, bersama seorang lagi penunggang motosikal Mohd Suhail Zainal, 22, serta pemboncengnya, Hasrandy Bahrum, 27, maut di tempat kejadian akibat cedera parah dalam kemalangan pada 5.30 petang semalam itu.

Isteri Mohd Nur Hisham, Nur Syahirah Abdullah, 25, dipetik Bernama berkata beliau berasa tidak sedap hati dan mengesyaki sesuatu terjadi apabila suaminya yang dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja gagal dihubungi.

Ketua Polis Daerah Manjung Nor Omar Sappi berkata pihaknya kini memburu pemandu kereta itu, selepas meninggalkan dua rakannya yang cedera di tempat kejadian, semalam. (Gambar Facebook)
Nur Syahirah berkata suaminya sempat menghantar gambar swafoto 10 minit sebelum habis kerja pada 5 petang, dan beliau pelik suaminya masih belum pulang sedangkan kebiasaannya perjalanan hanya mengambil kira-kira 10 minit.

“Saya kemudian mencari suami di rumah rakannya di sekitar taman perumahan dan terkejut apabila mereka memberitahu sedang mengenal pasti mangsa rempuhan kereta melalui sebuah video yang tular di aplikasi WhatsApp.

“Saya kemudian bergegas ke tempat kejadian tetapi semua mangsa telah dibawa ke hospital. Saya cuma dapat mengecam sebuah topi keledar di tempat kejadian yang saya pasti milik suami saya, luluh perasaan saya ketika itu,” katanya ketika ditemui di Bilik Forensik Hospital Seri Manjung, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, kereta jenis Proton Preve tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke lorong bertentangan dan merempuh kumpulan penunggang motosikal.

Nur Syahirah reda dengan pemergian suaminya itu biarpun mereka sepatutnya sedang ‘berbahagia’ menanti cahaya mata apabila beliau disahkan hamil tujuh minggu selepas berkahwin dua tahun lalu.

Beliau juga tidak menyangka perbualan dengan suami mengenai kematian, akhirnya menjadi kenyataan seawal ini, namun tidak akan lupa nasihat suami agar menjaga akhlak dan sentiasa kuat sekiranya apa-apa terjadi kepada dirinya.

“Cuma saya berasa sedih apabila semalam beliau pergi kerja tanpa memegang dan bercakap dengan ‘baby’ dalam perut seperti kebiasaan sebelum ini. Allah lebih sayangkan dia,” katanya yang bekerja sebagai pereka baju di sebuah syarikat pakaian di sini.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Manjung Nor Omar Sappi berkata pihaknya kini memburu pemandu Proton Preve berusia 38 tahun berkenaan. Pemandu itu malah meninggalkan dua rakannya yang cedera, masing-masing lelaki dan wanita berusia 24 tahun, di lokasi kejadian.

Beliau berkata kedua-duanya telah menerima rawatan di Hospital Seri Manjung, tetapi lelaki itu ditahan reman sehingga Selasa kerana didapati positif dadah jenis methamphetamine, manakala wanita yang juga guru tadika itu dilepaskan. FMT

Luluh hati, isteri hamil cam topi keledar suami maut dirempuh kereta

/>

Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Nabil akui ujian ini amat besar

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker