PAS pertahan sokongan bersyarat Muhyiddin

PAS pertahan sokongan bersyarat Muhyiddin

Dewan Himpunan Pendukung PAS Pusat (DHPP) menerima baik syarat yang dikemukakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin berhubung sokongan gabungan itu kepada naib presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menteri.

Ketua DHPP, Senator N Balasubramaniam berkata, syarat itu bukanlah untuk merendahkan siapa-siapa, tetapi untuk mengekalkan prinsip PN sebagai kerajaan berintegriti dan mengelakkan persepsi rakyat terhadap salah guna kuasa.



“Bagi saya ianya bukanlah satu ugutan atau memandang rendah mana-mana pihak tetapi jika syarat ini diterima maka rakyat akan lebih percaya kepada kepimpinan Ismail sebagai perdana menteri sekiranya beliau dipilih oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya seperti dipetik Harakahdaily.

Semalam, Muhyiddin mengeluarkan kenyataan bahawa sokongan yang diberikan PN kepada Ismail Sabri adalah bersyarat, setelah naib presiden Umno itu menjadi antara calon utama bagi mengisi kekosongan jawatan berkenaan susulan perletakan jawatannya pada Isnin.

Kata Muhyiddin, Ismail Sabri, mestilah memastikan anggota kabinetnya terdiri daripada individu yang berintegriti, amanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah mahkamah serta haruslah menghormati prinsip pengasingan kuasa, melindungi kebebasan badan kehakiman dan menjunjung konsep raja berpelembagaan.

Syarat itu dipercayai merujuk beberapa tokoh penting di dalam Umno yang berdepan perbicaraan mahkamah berhubung kes rasuah, dan ada yang telah dijatuhkan bersalah oleh mahkamah.



Ini termasuklah presiden Umno sendiri, Ahmad Zahid Hamidi yang masih dibicarakan atas pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Ahli parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff turut menyokong syarat berkenaan, yang menurutnya, bukan sahaja untuk mempertahankan prinsip kerajaan berintegriti PN, tetapi juga untuk mendapatkan kerajaan yang stabil, dinamik, dan memenuhi aspirasi rakyat.

Bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu turut berharap tiada lagi isu berbangkit berhubung sokongan ahli parlimen kepada kerajaan pemerintah selepas daripada ini.

“Seperti yang kita tengok Tuanku sudah penat hendak melayan ahli-ahli politik ini. Setiap tahun angkat sumpah, menghadap, maknanya kita harapkan ada perubahanlah.



“Selepas ini berakhir dengan bubar parlimen dan pilihan raya. Tiada lagi isu tarik sokongan dan beri sokongan,” ujarnya seperti dipetik Harakahdaily.

Begitu pun, syarat dikemukakan PN itu dipertikaikan, antaranya oleh bekas pengerusi Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan dan naib presiden Amanah, Mahfuz Omar yang juga ahli parlimen Pokok Sena.

Ambiga berkata sokongan ahli parlimen untuk perdana menteri mesti dilakukan tanpa syarat, dan oleh hal yang demikian, sokongan bersyarat PN kepada Ismail Sabri, kata Ambiga, tidak boleh dianggap sebagai sah.

Ambiga turut berkongsi ciapan warganet yang menunjukkan surat Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun yang menjelaskan syarat ditetapkan Istana Negara berhubung bentuk surat yang perlu ditulis ahli-ahli parlimen.



Antara lain, Item 4 (c) surat tersebut meminta ahli parlimen menyatakan identifikasi yang secukupnya seorang sahaja ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan, pernyataan kepercayaan yang terang, jelas dan tanpa syarat untuk dilantik sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Muhammad Faiz Na’aman mempertahankan syarat dikemukakan Muhyiddin, bahawa item yang menyebut sokongan tanpa syarat itu adalah ditujukan untuk ahli-ahli parlimen secara individu, bukannya kumpulan politik.


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU




Katanya, Istana Negara juga terikat dengan Perlembagaan Persekutuan yang tidak menghalang mana-mana kelompok untuk menetapkan apa-apa syarat untuk menyokong mana-mana individu sebagai perdana menteri.

“Dan syarat pula tidak semestinya berupa ugutan. Memadai sekadar menekankan prinsip serta nasihat.

“Saya mahu tanya Ambiga dan Mahfuz di manakah salahnya isi kandungan syarat PN terhadap Ismail itu?

“Apakah meminta bakal perdana menteri supaya memilih individu yang berintegriti menyertai kabinet itu salah? Adakah menyeru prinsip raja berperlembagaan itu tidak betul?



“Yang pasti tiada pun ayat berbaur ugutan terhadap tuan punya badan. Kenapa pula Ambiga dan Mahfuz yang ‘sentap’?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain Ismail Sabri, persaingan untuk merebut jawatan perdana menteri turut melibatkan presiden PKR Anwar Ibrahim yang juga ahli parlimen Port Dickson.

Majlis Raja-raja dijangka mengadakan pertemuan khas bagi membicangkan mengenai calon perdana menteri pada jam 2.30 petang ini.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijangka mengumumkan pelantikan perdana menteri baru selepas tamatnya pertemuan itu nanti.

Menurut Istana Negara, Yang di-Pertuan Agong juga telah menitahkan agar perdana menteri yang baru masih perlu membuktikan majoriti diperolehinya secepat mungkin di Dewan Rakyat. Mk

Kamu Semua Lakukan Penggubahan Wang Haram, Najib Yang Disalahkan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker