Kabinet PM Baru Tak Perlu Lebih Dari 10 orang Menteri Sahaja
oleh Nurul Aisyah
PROSES pelantikan Perdana Menteri ke 9 sedang berjalan. Ketika ini, sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertujuan mengesahkan sokongan kepada calon Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan berlangsung bila-bila masa.
Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berjaya mengumpul jumlah surat akuan (SD) tertinggi iaitu dengan 114 sokongan sekali gus mengangkat beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.
Persoalan siapa Perdana Menteri ke 9 sudah hampir terjawab. Satu Mesyuarat khas Raja-Raja Melayu akan diadakan pada Jumaat ini di Istana Negara bagi membincangkan isu bakal calon Perdana Menteri dan kerajaan.
Persoalan yang juga menjadi perhatian rakyat Malaysia adalah kabinet kerajaan baru PM 9.
Dalam keadaan negara dilanda krisis pandemik Covid 19 dan ekonomi yang kritikal, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mencadangkan pembentukan kerajaan baharu yang stabil dengan Kabinet berkesan mirip seperti ‘War Cabinet’, yang hanya memberi fokus terhadap proses pemulihan negara mendepani pandemik COVID-19.
Kabinet ini perlu tidak lebih dari sepuluh orang menteri sahaja. Mereka hanya fokus menangani pandemik COVID-19 dan menguruskan isu kesejahteraan rakyat.
Apabila negara telah mencapai imuniti kelompok dan keadaan memungkinkan untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan, maka kerajaan ini harus dibubarkan bagi menyerahkan semula mandat mutlak kepada rakyat.
Dalam masa yang sama, segala tindakan yang menzalimi parti dan pemimpin lawan perlu dihentikan bagi memastikan kestabilan dan kerjasama politik dapat dicapai.
Apa yang menjadi kebimbangan rakyat adalah penjelmaan kabinet PN dalam kabinet PM 9. Mereka sudah serik melihat kerajaan gagal menguruskan pandemik Covid 19 dan krisis ekonomi. Oleh itu, kabinet fokus yang terdiri dari hanya 10 orang menteri lebih wajar ketika ini.