Dulu ‘budak lembu’ tapi kini Presiden

Dulu ‘budak lembu’ tapi kini Presiden. Pemimpin pembangkang, Hakainde Hichilema yang pernah membuat enam percubaan untuk menjadi Presiden Zambia sebelum ini akhirnya memegang jawatan itu dengan kemenangan besar selepas pilihan raya diadakan pada Ahad lalu.

Beliau sering menggambarkan dirinya sebagai seorang ‘budak lembu’ yang biasa.

Kemenangan itu mempunyai maksud yang tersendiri kerana pada pilihan raya tahun 2016, beliau kalah kepada Edgar Lungu, 64, tetapi kali ini Hichilema, 59, berjaya menewaskan bekas Presiden dengan kelebihan hampir satu juta undi.

Beliau juga sebelum ini menyatakan perasaan tidak puas hati dengan cara Lungu mengendalikan ekonomi Zambia dan menggelarkannya juga sebagai ‘rejim ganas’ di negara berkenaan.

Bagaimanapun, Hichilema yang kini salah seorang yang terkaya di Zambia telah berusaha keras untuk mengikis imejnya sebagai golongan elit.

Pemimpin itu pernah menyatakan dalam satu temu ramah pada bulan Mei lalu bahawa beliau hanya seorang ‘budak lembu’ kerana pernah menjadi pengembala haiwan milik keluarganya.

Ketua Parti Bersatu Pembangunan Kebangsaan (UPND) itu yang terkenal dengan panggilan HH dilahirkan dalam keluarga miskin di Monze, selatan negara itu tetapi berjaya memperoleh biasiswa bagi melanjutkan pengajian ke Universiti Zambia.

Beliau kemudian melanjutkan pengajian dalam bidang Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di Universiti Birmingham di United Kingdom (UK).

Ketika berumur 26 tahun, Hichilema menjadi Ketua Pegawai Eksekutif sebuah firma cawangan perakaunan antarabangsa yang besar, menurut partinya itu.

Beliau kemudian bekerja keras untuk menjadi salah seorang lelaki terkaya di negaranya dengan melakukan perniagaan dalam bidang kewangan, hartanah, penjagaan kesihatan, pelancongan dan perladangan.

Hichilema turut menternak lembu dengan ladangnya antara yang terbesar di Zambia.

Pemimpin itu memasuki dunia politik pada tahun 2006 berikutan kematian bekas pemimpin UPND, Anderson Mazoka iaitu parti yang dibiayai oleh Hichilema.

Pengarah Pusat Untuk Dasar Dialog di Lusaka, Zambia, Dr Neo Simutanyi berkata, karier Hichilema sebagai pembangkang selama 15 tahun menyebabkannya beliau bersedia memikul tanggungjawab sebagai Presiden.

Menurut Simutanyi kepada portal berita DW baru-baru ini, pihaknya mencari seseorang yang telah terlibat dalam dunia politik dan pernah melibatkan diri dengan pihak pembangkang negara tersebut bagi tempoh yang lama selain mempunyai pengalaman serius dalam dunia tersebut untuk memegang jawatan Presiden.

Ia bertepatan dengan latar belakang Hichilema yang pernah dipenjarakan di Zambia sebanyak 15 kali sejak terlibat dalam dunia politik dan selepas pilihan raya Presiden

pada tahun 2016, beliau berdepan dengan dakwaan melakukan pengkhianatan kerana konvoinya gagal memberikan laluan untuk rombongan Presiden bergerak.

Beliau dipenjarakan selama empat bulan di sebuah penjara dengan kawalan ketat sebelum dakwaan tersebut digugurkan.

Dalam pada itu, seorang pakar demokrasi di Universiti Birmingham, Profesor Nic Cheeseman memberitahu portal berita DW baru-baru ini bahawa fokus utama yang

menyebabkan para pengundi memilih Hichilema adalah kerana mahu beliau memulihkan ekonom negaranya.

Zambia kini berdepan masalah ekonomi selepas pemerintahan bekas Presiden, Edgar Lungu. - Foto AFP
Zambia kini berdepan masalah ekonomi selepas pemerintahan bekas Presiden, Edgar Lungu. – Foto AFP

 

Menurutnya, kemerosotan ekonomi dan hutang Zambia yang kini kritikal menyebabkan kerajaan Lungu tumbang.

Sebagai Presiden, Hichilema akan mewarisi masalah ekonomi selepas kerajaan pimpinan Lungu sebelum ini membelanjakan kos infrastruktur di negara tersebut.

Lebih separuh penduduknya hidup di bawah garis kemiskinan sebelum pandemik Covid-19 melanda Zambia.

Jumlah penduduk Zambia ketika ini adalah lebih 18 juta orang.

Pada tahun lalu, Zambia menjadi negara pertama di Afrika yang gagal membayar hutangnya pada November tahun lalu dalam era pandemik Covid-19.

Negara itu dikatakan gagal untuk membayar kadar faedah hutang sebanyak lebih AS$42 juta (RM178.06 juta) itu.

Justeru, Presiden Zambia yang baharu dipilih oleh para pengundi itu dan sudah berkahwin serta mempunyai tiga orang anak selain berasal dari etnik Tonga perlu menunjukkan beliau mampu memulihkan ekonomi negaranya yang sebelum ini terjejas semasa pemerintahan Lungu. – Agensi

Dulu ‘budak lembu’ tapi kini Presiden


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Kekal jadi kerisauan jika calon PM ke-9 tidak dapat majoriti besar – Kolonel Bersekutu

Agong mahu keabsahan PM baru diuji di parlimen

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker