Tabur bakti sampai terlupa ada kanser

Tabur bakti sampai terlupa ada kanser

Biarpun diuji hebat dengan kanser tiroid tahap empat, jururawat di sebuah pusat perubatan swasta di Subang, Selangor, Denisa Haizar Fariz, 26, tetap optimis menjalankan tanggungjawabnya sebagai petugas barisan hadapan sejak penularan Covid-19.

Denisa yang sudah hampir enam tahun berjuang melawan kanser berkata, demi menjalankan tanggungjawab dan menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia dirinya sanggup mengenepikan segala kesakitan dilalui.


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


“Jika diikutkan pengurus tidak menggalakkan saya bekerja di wad Covid-19, tapi saya sahut cabaran ini sebagai satu tanggungjawab. Lagipun, saya nak bantu pasukan saya yang kekurangan tenaga kerja.

“Selain itu, ada ketikanya pesakit yang pernah saya rawat di wad kanak-kanak sebelum ini disahkan positif wabak ini. Jadi, saya ambil peluang untuk menjaga mereka sepanjang menjalani tempoh kuarantin.

“Walaupun dalam keadaan saya yang masih menerima rawatan di Institut Kanser Negara setiap bulan, tapi saya tolak tepi segala kepayahan yang dilalui sebab ini adalah kerjaya yang saya pilih dan amanah yang perlu saya jalankan.

“Saya percaya selagi saya memakai kelengkapan pelindung diri (PPE) dan memastikan kebersihan diri seperti membasuh tangan dengan betul dan membersihkan diri sebelum pulang ke rumah, Insha-Allah semuanya akan selamat,” katanya ketika ditemui selepas dipilih sebagai pemenang kempen 30 Hari 30 Frontliners, baru-baru ini.

Menerusi kempen dianjurkan oleh Hot FM, Fly FM, Harian Metro dan Central Sugars Refinery (CSR), Denisa membawa pulang hadiah bernilai RM500 dan barangan keperluan sebagai tanda terima kasih terhadap kerja keras, pengorbanan serta penat lelah sepanjang menjalankan tanggungjawab sebagai petugas barisan hadapan.

Menurut Denisa, biarpun pernah terdetik rasa putus asa namun demi menunaikan tugas untuk negara dia sanggup mengharunginya.

“Ada masa memang ada terdetik rasa putus asa sebab penat yang tidak boleh saya gambarkan, tapi saya rasa ini adalah pengorbanan yang perlu saya tempuh dalam kerjaya ini.

“Sistem perubatan memainkan peranan penting dalam waktu getir ini. Setiap kali bangun pagi saya akan berdoa agar negara kembali pulih dan sentiasa niat datang kerja untuk bantu pesakit serta mencari rezeki halal.

“Justeru, saya berharap kepada masyarakat di luar supaya mengambil iktibar dan pengajaran selepas melihat peningkatan kes positif yang semakin tinggi hari ini. Covid-19 memang wujud, jadi tolong jangan membahayakan nyawa anda dan kalau tiada urusan di luar duduk saja di rumah,” katanya. HM

Tabur bakti sampai terlupa ada kanser

Nazri tandatangan SD sokong Ismail Sabri jadi PM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker