Bersatu beri mandat kepada Muhyiddin tentukan sokongan kepada Ismail sebagai calon PM

Bersatu beri mandat kepada Muhyiddin tentukan sokongan kepada Ismail sebagai calon PM

Bersatu menyerahkan kepada Presidennya Muhyiddin Yassin untuk memutuskan sama ada Ahli Parlimen pro-Perikatan Nasional perlu memberikan sokongan kepada Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat kepemimpinan Bersatu bersama Ahli Parlimen parti itu dan kalangan mereka yang menyokong PN. Mesyuarat dipengerusikan oleh Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu di Publika.



Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Kamarudin Jaffar memaklumkan perkara itu berkata mereka yang hadir sepakat memberi mandat penuh kepada Muhyiddin membuat “keputusan terbaik” berhubung perkara itu.

Katanya, Muhyiddin juga bebas memberikan perakuan sokongan calon PM pilihan Bersatu kepada Yang di-Pertuan Agong sekiranya diminta.

Justeru, soal surat akuan bersumpah (SD) untuk pihak tertentu bukan menjadi perkara paling penting.

“Dalam suasana politik, ekonomi dan kesihatan yang amat mencabar sekarang, soal SD itu teknikal.



“Pendeknya, kalau perlu SD…SD lah, kalau ketua parti (Muhyiddin) memaklumkan kepada yang berkuasa (Yang di-Pertuan Agong), itulah pendirian kita, inilah mandat kepada Presiden untuk beri pendirian parti jika diminta Agong,” katanya ketika ditemui pemberita.

Ismail yang sebelum ini adalah Timbalan Perdana Menteri, dilaporkan berusaha memperolehi sokongan untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri, tanpa restu Majlis Kerja Tertinggi Umno.

Beliau dilaporkan mempunyai sokongan sebilangan Ahli Parlimen Barisan Nasional, termasuk bekas menteri Nazri Aziz. Namun, Ismail memerlukan sekurang-kurangnya sokongan padu wakil rakyat pro-PN untuk mengintai jawatan berkenaan.

Antara pemimpin yang menyertai mesyuarat malam ini adalah Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Jeffrey Kitingan; Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP), Yong Teck Lee; Naib Presiden Bersatu, Mohd Radzi Md Jidin; Mohd Rafiq Naizamohideen; dan Ronald Kiandee serta Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainuddin.



Hadir sama, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Mohd Redzuan Md Yusof, Zuraida Kamaruddin, Shabuddin Yahaya dan Noor Azmi Ghazali serta Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Selain itu, turut hadir Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah, Ahli Parlimen Batu Pahat,Mohd Rashid Hasnon, Ahli Parlimen Kuala Langat, Xavier Jayakumar, Ahli Parlimen Nibong Tebal, Mansor Osman, Ahli Parlimen Segamat, Edmund Santhara, Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju, Ahli Parlimen Puncak Borneo dan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng.

Sementara itu, Wan Ahmad Fayhsal berkata, Bersatu dijangka membuat pengumuman rasmi mengenai isu SD berkenaan esok, selain menjelaskan perihal kelangsungan PN.

Terdahulu, Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri selepas menerajui negara selama hanya 17 bulan.



Dalam kenyataan, Istana Negara mengumumkan Muhyiddin akan bertindak sebagai Perdana Menteri ‘caretaker’ sehingga Perdana Menteri baharu dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Muhyiddin akhirnya tunduk kepada tekanan untuk berundur selepas 15 Ahli Parlimen Umno menarik balik sokongan kepada beliau dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinannya pada 7 Julai lalu. FMT

Bersatu beri mandat kepada Muhyiddin tentukan sokongan kepada Ismail sebagai calon PM


Baca Artikel Menarik :



Layari Laman Facebook MYKMU


Nazri tandatangan SD sokong Ismail Sabri jadi PM



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker