Redzuan dedah perbicangan kerjasama bipartisan dengan pembangkang memang berlaku

Redzuan dedah perbicangan kerjasama bipartisan dengan pembangkang memang berlaku. Seorang menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN) mendedahkan faktor sebenar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertimbangkan hasrat meletak jawatan selain mendapati beliau jelas kehilangan majoriti sokongan ahli Parlimen.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, Muhyiddin sudah berusaha sedaya-upaya termasuk menghulur cadangan supaya kerajaan PN kekal semata-mata demi menguruskan krisis Covid-19 dan ekonomi.

Justeru, beliau mendedahkan sememangnya berlaku perbincangan awal antara Muhyiddin dengan beberapa wakil parti pembangkang bagi tujuan kerjasama bipartisan itu kerana beliau tidak mahu lari daripada tanggungjawab demi kepentingan rakyat.

“Bagaimanapun, hasil persefahaman yang dicapai bersama-sama wakil-wakil pembangkang itu kemudian Muhyiddin umumkan tawaran kerjasama rentas parti secara terbuka, tetapi akhirnya ditolak pula secara rasmi oleh parti-parti mereka,” katanya kepada Sinar Premium pada Ahad.

Perkara itu didedahkan Mohd Redzuan yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Jelas beliau, hasil persefahaman awal daripada perbincangan berkenaan, cadangan kerjasama bipartisan yang membolehkan kerajaan PN memiliki sokongan majoriti dua pertiga ahli Parlimen selain program bantuan rakyat menerusi peruntukan disalurkan terus kepada setiap ahli Parlimen pembangkang, dikemukakan.

“Perkara berkaitan tawaran mega Muhyiddin sebenarnya sudah dibincangkan dengan beberapa wakil parti pembangkang yang pada mulanya memohon macam-macam konsesi.

“Antara konsesi dicadangkan wakil parti pembangkang termasuklah tuntutan secara berasingan puak ‘kluster mahkamah’ untuk dilepaskan kes mahkamah ahli-ahli Parlimen mereka.

“Namun Perdana Menteri akhirnya cuma mempertimbangkan tujuh perkara untuk dijadikan asas tawaran sebagai usaha terakhir untuk melestarikan pengurusan krisis sedang dihadapi,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin dalam satu pengumuman khas pada Jumaat menawarkan kerjasama rentas parti antara kerajaan PN dengan parti di luar kerajaan sekiranya usul undi percaya terhadapnya diluluskan di Dewan Rakyat pada 7 September depan.

 

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) ketika menyampaikan Perutusan Khas di Bangunan Perdana Putra Jumaat lalu. - Foto Bernama
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) ketika menyampaikan Perutusan Khas di Bangunan Perdana Putra Jumaat lalu. – Foto Bernama

 

Beliau berkata, cadangan itu dibuat bagi membolehkan kerajaan terus berfungsi ketika pandemik Covid-19 dengan sokongan bipartisan di Parlimen.

Bagaimanapun, tawaran Perdana Menteri itu ditolak majoriti ahli Parlimen pembangkang daripada Pakatan Harapan (PH), Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) serta ahli Parlimen UMNO yang sebelum ini menarik sokongan kepada beliau.

Sehingga kini, jumlah ahli Parlimen UMNO yang difahamkan sudah menarik sokongan terhadap Muhyiddin adalah seramai 15 orang diketuai Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Mengulas lanjut, Mohd Redzuan menjelaskan Muhyiddin tidak lagi yakin dengan pendirian wakil parti-parti pembangkang walaupun telah membuat perbincangan bersama.

“Atas sebab kegagalan wakil parti pembangkang untuk menterjemahkan persefahaman awal kepada sokongan sebenar oleh sebahagian ahli Parlimen mereka, maka Muhyiddin tidak lagi percaya pendirian pemimpin-pemimpin ini yang dianggapnya ‘depan cakap lain, belakang cakap lain’.

“Jadi pertimbangan keputusan meletak jawatan Perdana Menteri adalah perkara terbaik kerana Tan Sri (Muhyiddin) merasakan apabila sudah hilang sokongan majoriti, maka beliau perlu menghormati Perlembagaan Persekutuan dan meletak jawatan,” katanya lagi.

Jelas Ahli Parlimen Alor Gajah itu, dalam sesi perbincangan dalaman termasuk ketua-ketua parti komponen PN pada Rabu lalu, Muhyiddin sudah mengemukakan tiga solusi penyelesaian isu keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri kepada mereka.

Nazri tandatangan SD sokong Ismail Sabri jadi PM

“Tan Sri sudah tunjukkan tiga opsyen solusi bagi menyelesaikan krisis politik ketika ini iaitu yang pertama mengusulkan undi percaya kepimpinan beliau di Dewan Rakyat, kedua mencadangkan pembubaran Parlimen dan ketiga mengusulkan beliau meletak jawatan.

“Jadi opsyen pertama telah dibincangkan bersama wakil pembangkang kerana pada saat krisis Covid-19 semakin memuncak selain tiada siapa yang mahukan Parlimen dibubar,” katanya.

Menurut Mohd Redzuan, kesanggupan Muhyiddin menawarkan kerjasama bipartisan dengan pihak pembangkang demi mengekalkan kerajaan peka krisis Covid-19 ketika ini, membuktikan Ahli Parlimen Pagoh itu seorang negarawan yang berjiwa besar.

Menyifatkan Perdana Menteri itu bukan seorang gila kuasa, Mohd Redzuan sebaliknya berpandangan Muhyiddin merupakan seorang individu berprinsip yang berusaha untuk mengekalkan kerajaan PN yang peka krisis Covid-19 semata-mata demi membantu negara.

“Setelah tawaran kerjasama bipartisan tidak diterima, Muhyiddin dengan ‘gentleman’ bersedia meletak jawatan pada saat beliau boleh sahaja untuk terus kekal berkuasa selagi pembangkang tiada sokongan majoriti.

“Beliau merupakan pemimpin berprinsip, malangnya ramai orang tidak nampak kualiti itu dalam dirinya,” katanya.

Redzuan dedah perbicangan kerjasama bipartisan dengan pembangkang memang berlaku


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Pertemuan Ismail, Hamzah di Royal Chulan bentuk kerajaan baharu?

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker