Bertindak pada Ahli Parlimen ‘belot’ atau terima padah pada PRU15

Bertindak pada Ahli Parlimen ‘belot’ atau terima padah pada PRU15. Kegagalan Umno bertindak terhadap Ahli Parlimen yang terus enggan mematuhi arahan parti supaya menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan membawa mudarat pada pilihan raya kelak, kata seorang penganalisis.

Dalam pada kepemimpinan parti itu menunjukkan pendiriannya secara jelas, 23 daripada 38 Ahli Parlimen Umno masih bersekutu dengan kerajaan. Oh Ei Sun dari Singapore Institute of International Affairs berkata, ini akan memberi kesan buruk terhadap parti itu.

“Umno patut mengambil tindakan disiplin terhadap Ahli Parlimen yang ‘belot’, jika tidak pucuk pimpinannya akan hilang pengaruh dalam parti.

“Lebih teruk lagi, kegagalan bertindak terhadap Ahli Parlimen pro-Muhyiddin akan mengakibatkan Umno dilihat bersekongkol dalam kegagalan kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN).”

Merujuk kepada keadaan masa kini terutama melibatkan Covid-19 serta ekonomi, beliau berkata, kesannya akan dilihat dari segi sokongan akar umbi serta pengundi Umno.

Oh berkata, tindakan disiplin bukan bermakna segera membuang Ahli Parlimen terlibat kerana perkara itu melibatkan pelbagai proses termasuk surat tunjuk sebab dan sebagainya.

“Namun Umno perlu memulakan proses itu.”

Berhubung 23 Ahli Parlimen itu, Oh berkata, tidak mungkin mereka akan diletakkan sebagai calon Umno lagi dalam pilihan raya umum akan datang (PRU15) memandangkan keingkaran mereka.

“Sekalipun ada pertukaran dalam kepemimpinan sebelum PRU15, kemungkinan besar mereka akan diketepikan.

“Jika mereka bertanding atas tiket Bersatu, kemungkinan besar mereka akan kalah teruk kerana Bersatu tidak mempunyai sokongan akar umbi yang kuat.”

Sebelum ini, penganalisis berkata, MCA dan MIC yang hanya mempunyai tiga wakil di Parlimen kini berisiko kehilangan kerusi berkenaan sekiranya terus menyokong Muhyiddin.

Ayer Hitam dan Tanjung Piai yang diwakili MCA serta Tapah milik MIC adalah kawasan majoriti Melayu justeru memerlukan sokongan Umno untuk dimenangi.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia (USM) juga berkata, kegagalan Umno “mendisiplinkan” Ahli Parlimennya akan membawa padah ketika pilihan raya.

Beliau berkata, Umno perlu melaksanakan tindakan disiplin berdasarkan kes serta mengikut proses sewajarnya.

“Ada antara mereka seperti Khairy Jamaluddin, mungkin akan memberikan alasan kukuh untuk kekal dalam kerajaan memandangkan beliau menteri bertanggungjawab bagi hal ehwal vaksin.

“Namun Umno perlu dilihat melakukan sesuatu. Jika tidak kuasa Majlis Kerja Tertinggi akan dipertikaikan golongan akar umbi.”

Fauzi berkata, jelas Umno tidak mahu dikaitkan dengan pentadbiran PN dan ini bererti Ahli Parlimennya juga tidak boleh mewakili parti itu dalam kerajaan.

“Lebih wajar mereka mengisytiharkan diri sebagai Ahli Parlimen bebas atau menyertai Bersatu.”

Menurut laporan, 15 Ahli Parlimen Umno telah menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin dan pentadbirannya, sama ada secara terbuka atau akuan berkanun (SD). Ini bererti hanya ada 100 Ahli Parlimen dalam gabungan kerajaan daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.

Bertindak pada Ahli Parlimen ‘belot’ atau terima padah pada PRU15


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Dimana silapnya Bersatu dan kepimpinannya

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker