Wanita hamil berisiko tiga kali ganda masuk ICU akibat Covid-19

Sebaran :

Wabak Covid-19 yang mencatatkan lebih 10,000 kes kematian di negara ini membuka mata ramai rakyat Malaysia tentang bahaya dan kesan koronavirus terutamanya mereka yang berisiko tinggi termasuklah ibu mengandung.

Pakar Perunding Perubatan Reproduktif, Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Dr Murizah Mohd Zain berkata, wanita hamil yang menghidap Covid-19 kemungkinan mempunyai tiga kali ganda risiko perlu dimasukkan ke wad kecemasan (ICU) dan dua kali ganda risiko untuk mendapat bantuan pernafasan.

“Wanita mengandung boleh mendapat Covid-19 sama seperti orang lain cuma mereka lebih berisiko tinggi untuk kena jangkitan yang teruk terutamanya yang mempunyai faktor kesihatan seperti kencing manis, darah tinggi, obesiti dan penyakit paru-paru.

“Perkara ini amat membimbangkan di mana varian Delta ini sangat berbahaya kepada wanita hamil dibandingkan varian lain yang menyerang tahun lepas. Berdasarkan pemerhatian di United Kingdom (UK), Covid juga lebih berisiko kepada wanita Asia,” katanya pada Sinar Premium pada Isnin.

Walaupun tempoh pengambilan vaksin bagi wanita hamil adalah selepas 14 minggu sehingga 33 minggu kehamilan, akibat Covid-19 yang amat mengganas ketika ini, Murizah berpandangan wanita hamil perlu divaksinasi segera tanpa mengira trimester bagi mereka yang berisiko tinggi.

“Ramai yang mempunyai persoalan tentang ‘timing’ yang sesuai bagi vaksinasi untuk ibu mengandung. Pada kebiasaannya, pada awal semester iaitu sehingga 13 minggu, kehamilan ialah peringkat ‘organogenesis’ di mana pembentukan organ-organ bayi sedang berjalan. Oleh itu, doktor sangat berhati-hati dalam memberi ubat-ubatan pada fasa ini agar tidak mengganggu pembentukan bayi.

“Jangkitan Covid-19 yang teruk pula sering terjadi pada pertengahan ke hujung trimester kedua dan tiga. Jika kita berada pada situasi di mana Covid masih aman, seseorang wanita itu boleh memilih untuk vaksin selepas usia kehamilan melebihi 12 minggu. Namun, jika wanita berada di negeri yang jangkitan Covid-19 berada pada tahap kritikal, mereka boleh memilih dan berhak untuk diberikan vaksin secepat mungkin,” katanya.

Banyak kebaikan dibuat Siti Sarah secara senyap, duit bulanan diguna untuk sedekah – Shuib

Selain itu, Murizah berkata, wanita hamil yang sudah lengkap dua dos vaksin masih terdedah untuk dijangkiti Covid-19 namun pengambilan vaksin semestinya dapat mengurangkan jangkitan apabila terkena wabak tersebut.

“Vaksin tidak melindungi sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19 tetapi data-data dan kajian yang ada cukup menyakinkan mereka yang terkena Covid dan lengkap divaksinasi akan mengalami jangkitan dan simptom yang lebih ringan.

“Seterusnya, risiko dimasukkan ke hospital, ICU dan bantuan pernafasan adalah sangat rendah. Vaksinasi sangat jelas melindungi wanita hamil di samping mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan kekal berada di rumah kecuali atas keperluan terdesak,” katanya.

Dalam pada itu, Profesor Madya Dr Habibah Abdul Hamid, Pakar Perunding Jabatan Obstetrik & Ginekologi, Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan dan Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, ibu mengandung yang menghidap Covid-19 tidak semestinya memberi kesan kepada bayi yang bakal dilahirkan.

“Risiko penularan atau penyebaran Covid-19 daripada ibu mengandung kepada bayi semasa mengandung atau melahirkan yang dikenali sebagai ‘vertical transmission’ itu masih samar. Bayi yang baru lahir dan mendapat Covid-19 tidak dipengaruhi oleh cara kelahiran, pilihan makanan atau sama ada wanita dan bayi tinggal bersama.

“Penting untuk ditegaskan bahawa kebanyakan kes bayi baru lahir yang menghidap Covid-19 itu tetap sihat. Jadi, tidak semestinya wanita hamil yang menghidap Covid-19 akan menjangkiti bayi dalam kandungannya,” katanya.

Tambahnya, ada banyak faktor yang menyebabkan wanita mengandung terpaksa mengeluarkan bayi secara pembedahan sekiranya berada dalam keadaan kritikal untuk menyelamatkan ibu dan bayi.

“Pertama, faktor tahap kategori Covid-19 itu sendiri yang dihadapi pesakit. Jika kategori empat dan lima, selalunya oksigen kurang pada ibu dan ini akan memberi kesan pada kandungan dan bayi mungkin ada masalah selepas itu.

“Sekiranya bayi tidak cukup bulan dan keadaan ibu tidak mengizinkan, kami terpaksa keluarkan juga bayi untuk memudahkan proses ‘intubation’ atau bantuan pernafasan (CPR) ke atas ibu. Kami akan utamakan ibu dahulu dan membuat pemantauan terhadap bayi selepas itu.

“Oleh itu, kebanyakan pesakit hamil yang mengalami Covid-19 bersalin secara pembedahan dengan cepat kecuali ibu yang pintu rahim sudah dibuka melebihi enam sentimeter,” katanya.

Jelas beliau, selain memberi keutamaan dalam mempercepatkan vaksinasi dan pelalian secara tanpa temu janji (walk in) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi wanita hamil, mereka juga perlu mengamalkan gaya hidup sihat terutamanya pada musim pandemik.

Air Mata Siti Sarah Tatapan Terakhir Shuib Dan Anak-Anak

“Selain mengikuti SOP, ibu hamil juga harus memberi perhatian untuk menjaga pemakanan yang sihat, pengambilan multivitamin dan pengurusan berat badan yang ideal kerana obesiti juga adalah faktor berisiko tinggi untuk mendapatkan kondisi yang serius untuk Covid-19.

“Buat masa sekarang, semua hospital-hospital besar telah membenarkan pesakit yang mengandung untuk diberi vaksin semasa berada di dalam hospital itu sendiri. Ini merupakan inisiatif yang baik.

“Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA) juga berperanan untuk mendapatkan senarai pesakit-pesakit berisiko tinggi dan berhubung dengan pihak PPV bagaimana cara melestarikan vaksin supaya dapat diberikan kepada ibu-ibu hamil secepat mungkin,” katanya.

Dalam pada itu, jutaan rakyat Malaysia menangisi pemergian penyanyi terkenal, Siti Sarah Raisuddin yang meninggal dunia pada awal pagi tadi akibat dijangkiti Covid-19.

Sebelum itu, pada jam 5 petang Jumaat lalu, Siti Sarah yang hamil tujuh bulan, selamat melahirkan anak keempat yang juga bayi lelaki secara pembedahan.

INFO Pesanan dan nasihat kepada golongan wanita hamil menurut Royal College of Obstetricians & Gynaecologist (RCOG) – Profesor Madya Dr Habibah Abdul Hamid • Vaksinasi disyorkan semasa kehamilan. Anda boleh mendapat vaksin Covid-19 jika disahkan hamil dan berumur 18 tahun ke atas. Menerima dua dos vaksin adalah kaedah paling selamat dan berkesan untuk melindungi anda dan bayi dari jangkitan Covid-19. (Malaysia telah melaksanakan tetapi tidak secara keseluruhan Malaysia) • Penjarakan sosial yang ketat. Wanita hamil yang tidak divaksinasi atau tidak diberi vaksin sepenuhnya boleh memilih untuk membatasi hubungan rapat mereka dengan orang lain untuk mengurangkan risiko mendapat Covid-19 atau menyebarkannya terutamanya jika mereka berada di trimester ketiga dan ketika tahap penyakit Covid-19 tinggi pada komuniti setempat.

• Kekal aktif dan hidrasi yang baik. Tetap bergerak banyak untuk mengurangkan risiko pembekuan darah pada kehamilan • Senaman biasa dan pengambilan makanan sihat dan seimbang serta suplemen. Obesiti adalah salah satu faktor risiko yang tinggi untuk Covid-19, dengan senaman dan diet seimbang serta suplemen asid folik dan vitamin D akan membantu menyokong kehamilan yang sihat.

• Mematuhi SOP umum yang telah disarankan oleh kerajaan dengan sebaiknya • Menepati janji temu yang telah disarankan oleh doktor: Menghadiri semua imbasan kehamilan dan janji temu melainkan anda dinasihatkan untuk kekal di rumah demi keselamatan • Dapatkan nasihat perubatan jika anda mempunyai gejala Covid-19 atau kebimbangan mengenai kesejahteraan diri dan bayi anda yang bakal lahir.

 


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Amboi Mona Allen! Baik Punya….


Sebaran :

Leave a Reply