Tak semestinya pembangkang jadi PM ikut perkenan Agong

KETUA Whip Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Johari Abdul menegaskan bahawa tidak semestinya ahli Parlimen pembangkang akan dilantik sebagai perdana menteri sekiranya Tan Sri Muhyiddin Yassin hilang sokongan di Dewan Rakyat pada September ini.

“Saya yakin sesiapa juga yang akan naik, tidak semestinya daripada pembangkang. Mungkin ada orang lain dalam perbincangan Yang di-Pertuan Agong yang boleh memberikan keyakinan kepada ahli Parlimen lain sebagai perdana menteri,” kata Ahli Parlimen Sungai Petani itu kepada wartawan Sinar Harian, Farah Shazwani Ali.

SINAR HARIAN: Muhyiddin menyatakan beliau masih mempunyai majoriti kukuh di Parlimen tetapi Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula yakin Pakatan Harapan (PH) ada majoriti membentuk kerajaan. Boleh Datuk terangkan kedudukan sebenar ketika ini?



JOHARI: Isunya sekarang jelas, sama ada Muhyiddin boleh menunjukkan beliau mempunyai sokongan yang cukup ataupun tidak. Itu semua akan berlaku dengan beberapa cara.

Cara pertama, perkara yang paling gentleman ialah beliau membawa usul undi percaya. Pernah zaman-zaman sebelum ini, kita tengok perdana menteri membawa usul undi percaya untuk mendapatkan keabsahan bahawa mereka mendapat sokongan majoriti.

Bawa usul, sekali gus ia menamatkan cerita-cerita orang di luar, fitnah atau apa jua pandangan serong terhadap beliau.

Muhyiddin sebenarnya mempunyai peluang apabila diminta oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mempercepatkan persidangan Parlimen. Sepatutnya, saya kira pada 2 Ogos yang lepas, beliau boleh bawa satu usul untuk mengabsahkan kedudukan beliau tapi beliau ambil tindakan untuk mengadakan Sidang Khas. Muhyiddin miss opportunity itu.



Cara kedua ialah di luar Dewan dengan pembangkang bukan sahaja Pakatan Harapan (PH), tapi juga gabungan ahli Parlimen yang lain membuktikan melalui dokumentasi, surat-surat kepada Speaker dan surat-surat yang ditulis kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membuktikan bahawa Muhyiddin sudah hilang sokongan yang sepatutnya sebagai perdana menteri.

Sebab itu kita katakan, beliau hanya mempunyai 103 sokongan ahli Parlimen. Bukti yang tersebar, grafik yang dibuat oleh pihak-pihak media menunjukkan pembangkang mempunyai 117 sokongan.

Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuriraani Patto (kiri) dan Johari ketika ditemui media selepas memberi keterangan di Balai Polis Dang Wangi berkaitan sekumpulan Ahli Parlimen dari parti pembangkang yang berkumpul di Dataran Merdeka kerana tidak dibenarkan memasuki bangunan Parlimen, pada Isnin lepas. - Foto Bernama
Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuriraani Patto (kiri) dan Johari ketika ditemui media selepas memberi keterangan di Balai Polis Dang Wangi berkaitan sekumpulan Ahli Parlimen dari parti pembangkang yang berkumpul di Dataran Merdeka kerana tidak dibenarkan memasuki bangunan Parlimen, pada Isnin lepas. – Foto Bernama

 

Sudah tentu beliau menyatakan bahawa itu spekulasi, tidak benar dan andaian.



Bagaimana kita nak membuktikan kalau tidak ada satu tindakan daripada beliau sendiri untuk mematikan pandangan serong tersebut sekiranya beliau sendiri gagal membawa satu usul memastikan dirinya mempunyai jumlah sokongan yang cukup dengan membawa usul undi percaya, seperti mana yang telah dibawa oleh perdana menteri terdahulu.

Kes paling hampir dengan kita ialah bekas Menteri Besar Perak, (Datuk Seri Faizal Azumu) sendiri membenarkan usul undi percaya dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) dan terbukti bahawa beliau sebenarnya tidak mempunyai jumlah yang cukup untuk mempertahankan jawatannya.

Itu sebenarnya yang sedang berlaku.

SINAR HARIAN: Muhyiddin menyatakan usul undi percaya September ini akan tentukan kedudukannya. Adakah tempoh itu terlalu lama bagi pembangkang?



JOHARI: Sudah pasti sebab dalam Perlembagaan Persekutuan menjadi dokumen yang kita junjung, menjadi undang-undang tertinggi dan utama negara.

Apabila seseorang itu telah hilang jumlah untuk terus menjadi perdana menteri, maka beliau mesti serta-merta berjumpa Yang di-Pertuan Agong bahawa dirinya telah hilang sokongan.

Dia boleh kata ada sokongan tetapi dalam kes ini, dia tidak ada. Dua perkara yang boleh dilakukan iaitu yang pertama, beliau secara ikhlas, jujur meletakkan jawatan kerana telah hilang jumlah sokongan yang membolehkan beliau menjadi perdana menteri.

Keduanya, meminta supaya Dewan Rakyat dibubarkan. Terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan sama ada meneruskan pemerintahan beliau dengan memberikan beberapa syarat, mungkin memberikan masa ataupun membubarkan Dewan.



Tetapi, yang pentingnya apa jua sebelum Agong membuatkan keputusan, Muhyiddin sendiri seharusnya melepaskan jawatan, tetapi ia tidak berlaku.

Ia bukan soal berani, tidak berani. Bila kita melangkah ke Dewan Rakyat, perkara pertama sekali yang kita lakukan ialah mengangkat sumpah. Ini bukan cerita main-main. Apabila kita masuk ke Dewan Rakyat, antara yang kita sebut dalam sumpah ialah taat setia kepada raja dan Yang di-Pertuan Agong serta menjunjung perlembagaan.

Itu dua perkara yang tidak boleh lari daripada hakikat bahawa ahli Parlimen membawa satu beban yang cukup hebat, di samping berkhidmat kepada rakyat.

Isu perlembagaan tidak boleh diperkotak-katikkan. Apabila telah terbukti hilang majoriti, kamu mesti ambil tindakan mengikut apa yang telah termaktub dalam perlembagaan, iaitu melepaskan jawatan.



Soal berani atau tidak, itu cerita lain. Berani pun kena buat. Kalau tidak berani pun kena buat. Sebab selagi cuba bertahan dengan kedudukan tidak mempunyai majoriti, beliau dilihat sebagai seorang yang tidak menjunjung perlembagaan, tidak memenuhi sumpah dalam Parlimen. Implikasinya ialah persepsi rakyat terhadap Muhyiddin amat buruk.

Yang kedua, kita mempunyai sistem yang mana pentadbir kita akan menerima arahan daripada kerajaan yang sah.

Tetapi kalau pegawai kerajaan sendiri mempunyai rasa was-was sama ada kerajaan ini sah atau tidak, bayangkan bagaimana mereka akan melaksanakan tugas. Mereka sendiri tak yakin bahawa kerajaan ini sah dari segi undang-undang.

Saya bekas pegawai kanan kerajaan, saya tahu. Saya takut kalau saya mengambil arahan dan jika kerajaan itu tumbang, apakah yang akan berlaku pada kerja-kerja yang telah saya laksanakan ini?

Ketiga, tentang persepsi dunia luar yang telah pun mempunyai pelaburannya di sini. Mungkin mereka telah belanja AS$100 juta dan melabur tapi tiba-tiba mereka lihat keadaan huru-hara macam ini.

Ini memberikan gambaran Malaysia bukanlah negara yang boleh diharapkan oleh para pelabur dan boleh menjejaskan kepercayaan mereka kerana komuniti perniagaan amat luas seluruh dunia.

Mereka mempunyai hubungan dengan kumpulan yang lain dan mempunyai commercial intelligence yang akan bertanya, apakah kebarangkalian kedudukan pelaburan mereka jika melabur di Malaysia.

SINAR HARIAN: Sekarang dengan kerajaan yang terumbang-ambing dan dilihat tidak berwibawa oleh kerana perlembagaan yang ada sendiri pun dilanggar, bagaimanakah pelabur yang berpotensi untuk melabur ke Malaysia akan buat keputusan?

JOHARI: Ia suatu yang amat besar dan memberikan impak buruk kepada kita, bukan sahaja sekarang tapi sudah pasti satu generasi yang akan datang, sebab ia tentang persepsi umum dan impak pelaburan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa 11 ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadap Muhyiddin. Adakah ahli UMNO itu akan bergabung menyokong PH untuk membentuk kerajaan?Orang yang mempunyai autoriti untuk mengesahkan berapa orang daripada 220 ahli Parlimen yang menyokong kerajaan, berapa orang yang berpihak pada pembangkang ialah Speaker Dewan Rakyat sebab beliau mempunyai data yang cukup dan berpandukan kepada syarat-syarat, peraturan serta undang-undang.

Jadi, Speaker adalah individu yang bertanggungjawab memastikan dan memaklumkan kepada dunia bahawa pembangkang ada berapa, kerajaan ada berapa.

Inilah juga yang patut dipersembahkan kepada Seri Paduka Baginda.

Kalau sekiranya itu terjadi, saya rasa masalah kita tidak akan berlarutan. Speaker harus bebas dan berlaku adil untuk memaklumkan kepada pihak yang berwajib.

Apabila presiden UMNO menyerahkan bukti-bukti menyatakan sejumlah ahli Parlimen parti itu telah menarik sokongan terhadap Muhyiddin, Speaker sepatutnya mengesahkan bahawa beliau telah menerima dokumen penarikan diri dan memaklumkan kepada dunia.

Seperti yang beliau buat semasa Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menulis surat kepada beliau dan menyatakan tidak pernah menyokong Muhyiddin dan minta supaya kedudukan kerusinya di blok kerajaan dipindahkan.

Soalnya sekarang, kenapa 11 ahli Parlimen UMNO yang telah pun menghantar surat dan pemakluman tentang penarikan diri mereka daripada Perikatan Nasional (PN) ini tidak diambil tindakan oleh Speaker.

Ini satu soalan besar, kenapa Speaker senyap sedangkan ke atas Tengku Razaleigh, beliau membuat satu pengumuman. Saya sebagai Ketua Whip PKR dan ahli Parlimen yang agak lama dalam Dewan Rakyat merasakan sesuatu yang tidak betul di sini. Adakah Speaker cuba melambatkan proses memaklumkan atau sengaja tidak mahu memaklumkan kepada dunia?

SINAR HARIAN: Pada jangkaan Datuk, apa yang akan berlaku menuju September ini terutama tindakan oleh pembangkang sdan UMNO sendiri?

JOHARI: Terbukti bahawa Muhyiddin memang gagal mendapat sokongan. Jadi kita mesti penuhi keperluan perlembagaan dahulu. Apabila beliau gagal untuk mendapatkan sokongan, beliau mesti melepaskan jawatan.

Kemudian, apa yang akan berlaku ialah Seri Paduka Baginda akan memilih individu yang dipercayai boleh mendapat sokongan daripada ahli Parlimen lain. Insya-ALLAH kalau perkara itu terjadi, saya yakin sesiapa juga boleh naik sebagai perdana menteri, tidak semestinya pembangkang. Mungkin juga ada orang lain yang dalam perbincangan Seri Paduka Baginda yang boleh memberikan keyakinan kepada ahli Parlimen yang lain sebagai perdana menteri.

Sesiapa pun juga yang naik, fokus utama sekarang ialah untuk memastikan bahawa isu pandemik akan dapat diselesaikan secepat mungkin.

SINAR HARIAN: Selepas protes di Dataran Merdeka, apakah strategi pembangkang selepas ini untuk menekan kerajaan PN?

JOHARI: Fokus kita sama ada pembangkang atau kerajaan adalah untuk memastikan kedaulatan undang-undang itu ditegakkan. Semua yang kita persetujui sama ada dalam standing order Parliament ini, ahli Parlimen harus mematuhi tata cara kita bertindak melalui undang-undang dan Perlembagan Persekutuan.

Perlembagaan adalah suatu yang utama dan tertinggi, harus kita ikut dan pegang. Kalau kita langgar dua-dua ini, ia akan jadi anarki dan yang mendapat bencana adalah keselamatan negara serta rakyat terjejas.

Kes Covid-19 semakin hari semakin meningkat, adakah wajar peralihan kuasa dilakukan pada ketika ini?Peralihan kuasa ini berpaksikan kepada dua, yang pertama oleh kerana Muhyiddin hilang sokongan, maknanya dia hilang sokongan mengikut undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan. Dia mesti letak jawatan.

Kedua, kenapa dia hilang sokongan? Dia hilang sokongan kerana kegagalan dia mengatasi banyak masalah. Saya (sebagai) pembangkang memang tak pernah sokong dia.

Sudah tentu ramai ahli Parlimen pembangkang tak sokong dia tapi hakikatnya orang yang bersama dengan dia dalam kerajaan PN termasuk orang-orang UMNO, ahli Parlimen UMNO yang dahulunya menyokong beliau, sekarang ini sudah tarik diri.

Ada sebabnya. Sedangkan bukan ahli Parlimen biasa saja tetapi ada menteri-menteri, yang jadi pengerusi GLC (syarikat berkaitan kerajaan) yang duduk agak selesa tetapi mereka juga menarik diri apabila parti mereka sudah buat keputusan. Sudah tentu keputusan itu berpaksikan satu sebab. Saya yakin antara sebab utama ialah cara Muhyiddin mengendalikan urusan kerajaan.

Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuriraani Patto (kanan) dan Johari (dua, kanan) bersama peguam Sangeet Kaur Deo selepas memberi keterangan di Balai Polis Dang Wangi berkaitan sekumpulan Ahli Parlimen dari parti pembangkang yang berkumpul di Dataran Merdeka kerana tidak dibenarkan memasuki bangunan Parlimen, pada Isnin lepas.
 - Foto Bernama
Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuriraani Patto (kanan) dan Johari (dua, kanan) bersama peguam Sangeet Kaur Deo selepas memberi keterangan di Balai Polis Dang Wangi berkaitan sekumpulan Ahli Parlimen dari parti pembangkang yang berkumpul di Dataran Merdeka kerana tidak dibenarkan memasuki bangunan Parlimen, pada Isnin lepas.
 – Foto Bernama

 

Pertama, bagi saya beliau tidak telus dan tidak bertanggungjawab. Contohnya baru-baru ini, mana mungkin perdana menteri membenarkan menteri menjawab soalan dalam Parlimen.

Ia menunjukkan beliau tidak bertanggungjawab dan perlu meletakkan jawatan. Beliau berbohong dalam Dewan.

Kedua, kes Covid-19 terlalu lama dan panjang berbanding negara lain. Malah, jika dibandingkan dengan negara seperti Vietnam, Australia dan New Zealand, jumlah penduduknya hampir sama dengan kita. Malah, penduduk Vietnam lebih ramai.

Kita cuma ada 32 juta rakyat tetapi kita mengambil masa yang terlalu lama, agak lembab untuk selesaikan isu ini. Selain daripada itu, kegagalan Muhyiddin dalam mengendalikan pengurusan Covid-19 juga menjadi salah satu faktor.

Muhyidin mesti meletakkan jawatan kerana tiada jalan lain. Beliau telah gagal dan tidak mampu lagi meneruskan kepimpinannya. Apa juga keadaan, mesti mendapatkan vaksin dan belanjalah sebanyak mungkin.

SINAR HARIAN: Apakah yang diharapkan oleh pembangkang untuk membendung penularan Covid-19?

JOHARI: Mengikut nasihat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan pakar, sekiranya kita tidak boleh mencapai herd immunity kepada 80 peratus, rakyat di Malaysia akan terus berdepan masalah ini.

Maknanya kita terpaksa bekerja keras 24 jam untuk selesaikan masalah ini, kita juga mesti mesti cari jalan untuk dapatkan bekalan vaksin. Kita mesti bertanggungjawab memastikan korupsi tidak berlaku dengan mengambil kesempatan di atas penderitaan rakyat, mesti telus dan segala-galanya berpaksikan kebenaran.

Kemudian, masalah ekonomi. Rakyat susah, nak makan pun susah. Jadi, kita harus berbelanja. Kalau terpaksa berhutang, berhutanglah untuk pastikan aliran tunai diberikan atau berlegar dalam kalangan rakyat supaya mereka terus hidup. Kalau tidak, kita akan berdepan masalah jiwa dan psikologi, itu lebih parah!

Sementara menunggu keluk Covid-19 landai, kita mesti pastikan masalah psikologi dibendung dan selesai secepat mungkin. Kalau ada kawasan yang boleh kita buka secepat mungkin, kita kena lakukan kerana Covid-19 akan terus berada dalam masyarakat, dalam kehidupan kita.

Kita kena terima hakikat itu adalah cara baharu kita sebagaimana diisytiharkan di Singapura. Maka kena selesaikan dengan cara menerima hakikat bahawa virus ini berada dalam masyarakat.

Kita kena gunakan semua kaedah untuk maklumkan kepada rakyat, kita harus ada cara baharu kerana virus itu bersama kita.

Di samping itu, kita juga kena gunakan kemudahan yang kita ada sama ada media sosial atau medium lain dan bersama lakukan yang terbaik.

INFO

Datuk Johari Abdul

Tarikh lahir :

25 Mei 1955 di Sungai Petani, Kedah

Pendidikan: Universiti Malaya & University of Lancaster, England

Jawatan:

Ahli Parlimen Sungai Petani

ADUN Gurun,

Pengerusi PKR Kedah

Ketua Whip PKR


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


ROS maklumkan MT Umno hanya caretaker hingga selesai pemilihan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker