Permainan politik putaran ‘angka’

POLITIK Malaysia tidak pernah kesunyian dengan kontroversi.

Sejak 2018 sehingga hari ini, sama ada personaliti politik atau parti politik, masing-masing masih tidak berjaya memberikan noktah ke atas kemelut yang melanda negara.

Apa sebenarnya sedang berlaku dan mengapakah setiap langkah diambil penting untuk membolehkan penyandang jawatan bertahan, manakala pesaingnya perlu memikirkan ‘masa’ sesuai untuk bertindak.



Bukan sesuatu luar biasa apabila seseorang pemimpin diangkat menerajui pentadbiran negara, saat yang sama akan ada yang bersedia untuk melakukan perebutan kuasa.

Ia putaran ‘angka’ apabila tidak ada yang dominan. Kesemuanya perlu diikat dengan 222 kerusi Parlimen di Dewan Rakyat.

Beberapa angka berlegar termasuk 115, 114, 110, 107, 40, 31, 11, 8 dan 21. Yang manakah nombor sebenar? Siapakah yang memiliki majoriti kerusi tersebut?

Mengikut kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong, beliau masih memiliki majoriti walaupun sehari sebelumnya, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan penarikan sokongan ke atas kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri.



Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang akhbarnya menyatakan 31 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) terus berada di belakang Perdana Menteri. Tiba-tiba dua daripadanya menolak sokongan tersebut.

Sokongan wakil rakyat UMNO kini terpecah apabila ‘angka mencukupi’ yang dinyatakan Ahmad Zahid menjadi tanda soal, sebagaimana ‘angka 31’ Ismail Sabri. Kesetiaan kepada parti atau kerajaan, dilema yang luar biasa bagi anggota kabinet UMNO.

Nak tahu siapa Nazri sebenar, baca kenyataan lalunya – Najib



Oleh sebab isu ‘angka’ sudah berpanjangan untuk sekian lamanya, Muhyiddin menyarankan usul undi percaya dalam sidang Parlimen akan datang dan telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Undi percaya lazimnya dibawa oleh penyokong kerajaan. Dua usul undi percaya pernah dibuat sebelum ini termasuk ke atas Tun Hussein Onn dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Beberapa andaian boleh diikat dengan kedudukan ‘undi percaya’. Jika Muhyiddin mendapat kepercayaan, beliau akan mengekalkan jawatannya.

Jika gagal mendapat sokongan diperlukan, maka Perdana Menteri perlu digantikan oleh seseorang yang pada budi bicara Yang di-Pertuan Agong mungkin mendapat sokongan majoriti.



Perdana Menteri juga boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) yang kini tidak sesuai sama sekali.

Kita juga tidak boleh menolak jika penjajaran baharu dilakukan sebagaimana pembentukan Perikatan Nasional pada Mac 2020.

Cakap-cakap setakat hari ini adalah kerjasama longgar beberapa parti politik yang mahu melihat kejatuhan Muhyiddin tanpa menyedari ahli Parlimen sama menyatakan kesediaan menyokong Muhyiddin di depan beliau.

Ia menunjukkan ‘angka’ mengelirukan dan tidak berpihak kepada sesiapa lagi sepenuhnya.



Bermain dalam dua kolam bukan baharu tetapi keupayaan untuk melakukannya menjadi tanda tanya. Surat Akuan Bersumpah sudah tidak relevan.

Apabila Perdana Menteri dikatakan hilang kepercayaan, blok pembangkang juga tidak ada sokongan.

Kedua-duanya berhadapan dengan jumlah ‘angka’ sebenar. Apakah akan ada dalam kalangan pembangkang yang memilih menyokong status-quo untuk memulihkan kestabilan sementara?

Pembentukan ‘kerajaan sementara’ juga adalah opsyen yang lain andainya bilangan sokongan dalam Dewan Rakyat meragukan. Kearifan Yang di-Pertuan Agong untuk meleraikan kekusutan akan terjawab pada 6 September ini.



Saya tidak yakin kesemuanya akan berakhir selepas keputusan sokongan diperoleh di dalam Dewan Rakyat kerana dinamika politik tanah air akan sentiasa diuji.

Pihak yang tidak menang akan meneruskan agenda mereka di platform berbeza dan mengharapkan simpati umum, manakala yang menang akan tampil dengan keyakinan untuk memanjangkan agenda pemulihan negara.

Undi percaya adalah jalan penyelesaian praktikal bagi mengakhiri krisis kepimpinan hari ini.

Laksanakannya dengan penuh tanggungjawab dan amanah. Hari penentuan itu penting kerana setiap bucu negara akan memerhatikannya.

Ini masanya memulihkan semula kewibawaan wakil rakyat dan gunakannya tanpa menggadai walau satu inci penghormatan ke atas nama ‘wakil rakyat’.

* Profesor Dr Sivamurugan Pandian ialah pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Najib jangka sokongan Muhyiddin hanya kurang dari 100

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker