Noh akur dengan perkenan YDPA tunggu ‘Undi Percaya September’

Kedudukan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika ini dikatakan masih sah sehinggalah keabsahannya ditentukan melalui Usul Undi Percaya yang akan dibentangkan dalam sidang Parlimen pada September nanti.

Hal berkenaan dijelaskan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar yang memaklumkan beliau akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang memberi perkenan penentuan keabsahan dilakukan dalam Dewan Rakyat seperti dimaklum Perdana Menteri.

Beliau berkata, sehingga hari usul berkenaan dibentangkan, beliau bersetuju kerajaan PN dan Ahli Parlimen Pagoh menjadi Perdana Menteri masih sah sebagai tanda menjunjung titah Seri Paduka.



“Hasil perbincangan, saya bersetuju, pertama kerajaan yang ada pada hari ini dipimpin oleh Muhyiddin masih sah sehinggalah Parlimen bersidang pada bulan September nanti untuk menentukan keabsahan kedudukan beliau.

“Perdana Menteri pula berjanji bahawa usul ini akan dibawa dalam sidang Parlimen pada September nanti. Setakat hari ini saya menjunjung titah Seri Paduka dan menunggu Parlimen bersidang melainkan jika ada keputusan-keputusan sebaliknya,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang akhbar tengah hari tadi memaklumkan 31 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyokong kerajaan semasa dan Muhyiddin sebagai Ketua Majlis.

Bagaimanapun, tular dalam media sosial menunjukkan senarai nama dan tandatangan Ahli Parlimen termasuk Noh Omar yang disalah anggap sebagai terjemahan kepada sokongan kepada kerajaan PN dan Perdana Menteri.



Beliau menjelaskan, senarai berkenaan hanyalah pernyataan kehadiran mesyuarat Ahli-Ahli Parlimen BN bersama Ismail Sabri yang turut dihadiri beliau bersama anggota lain yang turut berada dalam Kabinet.

Dalam pada itu, juga memaklumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi perlu mengadakan pertemuan dengan ahli Parlimen parti itu bagi menjelaskan keputusan parti yang dibuat dalam mesyuarat sebelum ini seperti yang diberitahu dalam perbincangan bersama Naib Presiden UMNO.

“Ini saya setuju kerana saya terlibat dalam dua kumpulan, kumpulan pertama adalah Majlis Tertinggi (MT). Dalam MT saya melihat majoritinya juga adalah ahli-ahli Parlimen. Dalam kumpulan itu juga akan melaksana dan menunaikan keputusan parti adalah ahli-ahli Parlimen.

“Tetapi di dalam golongan itu juga majoritinya bukan ahli MT, jadi mereka hanya tahu keputusan menarik sokongan telah maklum, tetapi mereka mahukan penjelasan yang lebih jelas mengenai keputusan yang dibuat oleh MT kerana ahli-ahli Parlimen tidak terlibat di dalam mesyuarat MT,” jelasnya.



 


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Giliran Ketua Pemuda Umno Sabah letak jawatan pengarah Boustead Plantation



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker