Isteri meninggal selepas setengah jam suami meninggal
Isteri meninggal selepas setengah jam suami meninggal
Sepasang suami isteri meninggal dunia selang 29 minit akibat Covid-19 antara cerita menyayat hati dalam pada negara ini kekal dibelenggu penularan wabak berkenaan.
Pemergian Wan Yusof Wan Abdullah, 63, dan isteri tersayang, Aminah Yaakub, 59, berlaku pada 29 Julai lalu, pastinya meninggalkan kesan mendalam terhadap lima anak mereka dengan tiga daripadanya turut disahkan positif Covid-19.
Anak mangsa yang juga pensyarah, Wan Su Emi Yusnita, 39, berkata ayahnya menghembuskan nafas terakhir pada 8.32 pagi di Hospital Jelebu diikuti Aminah di Hospital Tampin, Negeri Sembilan, jam 9.01 pagi dengan hanya 29 minit memisahkan ajal mereka berdua.
Jenazah kedua-duanya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Bagan Pinang, Port Dickson, Negeri Sembilan.
Berkongsi kisah memilukan itu dengan Harian Metro, Wan Su Emi Yusnita yang menetap di Sungai Besi, Kuala Lumpur, berkata dia dan adik-beradiknya sudah lama bersedia dengan kemungkinan bapanya akan meninggal dunia kerana penyakit kronik dialami. Namun mereka terkejut apabila ibu yang berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) selepas kaki kanan dipotong akibat diabetes turut dijemput Ilahi pada hari sama.
“Abah memang mempunyai penyakit tiga serangkai iaitu jantung, darah tinggi dan masalah buah pinggang akibat diabetes malah baru keluar daripada hospital pada 16 Julai lalu.
“Keesokan harinya (17 Julai), abah demam diikuti emak dan adik kedua, keempat serta bongsu.
“Melihat keadaan emak yang demam sehingga (badannya) menggigil, adik bawanya menjalani ujian saringan pada 20 Julai iaitu pada Hari Raya Aidiladha dan disahkan positif keesokan harinya sebelum dimasukkan ke hospital hari sama.
“Sementara itu, abah pula dibawa menjalani ujian saringan pada 21 Julai, sah positif Covid-19 keesokannya (22 Julai) dan dimasukkan ke Hospital Jelebu pada 23 Julai,” katanya.
Menurut Wan Su Emi Yusnita, hanya dia dan adik ketiga, Wan Mohd Hanafiah, 33 berpeluang membuat pengecaman serta menatap jenazah ibu bapa mereka.
Sementara itu, Wan Su Emi Yusnita berkata, tiga lagi adiknya iaitu Wan Nur Hashimah, 36; Wan Nur Ainshatun, 26 dan Wan Shafiqah Zaharah, 24, tidak dapat turut sama kerana masih menjalani kuarantin selepas positif Covid-19.
“Selepas dapat tahu emak meninggal dunia, saya hilang kata-kata dan bertambah terkejut apabila dimaklumkan mengenai kematian abah yang rupanya pergi lebih awal.
“Mujurlah urusan pergerakan rentas negeri berjalan lancar dan saya uruskan pengecaman jenazah abah manakala adik lelaki membantu urusan emak di hospital.
“Adik yang lain pula tidak dapat bersama jadi hanya berpeluang melihat wajah jenazah emak dan abah menerusi panggilan video. Detik itu yang membuatkan kami semua sukar mengawal emosi termasuk saya,” katanya.
Baca Artikel Menarik :
- Pandelela cemas kepala hampir terkena platform
- Saya dan Dhabitah sudah lama berpisah
- Resepi Gulai Nangka Muda Ikan Masin Sempoi
- Najib memberi teguran kepada pengkritik kerajaan
- Najib, UMNO Peroleh Kembali Aset Yang Disita Bernilai RM114 juta
- Tuduh saya mencuri tapi pujuk suruh sokong PM
- Horse-trading for the PM’s post, Muhyiddin keep fighting
Layari Laman Facebook MYKMU
Wan Su Emi Yusnita berkata, perasaan sedih itu bertambah kerana dia tidak dapat memeluk dan mencium jenazah ibu bapanya buat kali terakhir.
Bagaimanapun, dia dan adik beradik cuba memujuk diri serta bersangka baik dengan ketentuan Allah.
“Abah sudah lama tenat sebenarnya tetapi Allah panjangkan umurnya dan takdirkan arwah pergi bersama emak.
“Sebagai anak, saya tentunya sedih apabila hilang kedua-duanya tetapi reda kerana memikirkan bagaimana keadaan emak seandainya abah yang pergi meninggalkannya memandangkan mereka berdua rapat walaupun sudah 40 tahun berkahwin.
“Rezeki arwah emak dan abah juga apabila pusara mereka bersebelahan satu sama lain malah ini bukti cinta mereka sehingga hujung nyawa,” katanya. FMT
Isteri meninggal selepas setengah jam suami meninggal
You must be logged in to post a comment.