KL banjir – Apa peranan Smart Tunnel?

Kuala Lumpur banjir besar disebabkan hujan lebat selama tiga hingga empat jam tanpa henti.

Ada yang bertanya, sudah ada Smart Tunnel mengapa Kuala Lumpur banjir lagi?

Smart Tunnel tidak mampu untuk menampung air yang mengalir di permukaan tanah, jalan raya mahupun dari Sungai Klang, kerana taburan hujan yang amat tinggi semalam.

Ini disebabkan air bukan sahaja dari bandaraya Kuala Lumpur, bahkan dari hulu Sungai Gombak yang bertemu dengan Sungai Klang di Masjid Jamek, Kuala Lumpur.



Smart Tunnel hanya dapat mengambil sebahagian daripada air ini sahaja melalui kolam tadahan Kampung Berembang, dekat Ampang yang kemudiannya disalurkan ke Sungai Kerayong, dekat Taman Desa atau Salak Selatan.

Smart Tunnel sebenarnya adalah terowong terpanjang di Asia Tenggara dan yang kedua terpanjang di Asia. Panjangnya ialah 9.7 kilometer.

Mula dibina di tahun 2003 dan mula beroperasi pada tahun 2007.

Pembinaan Smart Tunnel mempunyai dua tujuan iaitu untuk keperluan trafik dan saluran air.



Terdapat dua lapisan untuk trafik bagi kedua-dua arah dan lapisan ketiga di bawah sekali untuk mengalirkan air banjir.

Smart Tunnel dioperasikan mengikut tiga mode:

Mode pertama;

Apabila waktu tiada hujan lebat ianya digunakan sebagai laluan trafik terutamanya bagi mengelakkan kesesakan di Jalan Sungai Besi dan Jalan Loke Yew Flyover serta sekitar Jalan Tun Razak.



Mode kedua;

Jika hujan lebat yang sederhana, operasi Smart Tunnel untuk trafik masih diteruskan, manakala air limpahan di bandaraya Kuala Lumpur disalurkan di saluran ketiga (bawah sekali) untuk disalurkan ke kolam tadahan terlebih dahulu sebelum dialir ke Sungai Kerayong.

Mode ketiga;

Apabila hujan lebat dengan membawa banjir besar, Smart Tunnel ditutup kepada laluan trafik. Pintu air akan dibuka untuk air memasuki saluran trafik. Bermakna ketiga-tiga lapisan terowong digunakan untuk mengalirkan air.



Dalam kejadian hujan lebat petang semalam, memang Smart Tunnel tidak mampu untuk menampung kesemua air yang mengalir di permukaan dan Sungai Klang.

Mengikut laporan, Smart Tunnel mula ditutup pada jam 4 petang hari kejadian. Ada yang mengatakan, kalau lebih awal Smart Tunnel ditutup mungkin banjir tidak seteruk ini.

Sebenarnya, pengurusan Smart Tunnel pun sudah ada prosedur standard operasi (SOP) tertentu untuk menentukan bila masa yang sesuai untuk membuka mode ketiga.

Walaupun hujan lebat sudah bermula dari jam 2 petang, tetapi Smart Tunnel juga harus memainkan peranan hakiki iaitu sebagai penyurai trafik.



Ketika itu jalan-jalan di Kuala Lumpur sesak dengan kenderaan dan salah satu laluan utama untuk menyuraikan trafik keluar dari bandaraya ialah dengan Smart Tunnel. Sebab itulah ia memerlukan masa sehingga jam 4 petang barulah ditutup.

Kita hanya mampu untuk merancang, tetapi kuasa alam sukar untuk diatasi oleh manusia terutama apabila hutan digondol dan tanah diturapi dengan jalan raya serta bangunan konkrit.

Maka, “air permukaan” tidak berupaya untuk menyerap ke dalam bumi. Tambahan pula kedalaman sungai semakin cetek disebabkan kelodak dan pasir dari hulu hanyut ke hilir atas nama pembangunan. – MalaysiaGazette



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker