Gempar bunyi tembakan, letupan dari sempadan Thailand

Gempar bunyi tembakan, letupan dari sempadan Thailand

PASIR MAS – Penduduk di beberapa kawasan di daerah ini digemparkan dengan bunyi tembakan dan letupan bom dari Tak Bai, Narathiwat, Thailand di seberang Sungai Golok pagi tadi.

Kejadian yang berlarutan selama sejam bermula pukul 3 pagi tadi itu menyebabkan penduduk di kawasan Kampung Kubang Pak Hitam, Kampung Bakong dan Kampung Kampung Mok Ngibi di sini tersedar daripada tidur apabila rumah mereka bergegar akibat dentuman bom dari negara jiran.

Pertempuran antara renjer dan sekumpulan lelaki bersenjata menyebabkan salah seorang anggota renjer maut dan empat lagi parah.

Difahamkan, kejadian itu berpunca daripada satu serangan hendap oleh sekumpulan lelaki bersenjata di sebuah pos kawalan di kawasan tersebut berikutan kematian seorang anggota militan dalam insiden berbalas tembakan di Pattani semalam.

Seorang warga emas yang tinggal di Kampung Mok Ngobi, Siti Rokiah Ahmad, 63, berkata, dia terjaga daripada tidur kira-kira pukul 3 pagi selepas mendengar bunyi letupan bom yang amat kuat.

Katanya, kedudukan rumahnya terletak di tepi Sungai Golok menyebabkan semua ahli keluarga terjaga apabila berlaku gegaran seperti gempa bumi sewaktu pertempuran itu.

“Kami sekeluarga hanya duduk di dalam rumah dan tidak berani keluar ekoran bimbang sekiranya ada peluru sesat daripada tembakan mereka terkena kami.

“Kami risau apabila bunyi tembakan dan letupan itu amat kuat. Sudah lama kami tidak mendengar bunyi tembakan dari seberang Sungai Golok,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya hari ini.

Menurut Rokiah, keadaan bertambah bimbang apabila keseluruhan bahagian rumahnya yang diperbuat daripada kayu bergegar sepanjang tempoh pertempuran berlaku.

Tinjauan Kosmo! di Pos Pengkalan Pulau yang dikawal oleh Batalion 9, Pasukan Gerakan Am (PGA) mendapati, renjer Thailand mengawasi kawasan di sepanjang Sungai Golok.

Pemerhatian di Pengkalan Mok Ngibi pula mendapati anggota renjer turut menjalankan pemantauan rapi di sekitar kawasan darat di Kampung Padang Nyior. K Online

Gempar bunyi tembakan, letupan dari sempadan Thailand


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Nak Cucuk Vaksin Ke Nak Tayang Body? [VIDEO]

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker