Kerajaan derhaka agenda politik

Kerajaan derhaka agenda politik. Beberapa hari lalu berlaku krisis pentadbiran yang agak unik antara pihak Eksekutif (kabinet) yang dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan institusi Yang di-Pertuan Agong, yang ketika ini Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di atas takhta.

Krisis bermula apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan terlajak mengumumkan kerajaan telah menamatkan semua Ordinan Darurat mulai 21 Julai lalu dalam Sidang Khas Parlimen, Isnin lalu.

Oleh sebab pengumuman Takiyuddin dibuat secara spontan, ia menimbulkan persoalan adakah pembatalan itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.



Setelah beberapa hari tiada penjelasan daripada Takiyuddin, Istana Negara mengambil pendekatan membuat kenyataan media menjelaskan bahawa Yang di-Pertuan Agong telah memaklumkan kepada kerajaan bahawa Ordinan Darurat (Pembatalan) 2021 (OD(P)2021) hendaklah dibentangkan di Parlimen untuk kelulusan.

Muncul tuduhan perdana menteri dan kerajaan derhaka kepada Yang di-Pertuan Agong kerana tidak akur dengan titah. Ia menimbulkan kekeliruan rakyat seolah-olah titah Seri Paduka dalam hal pentadbiran adalah sesuatu yang mutlak dan wajib dipatuhi.

Perbezaan pendapat cabang Eksekutif dan Yang di-Pertuan Agong bukan perkara baharu. Antara beberapa insiden jelas ialah ketika pentadbiran Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra dan Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Walaupun perbezaan pendapat pentadbiran Tunku Abdul Rahman dengan institusi raja-raja tidak besar, namun krisis 1983 dan 1993 semasa Dr Mahathir jauh lebih besar daripada apa yang berlaku hari ini.



Kabinet berpendapat nasihat mereka kepada Al-Sultan Abdullah untuk memperkenankan satu OD(P)2021 bagi menamatkan semua ordinan darurat lain berkuat kuasa 21 Julai lalu adalah sah mengikut Perkara 150 dan 40 Perlembagaan Persekutuan.

Perpecahan BN, Umno hanya dapat diperbaiki pada PRU15

Bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong berpendapat perkenan bagi Ordinan Darurat adalah di bawah bidang kuasa Seri Paduka secara mutlak mengikut Perkara 150 tanpa membabitkan Perkara 40.



Berdasarkan pendapat itu, Seri Paduka enggan memperkenankan OD(P)2021, sebaliknya menitahkan agar ia dibentang dan dibahaskan di Parlimen. Sesuatu yang menarik untuk dibahaskan ialah klausa 11 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang diperkenankan Januari lalu menyatakan fungsi dan kuasa kabinet kekal seperti diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan.

Sebenarnya konsep penderhakaan kepada Yang di-Pertuan Agong dalam sistem hari ini tidak sama dengan seperti zaman kesultanan Melayu lama atau Hikayat Hang Tuah, di mana titah dan kata-kata raja adalah undang-undang.

Sudah tentu perbezaan tafsiran antara eksekutif dan Yang di-Pertuan Agong tidak sepatutnya berlaku jika kedua-dua pihak mempunyai sikap tolak ansur dan mementingkan kestabilan politik negara ketika pandemik berbanding hal lain. Namun, sekiranya tiada penyelesaian, maka Istana Negara boleh memohon semakan kehakiman bagi mendapat tafsiran sah dari segi undang-undang.

Serangan kerajaan derhaka bukanlah dalam konteks mahu mempertahankan institusi Yang di-Pertuan Agong itu sangat. Ia lebih kepada musuh-musuh politik kerajaan yang rapuh mengambil kesempatan mewujudkan keadaan tidak stabil dan menjatuhkan kerajaan.



Usaha menjatuhkan kerajaan bukan bermula Khamis lalu sebaik Istana Negara membuat kenyataan bertentangan dengan nasihat kabinet. Ia telah wujud sejak Oktober 2020 lagi didalangi beberapa individu yang mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai perdana menteri.

Justeru, laungan perdana menteri derhaka bukan kerana bersifat melindungi institusi Yang di-Pertuan Agong tetapi lebih kepada mempergunakan institusi itu untuk merebut kuasa. Jika perbezaan pendapat mengenai tafsiran perlembagaan dalam hal darurat dianggap derhaka, maka Anwar adalah orang yang pertama derhaka kerana pada Januari lalu, beliau telah memfailkan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat.

*Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Kerajaan derhaka agenda politik




Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Muhyiddin berundurlah secara terhormat – Najib Razak



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker