Malaysia perlu pemulihan besar

EKONOMI Malaysia yang mula menjengket sepanjang tahun ini kembali mengalami suasana tidak menentu berikutan peningkatan kadar jangkitan Covid-19 dan krisis politik yang meruncing.

Kita memerlukan pemulihan yang besar dan pantas tahun ini bagi menampung kelompongan akibat penguncupan teruk tahun lalu.

Ekonomi kita mengempis 5.6 peratus akibat Covid-19, lebih teruk daripada yang dialami ketika krisis kewangan Asia tahun 1998. Banyak pihak meramalkan pertumbuhan 6.5 hingga 7.5 peratus tahun ini.



Bagaimanapun, akibat krisis politik sejak beberapa bulan kebelakangan yang berpunca daripada ketidakberkesanan pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional menangani Covid-19, tekanan terhadap ekonomi meningkat semula.

Dua petunjuk semasa ekonomi iaitu nilai ringgit dan harga di pasaran saham mengalami kemerosotan walaupun pasaran serantau serta antarabangsa mencatatkan kadar pemulihan pantas dan tinggi.

Sebelum ini reaksi pelabur terhadap saham-saham di Bursa Malaysia dipengaruhi oleh kadar jangkitan Covid-19 yang melebihi 15,000 kes sehari.

Yang membantu mengurangkan reaksi negatif dalam kalangan pelabur adalah hakikat bahawa jumlah vaksinasi harian telah meningkat dengan pantas sejak beberapa minggu terakhir ini. Jumlah suntikan kini melebihi setengah juta sehari menjadikan Malaysia antara negara paling pantas memberi vaksin kepada penduduk.



Krisis politik melibatkan Istana Negara, Jemaah Menteri dan Parlimen telah memburukkan sentimen pelabur yang menyebabkan Bursa Malaysia ketinggalan dalam pemulihan global.

Akibat ketidaktentuan politik, nilai ringgit jatuh berbanding dolar Amerika dan mata wang utama dunia yang lain.

Nazri kata Takiyuddin perlu mengadap ampun kepada Agong



Orang ramai mungkin tidak peduli dengan perkembangan ini kerana amat sedikit yang terlibat dengan tukaran mata wang tetapi sebenarnya semua orang akan terjejas apabila kadar tukaran ringgit jatuh.

Ini kerana apabila nilai ringgit jatuh, harga semua barang yang kita import seperti beras, gandum, daging, susu dan ubat-ubatan akan naik secara automatik. Sebab itulah harga banyak barang import atau yang mempunyai komponen import seperti makanan haiwan meningkat dan apabila harga makanan haiwan meningkat, maka harga ayam, telur dan daging tempatan turut meningkat.

Sementara itu, Bursa Malaysia pula menongkah arus dengan jumlah dagangan yang menguncup dan harga menurun berbanding pasaran serantau dan antarabangsa yang semakin kukuh.

Ambil contoh perdagangan pada 30 Julai. Apabila pasaran ditutup, indeks utama KLCI jatuh kepada 1,494.60 mata berbanding 1,608.35 mata pada 5 Januari lalu.



Bagi kebanyakan orang, untung rugi pasaran saham bukanlah masalah bagi mereka. Amat sedikit, khususnya orang Melayu yang terlibat dengan perniagaan di pasaran saham. Hakikatnya, apa yang berlaku di pasaran saham turut memberi kesan kepada berpuluh juta orang. Mereka melabur dalam pelbagai instrumen pelaburan seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau menabung dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Tabung Haji, Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera.

Semua agensi itu melabur di pasaran saham dengan membeli saham syarikat yang disenaraikan. Kalau harga saham naik, mereka akan membuat keuntungan dan sebaliknya apabila harga jatuh mereka rugi, bergantung kepada harga belian.

Sebab itulah beberapa tahun kebelakangan ini, akibat kemerosotan ekonomi dan pasaran saham, dividen atau hibah yang dibayar oleh tabung pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) merosot dengan teruk.

Jadi, sebenarnya sama ada orang ramai faham atau tidak mengenai perkembangan ekonomi negara, mereka akhirnya akan terkesan juga kerana kebajikan setiap orang bergantung kepada prestasi ekonomi negara.



Kita tidak boleh memandang ringan krisis politik yang sedang berlaku sekarang, sebab ia bukan sahaja menjejaskan kestabilan negara bahkan memberi kesan buruk kepada keyakinan pelabur tempatan dan asing. Akhirnya kita juga yang menanggung bebannya.

Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

 




Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Khabar angin cuba pecah belahkan kerajaan – Ismail Sabri

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker