Covid-19 : 6 kes baru sahaja hari ini

Kes baru Covid-19 kembali kepada satu angka, iaitu 6 kes hari ini yang membabitkan 2 penularan tempatan dan 4 kes import.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 6 kes baru itu terdiri daripada 4 kes import membabitkan warga asing dan 2 penularan tempatan membabitkan warganegara.

Beliau berkata, 4 kes import itu membabitkan warga Indonesia (3 kes di Kuala Lumpur) dan rakyat Syria (1 kes di Kuala Lumpur).

Katanya, 2 kes penularan tempatan pula membabitkan satu kes daripada kluster MV Glen di Pelabuhan Klang, Selangor dan satu kes saringan di tempat kerja, di mana individu tidak bergejala itu dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan
Afzan di Pahang.



Beliau berkata, kes baru daripada kluster MV Glen itu ialah isteri kepada kes ke-9,332 yang dilaporkan pada 30 Ogos lalu.

“Beliau dikenal pasti susulan aktiviti pengesanan kes secara aktif dan dan saringan kontak rapat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Setakat ini, Hisham berkata, 58 orang disaring dengan 3 daripadanya positif, 16 individu negatif dan 39 lagi sedang menunggu keputusan.



Katanya, Kementerian Kesihatan bersama Jabatan Laut Malaysia mengambil pelbagai langkah bagi memantau dan memperketatkan sempadan perairan negara.

“Pelbagai SOP dan garis panduan dibangunkan bagi pelaut yang memasuki Malaysia melalui pintu masuk antarabangsa.

“Ini termasuk proses pertukaran anak kapal bermula daripada ‘sign-on’ ke kapal sehingga ‘sign-off’ daripada kapal dan proses kuarantin wajib di stesen kuarantin.

“Proses ini akan terus dipantau dan ditambah baik dari semasa ke semasa bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya.”



Beliau berkata, angka korban kekal 128 kes kerana tiada kematian dilaporkan hari ini.

Katanya, 153 pesakit Covid-19 sedang dirawat di seluruh negara dengan 3 daripada 4 orang yang dirawat di unit rawatan rapi memerlukan bantuan pernafasan.

Saringan di Amanjaya



Hisham berkata, seramai 12,870 orang dari zon kenanga, zon mawar dan zon melur di Amanjaya, Kedah yang diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan secara pentadbiran, disaring setakat ini.

Daripada jumlah itu, seorang individu positif Covid-19, seramai 12,687 orang negatif dan 182 lagi sedang menunggu keputusan.

“Dianggarkan 9,490 orang belum menjalani saringan. Meskipun anggaran ini masih dalam semakan, KKM tetap mengambil kesempatan ini menyeru mereka yang belum menjalani saringan segera tampil ke pusat saringan. FMT



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker