Label pedofilia bimbangi salah guna kuasa

Label pedofilia bimbangi salah guna kuasa. MELABEL pesalah jenayah seksual terhadap kanak-kanak atau pedofilia pada dokumen peribadi memerlukan kajian menyeluruh. Sebabnya, ia boleh memberi impak sosial kepada pesalah dan masyarakat.

Pakar kriminologi bebas, Datuk Shahul Hamid Abd. Rahim berkata, apa yang dibimbangi, apabila undang-undang dipinda dan terpakai, ada pihak cuba mengambil kesempatan mengheret mana-mana individu sebagai pelaku.

“Tindakan berkenaan boleh menyebabkan penganiayaan. Apatah lagi sekiranya tiada perancangan betul dan pencegahan sewajarnya dilaksanakan bagi menghapuskan pedofilia di Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Beliau mengulas dokumen pedofilia akan dilabel dengan tanda amaran ‘bahaya’.

Sebuah portal antarabangsa baru-baru ini melaporkan, langkah itu dilakukan selepas Ahli Parlimen dari Parti Buruh, Sarah Champion menggesa Jabatan Imigresen dan Agensi Pelesenan Pemandu dan Kenderaan (DVLA) melabelkan demikian terhadap 100,000 pesalah pedofilia di United Kingdom (UK).

Ia bertujuan menghalang pesalah pedofilia menukar nama dan mengembara sewaktu memohon bekerja dengan kanak-kanak di bawah umur atau orang dewasa yang berisiko.

SHAHUL HAMID ABD. RAHIM

SAMA RATA

Shahul Hamid berkata, perhatian sama rata seharusnya diberi kepada semua jenis jenayah seperti merompak atau membunuh, bukannya hanya tertumpu pada pedofilia.

“Kalau nak buat, biar sama rata. Jenayah seperti pembunuhan, rogol, rompakan dan lain-lain yang lebih kejam juga perlu diambil kira. Tidak adil untuk satu kes jenayah sahaja yang kita nak label. Senang-senang kita nak labelkan pesalah seperti demikian. Nanti akan menimbulkan banyak perkara yang berbangkit dan tidak baik,” katanya.

Beliau kurang bersetuju dengan tindakan melabel pelaku pada dokumen peribadi kerana ia memberi impak psikologi yang kelak boleh dipertikaikan pihak tertentu seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan kemanusiaan.

“Kita tidak boleh samakan dengan UK. Hukuman ke atas pelaku juga setimpal kerana mereka begitu mengutamakan keadilan. Mereka tiada soal malu atau maruah tidak seperti di negara kita,” katanya.

Lebih penting, katanya, apa yang diharapkan pihak berkuasa perlu tegas dan membawa pelaku ke muka pengadilan dengan hukuman yang berat supaya ia menjadi pengajaran kepada yang lain.

“Semua khususnya ibu bapa perlu serius menangani dan membantu pihak berkuasa untuk menghapus kewujudan pedofilia ini daripada terus berleluasa,” katanya.

JANGAN LINDUNGI PESALAH

Shahul Hamid berkata, ibu bapa perlu ada perasaan syak wasangka terhadap mana-mana individu yang terlalu rapat atau mengambil berat kepada anak mereka, kerana ia bukan sesuatu yang normal.

Tindakan membiarkan sahaja tanpa pransangka, hanya akan membuka ruang dan peluang ‘pedo’ mencari mangsa.

“Buatlah aduan. Kalau tiada aduan menyebabkan pedofilia ini semakin berleluasa kerana mereka semakin berani,” katanya.

Perlakuan jenayah melibatkan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak dilaporkan meningkat dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Statistik mendedahkan 45 kes dilaporkan semasa PKP antara tempoh 18 Mac 2020 dan 29 April 2021.

Peningkatan sebanyak 27 kes berbanding 18 sebelum pelaksanaan PKP (18 Februari 2019 hingga 17 Mac 2020).

Trend jenayah itu bagi tempoh sebelum pelaksanaan PKP pada 18 Februari 2019 hingga 17 Mac 2020 dan semasa PKP iaitu 18 Mac 2020 hingga 29 April 2021 menunjukkan penurunan sebanyak lima peratus atau 693 kes.

Sejumlah 1,721 kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak direkodkan dalam tempoh Januari hingga 30 Jun tahun lalu.

Label pedofilia bimbangi salah guna kuasa


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Gagal Raih Mata Tertinggi, Pandelela Sebut ‘Babi’ (Video)

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker