COVID-19: KKM gesa program babit kehadiran ramai ditangguh

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa supaya semua aktiviti perhimpunan membabitkan kehadiran yang ramai ditangguhkan bagi mencegah kemungkinan jangkitan COVID-19.

Pada masa sama, individu yang mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan juga dinasihatkan tidak menghadiri program sedemikian atau tempat yang padat dengan orang ramai, termasuk aktiviti keagamaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata individu yang mempunyai gejala dinasihat agar menjarakkan diri sekurang-kurangnya satu meter ketika berhadapan dengan individu lain.

“KKM juga menasihatkan orang ramai untuk tidak melancong ke luar negara, terutama negara-negara yang sedang mengalami penularan jangkitan COVID-19.

“Rakyat Malaysia yang bergejala jangkitan saluran pernafasan juga disaran untuk tidak melawat kawasan-kawasan lain semasa cuti sekolah di Malaysia,” katanya menerusi akaun Facebook miliknya, hari ini.

Beliau turut menyarankan orang ramai mengamalkan langkah-langkah pencegahan dan menjaga kebersihan diri dengan kerap mencuci tangan menggunakan air dan sabun atau cecair pembasmi kuman pada tangan.

“Orang ramai juga disaran mengamalkan etika batuk yang baik dengan menutup mulut dan hidung dengan tisu ketika batuk atau bersin sebelum membasuh tangan dengan serta-merta,” katanya.

BH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker