Najib Lep dakwa ada cubaan bunuh karier politiknya

Tiada angin, tiada ribut. Di sebalik timbul isu ketidakpuashatian agihan kerusi pilihan raya dan konflik peletakan calon dalam kalangan parti-parti dominan seperti Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Secara tiba-tiba, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tunggal Pas daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pasir, KAPTEN (B) NAJIB LEP membuat keputusan mengejut untuk bertanding sebagai calon Bebas di kerusi disandangnya sejak empat tahun lalu.

Justeru, tindakan nekad Najib sehingga menyebabkan beliau dipecat parti itu, mengundang 1,001 persoalan sama ada Pas yang selama ini dianggap sebagai parti paling kurang berdepan masalah dalaman, kini turut bergolak sebagaimana parti-parti lain.

Namun, persoalan utama adalah mengapa Najib sanggup membuat keputusan besar berkenaan, walaupun Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Hussin dalam satu sidang media memaklumkan bekas ADUN itu telah ditawarkan kerusi pilihan raya baharu mampu menang.

Wartawan SINAR PREMIUM, KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN berjaya mendapatkan calon Bebas itu bagi menyelami kontroversi sebenar Di Sebalik Isu berkenaan.

SINAR PREMIUM (SP): Yang Berhormat (YB), apa sebenarnya yang berlaku sehingga isu YB bertindak nekad menjadi calon Bebas timbul?

Saya akan perjelaskan perkara sebenar. Namun, saya juga ingin memaklumkan kenyataan Pesuruhjaya Pas Johor dalam satu sidang media pada Ahad yang membuat pencerahan mengenai keputusan saya bertanding sebagai calon bebas, adalah tidak tepat.

Bagi saya, pencerahan yang dibuat beliau tidak berapa jelas dan lebih bersifat berat sebelah. Sepatutnya beliau kena lebih bersifat adil kepada kedua-dua pihak. Beliau harus memberi penjelasan terperinci kerusi gantian mana yang ditawarkan

Najib (tiga dari kiri) berdepan persaingan enam penjuru di DUN Bukit Pasir pada PRN Johor, 12 Mac hadapan.
Najib (tiga dari kiri) berdepan persaingan enam penjuru di DUN Bukit Pasir pada PRN Johor, 12 Mac hadapan.

 

Masa YB jadi ADUN tunggal Pas sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, apabila berlaku perubahan pentadbiran kerajaan PH kepada PN, ada cakap-cakap mengatakan YB sepatutnya dijanjikan jawatan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor. Benarkan begitu?

Kalau hendak sentuh perkara itu, panjang ceritanya. Namun saya lebih hendak menyentuh isu lebih penting. Isu sekarang ini adalah dua perkara. Dalam suasana sekarang, saya memutuskan untuk bertanding sebagai calon bebas.

Jika hendak singkap balik isu saya dijanjikan jawatan Timbalan Speaker DUN mahu pun Exco Kerajaan Negeri, perkara itu sebenarnya dijanjikan pihak sebelah sana (UMNO). Ini kerajaan yang memimpin Johor selepas peralihan kerajaan adalah kerajaan UMNO pimpinan Menteri Besar ketika itu, Datuk Hasni Mohammad. Ada juga mereka berbincang perkara itu dengan Pesuruhjaya Pas Johor. Namun, isu itu nanti dahulu.

Sekarang ini, isu pokok paling penting adalah mengapa saya terpaksa bertanding sebagai calon Bebas? Jadi saya kena beri penjelasan sebenar berkenaan keputusan ini. Hal ini kerana sekiranya penjelasan tidak dibuat, pelbagai persepsi negatif dilemparkan terhadap saya.

Kalau begitu, boleh YB jelaskan secara terperinci mengapa keputusan bertanding sebagai calon Bebas dibuat pada saat-saat akhir?

Saya sebenarnya terpaksa bertanding kerana desakan rakyat DUN Bukit Pasir. Apabila saya dimaklumkan tidak kembali tercalon di DUN itu, mereka mula mempersoalkan mengapa saya harus berpindah kerusi DUN lain. Jadi, desakan mereka ini menyebabkan saya berubah hati daripada enggan bertanding lagi kepada terpaksa menjadi calon Bebas agar tidak mengecewakan majoriti rakyat DUN Bukit Pasir.

Boleh YB jelaskan mengenai tawaran bertanding di kerusi DUN yang dianggap boleh menang oleh Pas di kawasan DUN lain, namun YB didakwa menolaknya. Kerusi DUN apa yang ditawarkan pucuk kepimpinan Pas negeri?

Kerusi DUN itu sebenarnya adalah Simpang Jeram. Jadi secara jelasnya, saya diminta untuk bertanding menentang Datuk Seri Salahuddin Ayub (Timbalan Presiden Parti Amanah Negara) yang menyandang kerusi itu.

Cuma saya hairan, mengapa Pesuruhjaya Pas Johor tidak menyebut kerusi DUN mana yang ditawarkan kepada saya sebagai ganti dalam sidang media itu. Kalau beliau mengatakan telah buat kajian terhadap kerusi bakal ditandingi saya, sepatutnya saya dimaklumkan mengenai hasil kajian itu.

Kalau betul ada kajian dibuat, sepatutnya hasil kajian itu diberikan kepada saya. Mana hasil kajian itu? Saya tidak tahu. Namun, berdasarkan kajian yang saya buat, kalau saya bertukar kerusi ke DUN Simpang Jeram, saya seumpama ‘menggantung diri’.

Kalau guna bahasa kasar, keputusan itu seolah-olah hendak membunuh karier politik saya.

Bila YB tidak dicalonkan semula di DUN Bukit Pasir, adakah jentera dan akar umbi Pas di DUN itu terkejut dengan keputusan dibuat pucuk kepimpinan parti?

Sejujurnya, majoriti cawangan dan jentera Pas kawasan Pagoh di DUN Bukit Pasir ini tidak sangka nama saya tidak tercalon semula. Kalau dikatakan saya tiada komunikasi dan tidak mendapat sokongan jentera parti untuk memenangkan semula kerusi DUN itu, dakwaan itu meleset.

Ini kerana berasaskan kajian santai yang saya buat termasuk platrom media sosial Facebook, begitu ramai penduduk DUN Bukit Pasir yang sanggup mengiringi saya pada hari penamaan calon, 26 Februari lalu.

Selain itu, laman media sosial saya juga sering mendapat tumpuan rakyat DUN Bukit Pasir untuk mengetahui pergerakan seharian saya sepanjang tempoh berkempen.

Bukan sahaja ahli-ahli Pas yang setia bersama saya membantu kempen saya sebagai calon Bebas, bahkan orang yang tiada parti, atas pagar dan badan bukan kerajaan (NGO) turut menyokong saya bertanding mempertahankan kerusi DUN Bukit Pasir.

“Saya tengok hasil kajian menunjukkan 89.4 peratus penduduk kawasan sini tidak bersetuju saya berpindah ke DUN lain.” – Najib.

Jadi, senario ini membuktikan majoriti penduduk DUN Bukit Pasir sanggup bersolidariti untuk membantu saya berkempen pilihan raya serta berharap saya mampu mempertahankan kerusi itu. Kalau saya didakwa tiada jentera pilihan raya, bagaimana pula dengan 12 khemah pusat daerah mengundi (PDM) yang berjaya saya wujudkan di seluruh DUN Bukit Pasir walaupun sekadar berstatus calon Bebas?

Kena ingat, usaha bersahaja penyokong saya menaikkan 12 PDM ini adalah atas dasar sukarela mereka untuk membantu kempen saya. Walaupun saya tiada dana pilihan raya, mereka ini sanggup bergotong-royong membina PDM, membantu usaha mengumpul dana pilihan raya bagi urusan menaikkan bendera dan kain rentang calon.

Lebih menarik, mereka sanggup bekerjasama membeli kain untuk mencetak sendiri baju pilihan raya sewaktu saya berkempen di seluruh pelusuk kawasan itu. Jadi, saya amat terharu dengan keikhlasan mereka membantu saya berkempen.

Boleh YB ceritakan jasa-jasa atau inisiatif penting yang sedang dilaksanakan terhadap penduduk DUN Bukit Pasir sehinggakan sebahagian mereka mendesak YB untuk kembali bertanding selaku calon Bebas?

Saya sejak dulu meletakkan diri saya setaraf dengan rakyat walaupun kemudiannya saya ditakdirkan menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan menjadi wakil rakyat. Saya sentiasa anggap diri saya sama ‘level’ dengan mereka, cuma hanya dipilih memegang amanah untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan mereka.

Bila dipilih oleh rakyat, jadi saya kena kembali berkhidmat kepada rakyat. Saya sentiasa memastikan apa jua permasalahan rakyat atau isu kebajikan rakyat perlu diteliti dan diselesaikan secepat yang mungkin.

Selain itu, saya juga sentiasa menekankan kepentingan penduduk di situ dalam memperkasakan ekonomi desa, melestarikan kampung, memastikan mereka memiliki tempat berteduh yang lebih selesa di samping memantau setiap projek pembangunan infrastruktur kampung yang dirancang.

Pada masa sama, saya menjalinkan hubungan begitu baik dengan agensi-agensi kerajaan. Jadi, barulah peranan agensi kerajaan dan penduduk DUN dapat digemblengkan secara bersama untuk bina masyarakat setempat yang lebih maju.

Jadi, saya sentiasa bersama rakyat tidak kira waktu siang atau malam. Ibarat saya sudah membina keluarga besar sejak PRU14, namun hari ini saya seolah-olah diusir daripada keluarga berkenaan. Maka, ahli keluarga yang menyayangi saya pastinya akan marah.

Najib (tiga kiri) bersama sebahagian penduduk DUN Bukit Pasir yang membantu menyiapkan baju kempen pilihan raya beliau selaku calon Bebas secara sukarela.
Najib (tiga kiri) bersama sebahagian penduduk DUN Bukit Pasir yang membantu menyiapkan baju kempen pilihan raya beliau selaku calon Bebas secara sukarela.

 

Atas sebab apa parti hendak buang saya? Bahkan memang ada sebilangan pemimpin Pas negeri mengakui tidak sepatutnya saya tidak dicalonkan kembali di DUN Bukit Pasir. Lagipun bila saya sudah dipindah ke DUN lain, saya perlu membersihkan kawasan itu yang semak-samun dan berhutan sebagaimana usaha dilakukan saya sewaktu pertama kali bertanding di DUN Bukit Pasir.

Awak bayangkan saya masuk (bertanding) DUN Bukit Pasir, asalnya ‘hutan’. Kemudiannya, saya bersihkan kawasan itu sehingga wujud taman perumahan dan sebagainya. Setelah penat saya membangunkan struktur penduduk di situ yang sudi bersama-sama untuk memajukannya, tiba-tiba saya diminta untuk membersihkan ‘hutan’ lain pada PRN Johor.

Jadi, orang lain (calon lain) yang masuk (bertanding) di tempat saya itu, seolah-olah ‘cuci kaki’ kerana segalanya sudah siap. Saya pula kena cari paku, bersihkan tanah dan terpaksa membina bangunan baharu yang sebenarnya bukan memakan sedikit masa, mungkin terpaksa ‘dibina semula’ sehingga lima tahun.

Pada masa sama, harus diingat bahawa saya sangat bergelut untuk berkhidmat kepada rakyat sewaktu tempoh dua tahun menjadi ADUN pembangkang di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH). Justeru, dalam tempoh empat tahun, saya berada dalam posisi yang begitu mencabar untuk memberi khidmat terbaik kepada rakyat DUN Bukit Pasir.

Bila kita bersungguh-sungguh berkhidmat, pucuk kepimpinan parti pula tiba-tiba berkata saya kena berpindah kerusi DUN. Mereka minta saya patuh arahan parti, namun tidak memberikan justifikasi sebenar di sebalik arahan itu.

Lainlah kalau parti benar-benar memberi hasil kajian, justifikasi yang tepat serta jentera-jentera khas yang diperuntukkan kepada saya untuk membersihkan ‘ladang baharu’, mungkin saya akan bertukar fikiran.

Adakah YB terkilan dengan keputusan pucuk kepimpinan Pas Johor?

Saya enggan ulas kerana saya tidak tahu apa sebenarnya difikirkan mereka yang membolehkan satu keputusan dibuat bagi menukarkan saya. Yang saya nampak, untuk justifikasi diri saya, pucuk kepimpinan seharusnya memberi ruang sekali lagi kepada saya untuk menghabiskan saki-baki usaha memaju dan membangunkan DUN Bukit Pasir.

Perkara itu belum habis lagi pun. Sesudah selesai segala usaha saya di DUN itu, kalau parti memutuskan untuk saya berpindah di tempat lain pun tiada masalah. Namun sebelum itu, parti juga kena mula membina asas jentera dan melaksanakan dapatan kajian peluang kemenangan calon baharu di kawasan DUN baharu supaya calon yang bertanding akan lebih bersedia dan bersemangat.

Takkan hendak tukar sebegitu sahaja tanpa dibekalkan sebarang kajian sikap pengundi di kawasan DUN baharu?

Maksud YB, bentuk kajian bagaimana yang seharusnya dilaksanakan parti bagi menyakinkan calon-calon untuk bertanding kerusi pilihan raya yang ditetapkan?

Berdasarkan pengalaman saya sebagai veteran tentera, sebelum kami hendak pergi berperang, kami perlu membuat penilaian risiko di kawasan medan peperangan dituju. Kami kena tahu apa kelebihan, kebaikan berperang di sesebuah lokasi dan keburukannya. Kajian demi kajian perlu dilakukan secara berterusan bagi mengenal pasti faktor kita boleh menang di sesebuah medan perang.

Hasil kajian yang terbaik, kita perlu ambil dan jadikan rujukan. Begitu juga bertanding PRN, matlamat bertanding tentunya untuk kita menang. Jadi kalau kita hanya sekadar mahu bertanding pilihan raya, tetapi peratusan untuk menang kerusi ditandingi agak tipis,adakah kita sanggup hendak melakukannya?

Itulah dilema dihadapi saya. Saya sendiri turut membuat kajian dan penilaian risiko di kerusi DUN baharu diberikan. Kalau hasilnya menunjukkan saya sukar untuk menang di kerusi baharu itu, buat apa saya hendak pergi?

Parti kata buat kajian dan dapati kerusi itu boleh menang. Jadi mengapa hasil kajian itu tidak diberi kepada saya?

Adakah YB memang nekad untuk bertanding calon Bebas selepas dimaklumkan perlu bertukar kerusi ke DUN Simpang Jeram?

Tidak juga. Jika diikutkan saya sudah tidak mahu bertanding pilihan raya selepas dimaklumkan kena bertanding di kerusi baharu. Saya fikir lebih baik saya menghabiskan masa bersama keluarga di rumah.

Namun, saya berubah fikiran sebab rakyat yang suruh saya bertanding. Bahkan pengundi bukan Melayu di DUN Bukit Pasir sendiri pun minta saya untuk kembali bertanding. Jadi, takkan saya hendak kecewakan mereka?

Bila YB dapat tahu bahawa YB tidak lagi mempertahankan kerusi DUN Bukit Pasir, sebaliknya perlu bertanding di DUN Simpang Jeram?

Sebenarnya keputusan untuk bertanding di kerusi baharu, saya dapat tahu mengenainya pada 23 Februari lalu iaitu sehari sebelum hari Perikatan Nasional (PN) mengumumkan nama keseluruhan 56 calon koalisi itu yang bertanding.

Pada pagi Rabu itu, saya menghubungi pucuk kepimpinan Pas untuk bertanyakan kerusi mana yang bakal saya tandingi pada PRN Johor kali ini. Apabila mereka menyatakan saya perlu bertanding DUN Simpang Jeram, saya terus menolak cadangan itu.

Pucuk kepimpinan Pas kemudiannya menghubungi saya semula dan cuba memujuk saya menerima keputusan itu. Namun, saya hanya menjawab akan memikirkannya.

NAJIB
NAJIB

 

Pada saat bila YB benar-benar nekad membuat keputusan untuk bertanding sebagai calon Bebas?

Sebenarnya sebelum ini, sudah ada spekulasi mengatakan saya mungkin tidak tercalon pada PRN Johor. Bila terdengar ura-ura itu, saya pun reda dan sudah bersedia ke arah itu. Tetapi banyak ahli cawangan Pas dan majoriti rakyat DUN Bukit Pasir mempersoalkan punca saya tidak tercalon. Saya hanya jawab tidak tahu kerana keputusan dibuat di peringkat atasan.

Justeru, mereka sendiri mencadangkan saya bertanding sebagai calon Bebas. Saya pada mulanya berat hati untuk menyahut cadangan itu. Kalau sekadar dapat jadi calon, tetapi kalah buat apa?

Namun, saya kemudiannya membuat kajian sikap pengundi di DUN Bukit Pasir melalui NGO, Google Analytics dan banyak platform lain. Saya tengok hasil kajian menunjukkan 89.4 peratus penduduk kawasan sini tidak bersetuju saya berpindah ke DUN lain.

Saya membuat kajian susulan dari sudut pencapaian pembangunan masyarakat setempat sepanjang saya menjadi ADUN sejak empat tahun lalu. Hasilnya, responden-responden terlibat mengakui saya berjaya mencapai markah 80 peratus dari aspek pencapaian berkenan.

Jadi, secara tidak langsung, berdasarkan kajian sikap rakyat dibuat, majoriti rakyat DUN Bukit Pasir memberi indeks petunjuk prestasi (KPI) lebih 80 peratus kepada saya sepanjang menjadi wakil rakyat mereka.

Selepas hasil kajian ini diperoleh, barulah keyakinan saya untuk bertanding sebagai calon bebas semakin bertambah.

Adakah YB sedar status keahlian parti dalam Pas akan terlucut serta-merta sekiranya YB melanggar arahan parti dengan bertanding sebagai calon Bebas?

Ya, saya sedar. Tetapi saya sudah bersedia kerana saya perlu lebih mengutamakan suara rakyat DUN saya. Saya juga tidak terasa hati dengan keputusan pucuk kepimpinan parti memecat saya.

Di peringkat akar umbi termasuk jentera dan calon Pas yang bertanding di DUN Bukit Pasir, saya tidak akan bermusuh dengan mereka kerana perkara itu dibenci Islam. Kalau bersua sewaktu kempen sekali pun, saya akan beramah mesra dengan mereka seperti biasa. Saya dan mereka masih saudara seagama.

Adakah keluarga menyokong sepenuhnya keputusan YB keluar Pas dan bertanding sebagai calon Bebas?

Semestinya. Saya membincangkan perkara ini dengan anak-anak dan isteri saya sepanjang masa. Majoriti ahli keluarga sangat menyokong keputusan dibuat. Bagi mereka, wadah perjuangan masih sama untuk saya memartabatkan syiar Islam dan membela masyarakat bukan Islam, walaupun kini bergelar calon Bebas.

Pada masa sama, saya turut mengadakan solat istikharah meminta petunjuk daripada ALLAH SWT. Menariknya, bila saya maklumkan kepada majoriti rakyat DUN Bukit Pasir untuk tanding calon Bebas, mereka sendiri terus mula membantu saya dalam kerja-kerja penyediaan kempen pilihan raya tanpa disuruh.

Malahan, keputusan guna lambang pilihan raya apa pun diuruskan mereka. Syukur ALLAH SWT permudahkan urusan saya.

Najib (kanan) menyerahkan baju kempen pilihan raya beliau selaku calon Bebas DUN Bukit Pasir kepada sebilangan pengundi kawasan itu.
Najib (kanan) menyerahkan baju kempen pilihan raya beliau selaku calon Bebas DUN Bukit Pasir kepada sebilangan pengundi kawasan itu.

 

Adakah keputusan pertukaran kerusi DUN dibuat pucuk kepimpinan Pas itu boleh dianggap satu bentuk hukuman kepada YB?

Mereka tidak boleh menganggap saya tidak ‘perform’ sewaktu menjadi ADUN Bukit Pasir. Tiada alasan kukuh mengatakan saya tidak ‘perform’. Cuma mereka memberi alasan saya tidak menghadiri mesyuarat-mesyuarat tertentu dalam parti.

Malahan, mereka memberi gambaran kononnya saya merupakan salah satu calon ‘ikon’ dalam Pas, di mana kalau dihantar bertanding pada mana-mana kerusi pilihan raya, maka saya mampu menang.

Saya pula berfikir, saya bukan seperti Tun Dr Mahathir Mohamad atau calon-calon ‘heavyweight’ yang lain. Jauh panggang daripada api.

Bermulanya karier politik YB dengan menjadi ADUN tunggal Pas, namun kini YB mengambil risiko besar untuk menjadi calon Bebas bagi mempertahankan kerusi DUN Bukit Pasir. Sejauh mana YB melihat peluang untuk menang?

Sehingga kini, respons-respons yang diberikan majoriti rakyat DUN Bukit Pasir kepada saya amat positif. Lagipun, manifesto pilihan raya saya adalah realistik dan tidak menjanjikan bulan dan bintang macam pihak lain.

Manifesto saya yang paling penting adalah menjaga kebajikan rakyat dan masyarakat, terutama dari aspek ekonomi dan pelajaran.

Malah, saya perlu terus kekal menjadi ADUN kerana masih banyak isu pembangunan dan ekonomi penduduk DUN Bukit Pasir yang perlu disuarakan dalam sidang DUN.

Antaranya inisiatif pembangunan bandar Universiti Pagoh yang dilihat suram dan tidak menepati objektif asal. Selain itu, sebagai satu-satunya calon pilihan raya yang berasal daripada veteran tentera, saya perlu membawa suara mereka di negeri Johor.

Selama ini, siapa yang hendak bawa suara mereka ke peringkat yang lebih tinggi? Banyak isu veteran tentera yang perlu dibawa ke dalam pengetahuan kerajaan. Jadi, melalui usaha membunuh karier politik saya, seolah-olah mereka juga cuba melenyapkan suara veteran tentera.

Jumlah pengundi yang berasal daripada keluarga veteran tentera juga sangat ramai. Banyak antara bekas anggota tentera yang merupakan wira tidak didendang, justeru adalah menjadi tanggungjawab saya untuk membela nasib mereka.

Saya yakin dengan sokongan lebih 80 peratus rakyat DUN Bukit Pasir yang masih mahukan saya kekal di situ, ditambah sokongan generasi pengundi bekas tentera, saya mampu mempertahankan kerusi DUN itu pada PRN ini.

Sinar Harian

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Empat Sekeluarga Maut, Nahas 2 Kenderaan Kemalangan Di Lebuhraya Sultan Iskandar [VIDEO]

Fitnah keji, Zahid telah hantar surat saman pada Mahathir dan Muhyiddin

Zul Yahya bodohkan KJ (Video)

PRN Johor: Pengundi Cina Mula Tinggalkan DAP

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker