Durian Paduka kebanggaan Perak

Durian Paduka kebanggaan Perak

PASIR SALAK: Pernah dinobatkan durian terbaik dalam pertandingan durian peringkat negeri pada 1985, durian Paduka yang berasal dari sini wajar menjadi kebanggaan negeri ini.

Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (iGROW), Nordin Abdul Malek berkata, kegemilangan durian paduka wajar dikembalikan semula, kerana ia merupakan antara jenama durian terbaik di Perak malah di negara ini.



Menurutnya, jika negeri lain seperti Pahang terkenal dengan pengeluaran Musang King, Pulau Pinang pula dengan durian Udang Merah, jadi durian Paduka sepatutnya dijadikan antara jenama atau identiti Perak.

“Durian Paduka sewajarnya menjadi durian kebanggaan negeri ini. Saiz buahnya tidak besar tapi setiap pangsa sentiasa penuh dengan warna yang kuning keemasan.

“Rasanya lemak, manis, ada gas serta biji kecil dan rasanya sedap,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.

Nordin berharap suasana meriah di Kampung Gajah dikembalikan seperti sebelum ini.



Katanya, kini pasaran durian dikuasai oleh buah daripada luar sedangkan Kampung Gajah dan Pasir Salak juga mempunyai durian kebanggaan sendiri.

“Suatu ketika dahulu, kawasan Kampung Gajah dan Pasir Salak meriah dengan kehadiran orang luar yang datang ke sini membeli durian kampung, ibarat pesta setiap kali musim durian.

“Suasana itu boleh dikembalikan kerana di sini masih banyak pokok durian kampung dan sudah tentunya durian paduka menjadi identiti kawasan ini,” katanya.

Durian Paduka mendapat namanya sempena tempat ia ditanam di Kampung Tok Paduka Raja di sini dan nama itu diberikan oleh bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib pada pertandingan durian peringkat negeri di Kampung Gajah pada 1985.



Nordin berkata, ketika ini dusun di iGROW mempunyai kira-kira 120 batang pokok pelbagai variasi durian kampung dan daripada jumlah itu dianggarkan hanya terdapat 10 batang pokok durian Paduka.

Katanya, durian Paduka dilabel sebagai D148 oleh Jabatan Pertanian yang mampu mengeluarkan antara 200 hingga 300 biji buah setiap pokok.

“Kami tidak menjual durian paduka yang ada di dusun iGROW di sini tetapi hanya dihidangkan kepada keluarga, rakan dan kenalan atau pelanggan iGROW.

“Benih D148 atau benih durian Paduka dijual pada harga serendah RM50 setiap satu,” katanya.



Menurutnya, pengunjung luar negara turut datang ke iGROW untuk menikmati durian Paduka.

“Saya menyarankan supaya kerajaan negeri dapat memperkasa usaha mengkomersialkan durian di Perak, dengan menggalakkan pengeluaran produk berasaskan raja buah itu yang mempunyai peminat tersendiri,” katanya. Utusan

Durian Paduka kebanggaan Perak


Baca Artikel Menarik :



Layari Laman Facebook MYKMU


Polis lepas 2 tembakan ke arah kereta dipandu pemandu ‘lalok’



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker