Jumpa wanita 2 pagi bincang perkara sulit

Jumpa wanita 2 pagi bincang perkara sulit

Lim Guan Eng datang rumah ahli perniagaan wanita bincang perkara sulit

Seorang ahli perniagaan wanita memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pernah hadir ke rumahnya pada pukul 2 pagi di Petaling Jaya, Selangor untuk membuat satu perbincangan sulit pada Ogos 2017.



Saksi pertama pendakwaan yang juga seorang pelakon itu, Datuk K. Geethanjali Gausilla,35, berkata ketika itu, dia telah dikejutkan oleh suaminya, Datuk G. Gnanaraja pada pukul 2 pagi yang memaklumkan seorang tetamu iaitu Guan Eng tiba di rumahnya.

“Suami meminta saya bersiap memandangkan ada tetamu datang ke rumah iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang (Lim Guan Eng). Setelah selesai bersiap saya dan ibu saya kemudian terus turun ke tingkat bawah untuk berjumpa dengan YB Lim Guan Eng.

“Saya juga turut diperkenalkan YB Lim Guan Eng dari suami saya dan seorang lagi individu iaitu Datuk Zarul dan saya sahkan saya mengenali Datuk Zarul sebelum ini kerana beliau pernah datang ke rumah untuk berurusan dengan suami saya,” katanya ketika membaca pernyataan saksi di sini hari ini.

Mengulas lanjut wanita itu memaklumkan Datuk Zarul ada mengambil beberapa keping gambarnya bersama suami serta ibunya bersama Guan Eng menerusi telefon bimbit di beberapa sudut rumah itu tersebut yang diambil secara spontan.



“Selepas gambar-gambar tersebut diambil, lebih kurang dalam 30 minit selepas itu suami kemudian meminta saya dan ibu saya beredar kerana suami memaklumkan perlu berbincang perkara sulit dengan Guan Eng dan Datuk Zarul,” ujarnya lagi.

Ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin, adakah semua gambar-gambar yang dikatakan diambil oleh Datuk Zarul, saksi itu mengesahkan semua gambar itu diambil oleh individu terbabit.

Sementara itu, semasa disoal balas oleh peguam Gobind Singh Deo adakah sebelum ini, mana-mana ahli politik pernah datang ke rumah saksi itu, wanita itu menjawab tidak kerana apa-apa urusan adalah di pejabatnya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung lagi esok.



Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng, 61, didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang telah menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan bagi dirinya sendiri wang berjumlah RM3.3 juta dengan mengambil tindakan bagi membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli yang dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6.3 bilion.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR, Georgetown, Pulau Pinang mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa semasa menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang telah meminta suapan iaitu balasan berjumlah 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh kelak daripada Zarul sebagai upah bagi melakukan perkara yang dicadangkan iaitu membantu syarikat milik ahli perniagaan tersebut dilantik untuk projek sama.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011, antara pukul 12.30 pagi hingga 2 pagi, mengikut Seksyen 16 Akta SPRM yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.



Ahli Parlimen Bagan itu juga didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri tersebut mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan dan lima tahun serta sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Guan Eng dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, KOMTAR di sini, pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Dalam perbicaraan itu 125 saksi pendakwaan termasuk beberapa Exco dari negeri Pulau Pinang dijangka akan dipanggil memberi keterangan. K Online

Jumpa wanita 2 pagi bincang perkara sulit




Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Perbicaraan Lim Guan Eng bermula tegang



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker