Kerana dadah tikam 2 anak saudara

Kerana dadah tikam 2 anak saudara

Tergamak tikam 2 anak saudara angkara dadah

Sungai Petani: Berang permintaannya mahukan wang dipercayai untuk membeli dadah tidak dituruti, seorang lelaki bertindak menikam perut dan lengan dua anak saudaranya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Anuar Abdul Rahman @Abdul Rahim berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berlaku pergaduhan di sebuah rumah di Taman Melati, di sini.

Menurutnya, dalam kejadian 1 tengah hari semalam, suspek berusia 61 tahun itu pergi ke rumah kakaknya berusia 63 tahun.

“Suspek meminta wang untuk membeli dadah dan berlaku pertengkaran mulut antara mereka apabila wanita itu enggan memberi wang itu.

“Anak lelaki dan perempuan mangsa yang masing-masing berusia 38 dan 23 tahun cuba meleraikan pergaduhan itu namun suspek bertindak mengeluarkan pisau dari bahagian belakang badan yang dipercayai dibawa dari rumahnya serta menikam mereka berdua,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Anuar berkata, suspek bertindak menikam anak lelaki mangsa di bahagian perut manakala anak perempuan mangsa turut ditikam di bahagian tangan kiri.

“Apabila melihat darah daripada kecederaan dialami kedua-dua anak saudaranya itu, suspek bertindak melarikan diri. Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk mendapatkan rawatan.

“Selepas tiga jam laporan polis diterima, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda melakukan serbuan di sebuah rumah di Felda Sungai Tiang pada jam 4.50 petang semalam.

“Suspek berjaya ditahan dan pisau yang disyaki digunakan untuk menikam mangsa berjaya dirampas,” katanya.

Anuar berkata, hasil semakan rekod mendapati, suspek mempunyai lima rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan jenayah.

“Siasatan lanjut juga mendapati suspek melanggar prosedur operasi standard (SOP) kerana merentas daerah tanpa kebenaran polis.

“Hasil ujian saringan awal air kencing terhadap suspek juga mendapati, dia positif dadah jenis morfin dan direman selama empat hari sehingga 15 Julai ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera,” katanya.

Anuar berkata, suspek juga disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Peraturan 5(1) Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) Langkah-Langkah Kawasan Tempatan Jangkitan (LLKTJ) Fasa Pemulihan Negara 2021 kerana merentas daerah tanpa kebenaran polis yang boleh didenda RM5,000 atau penjara. HM

Kerana dadah tikam 2 anak saudara


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Kita mahu PM yang menyakinkan, bukan beli katak

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker