Arwah Benjy pesan dikebumikan di Medan



Arwah Benjy pesan dikebumikan di Medan

Hanya kiriman doa mampu dititipkan keluarga buat pelakon, Allahyarham Benjy, 43, yang menghembuskan nafas terakhir akibat serangan asma di Hospital Royal Prima, Medan, Indonesia, jam 11 pagi tadi.

Berita pemergian arwah Benjy atau nama sebenarnya, Khaeryll Benjamin Ibrahim yang sedang menjalani hukuman selama 11 tahun, tiga bulan di Penjara Tanjung Gusta, Medan atas kesalahan memiliki dadah diterima keluarga dengan hati yang reda.

Biarpun lebih empat tahun tidak bertentang mata selepas arwah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Namu, Deli Serdang Sumatera Utara pada 2017, namun, takdir juga menentukan keluarga tidak dapat menatap wajah terakhir arwah buat selama-lamanya.

Anak sulung primadona filem Melayu, Allahyarham Azean Irdawaty itu dipercayai sudah lama menghidap penyakit asma yang kronik. Perkara itu disahkan adik bongsu arwah, Inessa Irdayanty.




Inessa berkata, keluarga menerima panggilan pihak penjara memaklumkan arwah sukar bernafas dan terpaksa dibawa ke hospital, namun tidak berjaya diselamatkan.

Bagaimanapun, katanya, keluarga sepakat mengizinkan arwah dikebumikan di Medan sebagai memenuhi permintaan arwah yang pernah beberapa kali menyebut supaya jenazahnya tidak dibawa pulang sekiranya ditakdirkan menghembuskan nafas terakhir di penjara. Jenazah arwah dijangka akan dikebumikan, esok.

“Saya dan keluarga tahu arwah sakit. Sejujurnya, arwah sudah lama menghidap penyakit asma kronik sebelum ditahan di Medan. Sebelum ini, arwah sering membuat rawatan susulan di Hospital Sungai Buloh.

“Sebelum COVID-19, arwah sudah berpesan sekiranya berlaku sesuatu kepadanya tidak perlu membawa balik jenazahnya. Pintanya, sedekahkan surah al-Fatihah.

“Jadi, ini menyebabkan kami sekeluarga menyerahkan urusan pengebumian di Medan,” katanya kepada BH Online.




Mengulas kali terakhir berhubung dengan arwah abangnya, Inessa berkata, arwah ada menghubunginya, minggu lalu untuk mengucap selamat ulang tahunnya ke-31.

Inessa berkata, kakaknya, Elza Irdalynna paling kerap menghubungi arwah disebabkan mengirimkan wang kepadanya untuk membeli ubat dan makanan, setiap bulan.

“Setiap bulan Elza akan mengirimkan wang untuk arwah. Kami sangat berbesar hati Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) dan teman arwah banyak membantu dengan menghulurkan sumbangan untuk dikirimkan kepada arwah.

“Kebiasaannya, arwah akan menghantar resit selepas membeli barangan keperluan sebagai bukti. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan yang banyak membantu arwah selama ini,” katanya.

Jauh di sudut hati, Inessa berkata, dia dan keluarga sedih tidak berkesempatan menjenguk arwah sepanjang empat tahun menjalani hukuman penjara.




Namun, katanya, apa yang membuatkannya lebih terkilan arwah sepatutnya dibebaskan, tahun ini kerana berkelakuan baik di penjara.

Bagaimanapun, katanya, hasrat tidak kesampaian apabila arwah terlebih dahulu dijemput Ilahi.

“Jika tidak silap, kes arwah akan dibicarakan semula bagi menentukan sama ada dibebaskan atau sebaliknya, tahun ini. Arwah kemungkinan dibebaskan kerana berkelakuan baik, tetapi nampaknya arwah ditakdirkan berada di bumi Medan buat selama-lamanya.

“Itu sahaja yang membuatkan kami sekeluarga terkilan. Bapa menerima pemergian arwah dengan reda. Bagaimanapun, saya terpaksa memegang telefon bimbitnya kerana tidak mahu bapa diganggu memandangkan mempunyai masalah jantung. Saya juga tidak mahu bapa mengalami serangan panik,” katanya.

Terdahulu, berita pemergian aktor yang pernah diangkat Pelakon Lelaki Terbaik, Anugerah Skrin TV3 pada 2002 itu tular di kalangan rakan artis dan ia dipercayai daripada maklumat bapanya, Khairil Anwar Zainal Muktar Rashidi.




Sementara itu, Setiausaha Agung SENIMAN, Hafiz Nafiah berkata, pihaknya sedang berhubung dengan Konsulat Jeneral Malaysia di Medan dan Penjara Tanjung Gusta untuk pengurusan jenazah arwah.

“Setakat ini, maklumat yang diterima, jenazah sudah menjalani pelbagai prosedur di hospital, namun disahkan bebas jangkitan COVID-19. Jenazah sudah dibawa ke Rumah Sakit Bhyangkara Brimob untuk urusan mandi, kapan dan pengebumian.

“Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Tanjung Gusta sebelum Zohor waktu tempatan, esok,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan, petang ini.

Hafiz berkata, Seniman sudah menghubungi keluarga, mereka bersetuju arwah dikebumikan di Medan disebabkan wasiat dan pesanan arwah jika meninggal dunia.

“Urusan jenazah dan pengebumian arwah diuruskan Konsulat Jeneral Malaysia dan Penjara Tanjung Gusta. Bagaimanapun, kos perlu ditanggung oleh waris.

“Seniman akan cuba membantu untuk memudahkan urusan pengebumian arwah di Medan,” katanya. BH

Arwah Benjy pesan dikebumikan di Medan


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Ekonomi semakin tenat, menteri kanan makin bertambah



Leave a Reply

Your email address will not be published.