7 kegagalan PN yang tidak dapat dinafikan

7 kegagalan PN yang tidak dapat dinafikan

Walaupun keputusan UMNO dikecam, tapi tiada siapa menafikan 7 kegagalan PN – Khaled Nordin

Keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO baru-baru ini menunjukkan dengan lebih tegas bahawa UMNO sebagai sebuah parti sangat serius dengan tuntutannya berkaitan kebajikan rakyat.



UMNO mahu isu rakyat dan kemaslahatan negara menjadi perkara pokok yang tiada kompromi, bukannya sesuatu yang dipandang enteng dengan strategi yang bersifat separa masak dan berulang-ulang sekalipun terbukti gagal.

Malah, sebarang tawaran jawatan kepada sesetengah pemimpinnya tidak akan mengubah pendirian UMNO yang mahukan perkara terbaik untuk masyarakat dan negara.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keputusan itu diharapkan dapat mewujudkan keyakinan atau harapan baharu di pihak rakyat.

Menurutnya, pemimpin yang baharu sudah tentunya akan membawa bersamanya satu harapan dan jangkaan yang segar, maka, strategi, pendekatan berbeza dan pelan yang lebih radikal adalah sangat diharapkan.



”Yang pasti, biar apa pun pandangan dan persepsi yang timbul dari penarikan sokongan ini, penukaran pemimpin dalam tempoh krisis bukanlah sesuatu yang pelik dan tidak bertanggungjawab,” tegas beliau.

Tambah beliau lagi, dengan penarikan balik sokongan UMNO kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan melihat dengan jelas dan terbuka bahawa strategi dan gerak kerja mereka sebelum ini telah gagal sama sekali.

Jadi, adalah sangat dangkal untuk terus bertahan dengan pelan atau pendekatan yang sama. Ini mesej besar yang mesti dihadam dengan berlapang dada.

Katanya, penarikan sokongan ini dapat menghentikan sebarang desas desus, teka-teki atau apa-apa khabar angin berkaitan sokongan/majoriti yang dipunyai Perdana Menteri.



Penarikan sokongan ini akan membuka ruang yang telus untuk dilakukan penilaian semula kepercayaan dan keyakinan Dewan Rakyat kepada perdana menteri.

Bekas Menteri Besar Johor itu mengakui keputusan UMNO menarik sokongan ke atas perdana menteri tempoh hari menerima reaksi yang pelbagai dan bercampur aduk – ada yang bersetuju dan tidak kurang yang mengecam.

Namun, tidak ada pihak yang menafikan tujuh kegagalan kerajaan PN dan perdana menteri yang disenaraikan UMNO sebagai asas untuk menarik diri tersebut adalah hakikat yang jelas.

Kegagalan-kegagalan tersebut bukan sahaja fakta yang kritikal, malah sesuatu yang sebenarnya dapat dielakkan sekiranya perdana menteri dan PN bertindak pantas serta bersedia mempertimbangkan beberapa saranan UMNO.



”Memandangkan kita sudah berada dalam keadaan yang sangat membimbangkan ini, persoalan yang lebih besar adalah, adakah desakan untuk menukar pemimpin negara dalam tempoh krisis sedang meruncing adalah sesuatu yang munasabah atau bersifat pentingkan diri?,” soal beliau.

Beliau mempertahankan bahawa kegagalan untuk meredakan krisis dan mewujudkan keyakinan dalam kalangan masyarakat adalah bukti kelemahan seseorang pemimpin.

Jadi, tidak pelik jika terdapat banyak situasi di seluruh dunia yang menunjukkan bahawa menukar pemimpin ketika krisis bukan sahaja wajar, malah perlu terutamanya setelah seseorang pemimpin itu sudah lemas dan gagal untuk terus mengemudi keadaan dengan lancar dan meyakinkan.

Sambil memberi contoh, beliau berkata, Perdana Menteri Itali, Giuseppe Conte terpaksa meletak jawatan pada Januari lalu setelah parti Italia Viva yang diketuai oleh Matteo Renzi keluar dari pakatan kerajaannya akibat kegagalan beliau menguruskan pandemik Covid-19.



Pada Ogos tahun lalu pula, Menteri Kesihatan Poland dan Menteri Luar negara tersebut meletak jawatan setelah dikecam teruk atas kegagalan menguruskan pandemik ini dan keadaan sama di Slovakia pada Mac 2021 apabila Presiden Zuzana Caputova melepaskan jawatan selepas negara tersebut merekodkan kadar kematian akibat Covid-19 antara tertinggi di dunia.

”Kesemua ini adalah antara contoh pertukaran pemimpin, sama ada secara sukarela mahupun dipecat atau akibat hilang sokongan, semasa tempoh pandemik. Ada yang berhujah bahawa, adalah penting untuk kita semua memfokuskan kepada ikhtiar memerangi Covid-19 dan mengetepikan sebarang tindakan berunsur politik.

”Pandangan sedemikian ada benarnya, namun tidak tepat. Ini kerana, optimisme tersebut berlandaskan andaian bahawa mereka yang diberi tanggungjawab untuk menguruskan pandemik adalah kumpulan yang paling berkelayakan dan mampu membawa pemulihan yang diharap-harapkan.

”Malangnya, dalam konteks penarikan sokongan UMNO kepada Perdana Menteri ini, sebaliknya yang berlaku,” ujar beliau.



Perdana Menteri, kata Khaled, jelas gagal menguruskan pandemik Covid-19 dengan baik – bukan sahaja keadaan ekonomi tidak pulih, sebaliknya darurat kesihatan negara terus meruncing dengan kritikal dan menakutkan.

Petugas barisan hadapan sudah sangat kelesuan apabila sistem kesihatan negara mencecah kapasiti maksimum dan berisiko lumpuh.

Rakyat pula terhimpit dan tertekan.

Paling penting, semua itu berlaku dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang berpanjangan dan Darurat yang menyaksikan penggantungan institusi demokrasi seperti Parlimen.

”Semoga selepas ini, sesiapa sahaja yang diangkat atau menawarkan diri untuk mengemudi negara akan memberikan komitmen dengan keseriusan yang jauh lebih meyakinkan.

”Menguruskan pandemik kesihatan dan kegawatan ekonomi yang mempunyai kesan domino di peringkat global bukan satu amanah kecil. Hanya mereka yang berjiwa besar harus digalaskan dengan tanggungjawab ini,” jelasnya. MG

7 kegagalan PN yang tidak dapat dinafikan


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Ekonomi semakin tenat, menteri kanan makin bertambah

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker