Bekas anggota Rabbani meninggal dunia

Bekas anggota Rabbani meninggal dunia

Bekas anggota kumpulan Rabbani, Azizan Halid, 46, menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), jam 10 pagi semalam.

Berita pemergiannya itu disahkan Ketua Kumpulan Rabbani, Azadan Abdul Aziz ketika dihubungi BH Online.

Azadan berkata, setakat ini, punca kematian arwah Azizan masih belum diketahui kerana perlu melalui prosedur bedah siasat.

“Arwah Azizan rebah selepas mengadu sesak nafas ketika bersarapan pagi di rumahnya di Pantai Dalam, kira-kira jam 8.30 pagi semalam.

“Setahu saya, arwah tidak menghidap sebarang penyakit kronik, tetapi diserang demam sejak seminggu lalu. Arwah ke klinik untuk mendapatkan rawatan, namun selepas dimasukkan air, doktor memintanya pulang.

“Bimbang demam tidak kebah, arwah kemudiannya pergi semula ke klinik pada keesokannya untuk menjalankan ujian calitan COVID-19 dan dipakaikan gelang merah jambu,” katanya.

Azadan berkata, keputusan ujian COVID-19 sepatutnya keluar hari ini atau esok. Namun, arwah mengalami sesak nafas dan terus rebah selepas bersarapan, semalam.

“Setakat hari ini, punca kematian arwah masih belum diketahui dan majlis pengebumian hanya akan dilakukan selepas keputusan bedah siasat keluar.

“Sekiranya arwah didapati positif, hospital akan menguruskan pengebumian, tetapi sekiranya negatif, barulah keluarga diberi kebenaran untuk menguruskan jenazah,” kata Azadan.

Allahyarham Azizan Halid (kanan sekali) bersama Rabbani ketika kumpulan nasyid popular itu meledak menerusi lagu Intifada. – Foto Azadan Abdul Aziz
Allahyarham Azizan Halid (kanan sekali) bersama Rabbani ketika kumpulan nasyid popular itu meledak menerusi lagu Intifada. – Foto Azadan Abdul Aziz
Allahyarham Azizan menyertai Rabbani antara 1997 hingga 2001 sebagai pemain perkusi. Azizan meninggalkan isteri dan seorang cahaya mata.

Namun, apa yang menyedihkan, kata Azadan, isteri dan anaknya kini sedang menjalani proses kuarantin kendiri di kediaman.

“Isteri arwah berasal dari Indonesia dan tinggal sebatang kara di Malaysia. Jadi, mungkin teman rapat arwah daripada kumpulan Anak Soleh akan menguruskan urusan pengebumian.

“Arwah bersama Rabbani tidak lama ketika sedang meletup dengan lagu Intifada. Arwah mengambil keputusan meninggalkan kami kerana ingin meneruskan minat sebagai pelakon teater.

“Namun, arwah seorang yang baik dan cukup disenangi kerana sikapnya suka berlawak. Pemergian arwah tetap menjadi satu kehilangan buat Rabbani,” katanya.

Allahyarham dijangka akan dikebumikan di kampung halaman di Behrang, Perak. BH

Bekas anggota Rabbani meninggal dunia


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Pekebun haram Musang King peroleh Rm420j semusim

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker