Moratorium 2.0: Tepuk dada tanya selera

Sebaran :

 

Moratorium 2.0: Tepuk dada tanya selera. DESAKAN banyak pihak akhirnya telah berjaya memaksa kerajaan untuk melaksanakan semula moratorium bayaran balik pinjaman bank selama enam bulan.

Pelaksanaan moratorium itu dibuka kepada semua individu tanpa mengira golongan B40, M40 termasuk T20 tidak memperuntukkan sebarang syarat seperti pengurangan pendapatan, selain tiada semakan bagi mengesahkan sama ada pemohon hilang pekerjaan.

Pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 Jun lalu itu disambut gembira oleh rakyat yang terkesan daripada pelaksanaan sekatan pergerakan penuh yang dibuat sejak awal Jun lalu.

Mulai semalam permohonan untuk mendapatkan moratorium tersebut sudah boleh dilakukan.

Bagaimanapun Bank Negara mengingatkan bahawa peminjam perlu memahami bahawa dengan mengambil bantuan bayaran balik pinjaman seperti moratorium akan menyebabkan kos pinjaman meningkat secara keseluruhan kerana faedah atau keuntungan akan terus terakru (diambil kira) ke atas bayaran balik pinjaman yang tertangguh.

Sehubungan itu, bank-bank juga diarahkan untuk memberikan penerangan kepada peminjam mengenai kesan pengambilan bantuan bayaran balik pinjaman terhadap jumlah bayaran ansuran dan tempoh pembiayaan.

Apabila peminjam memohon untuk mendapatkan bayaran ansuran yang lebih rendah (dan bukan mengekalkan bayaran ansuran yang asal) selepas moratorium, hal tersebut boleh menyebabkan tempoh pinjaman mereka menjadi lebih panjang.

Dalam pada itu, bank tidak akan mengenakan caj faedah ke atas faedah atau keuntungan atas keuntungan iaitu faedah atau keuntungan terkompaun atau apa-apa faedah atau keuntungan penalti sepanjang tempoh bantuan

Bagaimanapun, rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) peminjam tidak akan terjejas akibat penerimaan apa-apa bentuk bantuan bayaran balik pinjaman pada 2021.

Bantu Rakyat Menderita, Bukan Bantu Bank

Dengan penjelasan yang dibuat oleh Bank Negara maka terpulang kepada rakyat untuk memilih sama ada mahu mengambil kemudahan tersebut atau sebaliknya.

Bak kata peribahasa lama, tepuk dada tanyalah selera masing-masing sama ada mereka perlu memohon moratorium atau sebaliknya.

Tetapi bagi mereka yang terkesan dan terjejas teruk pada ketika ini akan mengambil peluang tersebut dengan sebaiknya.

Mungkin ada dalam kalangan kita yang bukan sahaja telah kehilangan pekerjaan kerana telah diberhentikan kerja malah kehilangan pendapatan kerana tidak dapat berniaga pada ketika ini.

Lagipun, moratorium dapat membantu untuk menjana semula ekonomi negara apabila rakyat mempunyai lebihan wang dalam tangan yang boleh digunakan untuk dibelanjakan.

Namun seperti biasa, ada segelintir pihak yang masih mempertikaikan tentang pelaksanaan moratorium dengan hujah bahawa rakyat tidak sepatutnya dikenakan kadar faedah.

Ada berpendapat bahawa sepatutnya pihak bank berkorban sama seperti yang telah dilakukan oleh kerajaan ketika krisis kewangan pada tahun 1997.

Bagaimanapun, ramai lupa bahawa pada ketika itu jika bank tidak diselamatkan ia akan menyebabkan seluruh sistem kewangan negara lumpuh. Ini menyebabkan institusi kewangan perlu diberikan bantuan.

Berbeza dengan situasi pada hari ini, kedudukan institusi kewangan negara masih lagi dapat bertahan namun sampai bila boleh bertahan bergantung kepada usaha untuk memulihkan ekonomi negara pada ketika ini.

Bagaimanapun, difahamkan terdapat satu pihak lagi yang nampaknya tidak mendapat perhatian daripada pihak Bank Negara dan Kementerian Kewangan iaitu syarikat yang menawarkan pembiayaan membeli kenderaan oleh beberapa syarikat automotif termasuk institusi kewangan kredit.

Antara syarikat tersebut yang mempunyai syarikat kredit mereka sendiri ialah Mercedes Benz, BMW, Nissan dan Toyota. Ini termasuk juga AEON Kredit yang memberikan pembiayaan untuk rakyat membeli motosikal.

Difahamkan ada syarikat terbabit yang terpaksa menanggung kerugian besar pada tahun lalu kerana mereka memberikan moratorium kepada para pelanggan tetapi mereka tidak menerima sebarang insentif daripada kerajaan berbanding bank-bank komersial.

Mungkin Bank Negara dan Kementerian Kewangan boleh membantu institusi kewangan tersebut bagi membolehkan mereka juga dapat menawarkan bantuan kepada rakyat.

*Junhairi Alyasa ialah Penolong Pengarang Berita Sinar Harian

Moratorium 2.0: Tepuk dada tanya selera


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Moratorium bukan automatik dan ada faedah dikenakan


Sebaran :

Leave a Reply