Rindukan ibu, empat beradik sukar tidur malam

 

Rindukan ibu, empat beradik sukar tidur malam. Empat beradik di Taman Scientex di sini yang menjadi yatim piatu sukar melupakan ibunya yang meninggal dunia Khamis lalu.

Menurut bapa saudara kepada empat beradik tersebut, Adhar Baharim, 47, kanak-kanak yang berusia satu, tiga, enam dan tujuh tahun itu amat rapat dengan ibu mereka, Nurul Wandiana Shakira Sapuan, 29.

Adhar berkata, sejak kematian suaminya pada 2020, Nurul Wandiana bersama-sama adik perempuannya itu yang menjaga empat beradik tersebut.

“Selepas pemergian Nurul Wandiana, anak-anak itu sukar tidur malam kerana teringatkan ibu mereka terutama yang berusia satu dan tiga tahun.

“Mujurlah ada adik perempuan saya yang juga ibu saudara mereka yang menjadi tempat menumpang kasih. Sebelum ini adik perempuan saya tinggal bersama-sama arwah Nurul Wandiana dengan empat anak saudara saya itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Kisah empat beradik tersebut menjadi tular apabila seorang kenalan melawat jenazah Nurul Wandiana pada Khamis dan mengambil foto sebelum disebarkan melalui media sosial mendakwa kanak-kanak itu akan terbiar selepas ini kerana kedua ibu bapanya sudah meninggal dunia.

Nurul Wandiana meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam otak di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru manakala suaminya, Mohd Jamil Baharim, meninggal dunia ketika berusia 37 tahun pada 2020.

Nasib empat beradik itu tidak ubah seperti sudah jatuh ditimpa tangga apabila orang kesayangan mereka meninggal dunia selang setahun berturut-turut bermula datuk dan nenek sebelah ibu mereka pada 2018 dan 2019.

Pelbagai pihak kemudian menghulurkan sumbangan dan antara paling awal ialah Pengurus Kanan Tugas-tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang; Ketua Wanita UMNO Bahagian Pasir Gudang, Datuk Normala Abdul Samad; Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pihak pengurusan masjid Taman Scientex.

Adhar yang tinggal di Taman Nusa Damai di sini berkata, anak bongsu arwah akan memanggil setiap wanita ditemuinya dengan panggilan ‘mama’ kerana mungkin disebabkan terlalu merindui ibunya.

Keempat-empat anak saudaranya bersama adik perempuanya kata Adhar, sudah berpindah ke rumah seorang lagi adiknya, Suzana Baharim, 41, di Nilai, Negeri Sembilan pada minggu ini.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Adhar 017-7408165 atau akaun Maybank Adhar Baharim 151240002324.

Rindukan ibu, empat beradik sukar tidur malam


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


UMNO bakal tinggalkan kerajaan PN

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker